Pempengaruh terkenal Khairul Amin Kamarulzaman, atau lebih dikenali sebagai Khairul Aming berharap agar pemenang Tiktok Awards Malaysia 2024 tidak sekadar terkenal semata-mata tanpa membawa manfaat kepada masyarakat.
Khairul Aming yang merupakan pemenang anugerah kategori Creator of The Year di Tiktok Awards tahun lalu itu dipilih sebagai salah seorang barisan juri yang menilai pemenang bagi anugerah tahun ini.
“Kriteria yang paling utama saya akan tengok ialah bagaimana anda menonjol di kalangan calon lain. Secara asasnya, keunikan anda, kreativiti anda dan nilai,” jelas Khairul ketika ditemui MASKULIN.
@maskulinmySebagai pemenang anugerah Creator of The Year pada Tiktok Awards tahun lalu, Khairul Aming terpilih untuk menjadi salah seorang juri bagi penganugerahan itu tahun ini. Banyak perkara perlu dinilai untuk menentukan siapa yang layak sebagai pemenang. Namun bagi Khairul, amat penting untuk memilih pemenang yang bukan sekadar terkenal semata-mata tanpa membawa manfaat kepada masyarakat. #khairulaming #tiktokawards2024 #maskulin #majalahmaskulin♬ original sound – Maskulin
“Kita tak nak lah terkenal semata-mata, kan? Biar ikon ataupun wakil yang akan menang Creator of the Year atau setiap kategori itu ada impak dia dekat masyarakat lah,” tambahnya.
Beri Perspektif Seorang Pencipta Kandungan
Dalam pada itu, Khairul mengakui menggalas tanggungjawab sebagai juri buat kali pertama itu membawa tekanan yang berbeza, apatah lagi antara yang tercalon terdiri dari kalangan rakan-rakannya sendiri.
Ads
Namun Khairul perlu kekal profesional dalam penjurian dan tidak bersikap pilih kasih.
“Jujur saya cakap, saya pun tak pernah buat. Tapi Alhamdulillah dah sembilan tahun dalam industri ini, rasanya pengalaman itu ada untuk kita tahu siapa yang layak untuk menang berdasarkan usaha dia semua.
“Jadi harap-harap sekurang-kurangnya saya boleh bagi perspektif daripada seorang pencipta kandungan juga lah kepada barisan juri yang lain nanti,” ulasnya lanjut.
Ads
Khairul Aming akan menilai pemenang bagi anugerah-anugerah kategori Pilihan Juri (Judge’s Pick).
Selain Khairul, barisan juri terdiri daripada Pengurus Besar Operasi TikTok Asia Tenggara Angga Anugrah Putra serta Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios Nini Yusof.
Ads
Majlis anugerah berprestij yang meraikan para pencipta kandungan itu akan berlangsung pada 11 Ogos 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (PWTC) Kuala Lumpur.
Selepas julung kali diadakan pada tahun lalu, Tiktok Awards Malaysia kembali untuk tahun yang kedua dengan membawa tema “Realisasikan Impianmu”.
Seperti tahun lalu, anugerah Tiktok Awards Malaysia 2024 juga akan disiarkan secara langsung di televisyen menerusi saluran TV3.
Kemuncak drama yang melanda skuad lumba basikal trek negara seakan tiba kemuncaknya semalam apabila wira negara, Shah Firdaus Sahrom layak ke final acara keirin. Namun impian melihat sinaran pingat kembali ke tanah air terkubur selepas berlaku perlanggaran dengan pelumba dari Jepun, Shinji Nakano.
Selepas impian menyaksikan Datuk Azizulhasni Awang musah sekelip mata, tidak dinafikan emosi peminat sukan tanah air cukup membuak. Harapan yang diletakkan di bahu Shah Firdaus cukup besar sekali.
Namun pujian harus diberikan kepadanya yang telah menampilkan persembahan yang terbaik. Berbalik kepada insiden ketia perlumbaan menyaksikan kemalangan yang penuh kontroversi dengan pelumba Jepun, Shinji Nakano, dan pelumba dari Great Britain, Jack Carlin.
Ketiga-tiga pelumba ini terjatuh dalam pusingan terakhir, hanya beberapa meter dari garisan penamat. Walaupun peristiwa ini mungkin kelihatan seperti sebahagian daripada dinamika sukan berisiko tinggi seperti keirin, impaknya lebih jauh daripada sekadar apa yang terjadi di trek.
Dalam era digital ini, reaksi daripada peminat sukan adalah pantas dan kadang-kadang tidak terkawal. Rakyat Malaysia membanjiri laman Instagram Nakano dengan pelbagai komen dan gambar Jalur Gemilang.
Sebahagian besar daripadanya mengkritik pelumba Jepun tersebut. Ada yang menuduh Nakano bermain kotor dan tidak menunjukkan semangat kesukanan, sementara yang lain meluahkan kekecewaan kerana Malaysia kehilangan peluang untuk meraih pingat gangsa.
