Hobi & Minat

Jamal Abdillah Dedah Rahsia Awet Muda Di Usia 65 tahun – “Ayah Saya Umur 75 Tahun Masih Tiada Uban…”

Share

Jamal Abdillah, penyanyi legenda Malaysia, menjadi inspirasi kepada ramai lelaki apabila di usianya yang ke-65, beliau masih kelihatan segar dan berkarisma. Dengan suaranya yang masih mantap dan gaya hidup yang penuh disiplin, Jamal telah berkongsi rahsia bagaimana beliau kekal sihat dan awet muda.

Jamal

Genetik Keluarga

Bagi lelaki yang sering risau tentang rambut beruban, Jamal memberi satu pendedahan yang mengejutkan. Menurut beliau, salah satu rahsia awet mudanya datang daripada genetik keluarganya.

“Ayah saya umur 75 tahun masih tiada uban. Saya pun dapat genetik ini, sebab itulah rambut saya masih hitam,” ujar Jamal sambil berseloroh.

Bukan itu sahaja, Jamal tidak menolak, rupa paras yang tidak dimamah usia itu mungkin disebabkan faktor keturunan.

“Saya tidak amalkan apa-apa petua, pengambilan makanan tambahan berasaskan tumbuhan itu adalah, tetapi saya memang jaga kesihatan dari usia muda, setiap hari joging.” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Amal Night of Love & Compassion di Kumpulan Media Karangkraf baru-baru ini

Ditanya berkaitan penjagaan wajah, bapa kepada enam orang cahaya mata itu tanpa berselindung memberitahu hanya menggunakan sabun pencuci muka yang dikenali sebagai ‘sabun papaya’.

“Kalau untuk pencuci muka saya pakai sabun papaya dan masih dijual sehingga hari ini. Sabun itu sebenarnya sangat bagus itu jerawat dan luka,” akuinya.

Gaya Hidup Aktif dan Sihat

Jamal sendiri mengamalkan gaya hidup sihat yang melibatkan senaman harian. Beliau kerap melakukan aktiviti fizikal, dan ini membantu mengekalkan kecergasan dan stamina.

“Lelaki kena jaga badan. Senaman penting untuk kesihatan fizikal dan mental. Setiap hari saya pastikan ada masa untuk bersenam,” katanya.

Selain bersenam, Jamal juga sangat menjaga pemakanan. Beliau elakkan makanan berlemak dan bergoreng serta banyak mengambil sayur-sayuran, buah-buahan, dan makanan yang tinggi khasiat. Bagi lelaki yang ingin kekal sihat, pemakanan seimbang adalah aspek yang tidak boleh diabaikan.

Puasa Sunat dan Pengawalan Berat Badan

Salah satu amalan yang Jamal tekankan adalah berpuasa sunat secara konsisten. Menurut beliau, puasa bukan sahaja membantu dalam mengekalkan berat badan yang sihat, tetapi juga memberi peluang kepada badan untuk ‘berehat’ dan membuang toksin.

“Puasa sunat memang banyak manfaat. Saya rasa lebih ringan, lebih bertenaga, dan ia juga bagus untuk kulit,” kata Jamal.

Bagi lelaki yang berdepan dengan masalah berat badan berlebihan, amalan berpuasa sunat atau kawalan makan secara sihat boleh menjadi satu alternatif yang baik untuk mengekalkan berat badan ideal.

Elak Tabiat Buruk

Jamal juga telah meninggalkan beberapa tabiat buruk yang boleh mempercepatkan penuaan, khususnya merokok. Sebagai seorang penyanyi, menjaga suara adalah keutamaan beliau, namun beliau juga menyedari bahawa merokok bukan sahaja merosakkan suara, malah memberi kesan buruk kepada kesihatan keseluruhan.

“Merokok buat kulit nampak tua dan badan cepat penat. Jadi saya berhenti merokok beberapa tahun lalu,” kata Jamal.

Bagi lelaki yang merokok atau mempunyai tabiat buruk lain, Jamal menasihatkan agar mereka cuba meninggalkan tabiat tersebut untuk jangka hayat yang lebih sihat dan produktif.

Dengan nasihat-nasihat ini, lelaki di seluruh negara boleh mula mengambil langkah yang betul untuk mengekalkan kesihatan dan penampilan yang lebih muda serta bertenaga seperti Jamal Abdillah.

BACA LAGI : Pengasas Tesla, Elon Musk Kini Pemilik Twitter Dengan Pembelian Bernilai RM208 Bilion 

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Nana