“Jadikan Kematian Ini Syahid Yang Paling Indah”,Sharnaaz Ahmad Sedih Kehilangan Anggota Bomba

Share

Pelakon Sharnaaz Ahmad melahirkan rasa terkesan dan sedih dengan insiden yang telah mengorbankan enam orang anggota bomba ketika operasi menyelamat seorang remaja yang tergelincir malam semalam.

Menurut Sharnaaz, 33, dia pernah bekerjasama dengan semua anggota berkenaan yang bertugas dalam pasukan unit elit khas atau Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang serta Shah Alam.

“Saya pernah bekerja, bergelak, bergurau dengan mereka dan mereka adalah yang terbaik dalam unit air di Malaysia. Mereka adalah unit elit khas, kehilangan yang sangat terasa buat unit di air bomba Malaysia dan juga saya.

“Mereka sangat mahir dan terlatih dalam misi menyelamat dan kali ini mereka dijemput oleh Allah untuk tugas mereka. Semoga Allah luaskan kubur mereka dan jadikan kematian ini syahid yang paling indah,” tulis Sharnaaz.

Kejadian yang mengorbankan enam anggota bomba itu berlaku di lombong, Taman Putra Perdana, Puchong dipercayai berpunca daripada lemas akibat terbelit tali di dasar.

Terdahulu, Sharnaaz pernah menjayakan sebuah drama bersiri berjudul Hero pada tahun 2016. Drama memaparkan realiti dan cabaran sebenar pekerjaan anggota bomba yang layak digelar hero itu ditayangkan menerusi saluran TV2.

Published by
Ruziana Zainal