FAHAMI SITUASI SEBENAR
Namun begitu, Ridwan Sahrom, adik kepada Shah Firdaus yang juga seorang pelumba basikal trek, tampil memberi kenyataan yang lebih rasional.
Dalam satu hantaran di Instagram, Ridwan menyeru agar rakyat Malaysia tidak menyerang pelumba dari negara lain. Beliau menekankan bahawa dalam sukan keirin, apa-apa sahaja boleh berlaku, dan tuduhan tidak boleh dibuat tanpa memahami situasi sebenar.
“Saya merayu kepada semua peminat sukan Malaysia agar tidak menyerang negara lain yang terlibat dalam kemalangan ini. Tolong kekal tenang dan elakkan daripada meninggalkan komen negatif di media sosial pelumba Jepun tersebut,” katanya.
Meskipun seruan Ridwan ini menggambarkan sikap matang dan bijaksana, terdapat beberapa peminat yang tetap tidak berpuas hati.
Mereka percaya bahawa Shah Firdaus sepatutnya diberi keadilan kerana insiden tersebut menafikan peluangnya untuk membawa pulang pingat gangsa.
Walau bagaimanapun, ulasan daripada pakar sukan menunjukkan bahawa keputusan untuk menurunkan kedudukan Shah Firdaus ke tempat keenam adalah tepat.
BUKAN PERKARA DISENGAJAKAN
Ulangan video menunjukkan pelumba negara itu telah memasuki laluan Nakano, yang menyebabkan pelumba Jepun itu terpaksa membuat tindak balas yang akhirnya mengakibatkan kemalangan.
Dalam suasana yang penuh emosi ini, Shah Firdaus sendiri tampil meminta agar semua pihak tidak mengkritik Nakano di media sosial.
Baginya, kemalangan itu bukanlah sesuatu yang disengajakan, dan beliau sendiri memerlukan masa untuk menerima kenyataan bahawa impiannya meraih pingat di Olimpik terpaksa ditunda.
“Sejak pagi tadi, saya sudah menetapkan fikiran bahawa saya boleh memenangi pingat. Jika saya tidak mencabar untuk memenangi pingat, saya boleh menerimanya, tetapi ini sukar untuk ditelan,” kata Shah Firdaus.
MASKULIN berharap kita semua lebih tenang dan tidak menunding jari menyalahkan mana-mana pihak. Sedangkan atlet sesama sendiri pun faham dan tahu perkara seperti ini ada risiko dan boleh berlaku.
Buat Shah Firdaus Sahrom, teruskan berjuang demi negara tercinta. Kita cuba lagi!
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
“Wanita tidak mendefinisikan lelaki budiman dengan cara sama kebanyakan kita menentukan siapa lelaki. Untuk wanita, seorang lelaki budiman bukan tentang perkara-perkara yang dilakukan – sama ada dia membuka pintu atau membayar makan malam. Untuk seorang wanita, apa yang membuatkan seorang lelaki budiman ialah bagaimana dia membuat wanita rasa.” – Oscar Wilde.
Bukan mudah menjadi seorang lelaki sebenarnya. Setiap satu pergerakkan dan tingkah pasti menjadi perhatian. Tidak kira dimana anda berada, menjadi lelaki yang teratur sikap dan akhlaknya pasti mencabar. Sebaik-baik manusia, cubalah untuk menjadi seorang lelaki yang budiman, kelak anda akan menjadi pujaan.
Tahniah buat pasangan Hafiz Mahamad dan Syafiqahaina yang bakal menamatkan zaman bujang mereka tidak lama lagi. Tahniah dari Maskulin! Kami abadikan bersama gambar romantis pre wedding pasangan romantis ini untuk tatapan anda.
LELAKI GENTLEMEN HARUSLAH!
1- Tentukan gaya peribadi anda
Seorang lelaki gentleman harus bijak membawa diri dengan penampilan yang kemas. Pilih gaya yang mencerminkan personaliti dan gaya hidup anda. Usah jadi diri orang lain saat anda memikirkan soal pakaian dan penampilan diri, nanti anda akan ditertawakan!
2- Kebersihan diri paling utama
Letakkan usaha berganda dalam soal pembawaan diri. Pastikan diri anda sentiasa bersih, rapi dan jangan lupa untuk sentiasa mandi. Jaga juga bau badan yang menjadi musuh higin seorang lelaki. Sentiasa gunakan minyak wangi dan deordaran ke mana saja.
3- Matang
Tingkah laku anda mencerminkan keperibadian anda secara keseluruhan. Seorang lelaki gentleman adalah matang mengikut usianya, dan bukan beusia tetapi bersifat kekanak-kanakkan. Jika sudah dewasa, bersikaplah seperti orang dewasa.
4- Jaga bahasa
Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Sentiasa kawal setiap perbendaharaan kata dan bahasa yang dikeluarkan. Elakkan dari mencarut, menghina, mencaci dan sebagainya. Tak gentleman langsung jika begitu!
5- Aktif bersukan
Bukanlah yang tidak aktif bersukan itu tidak gentleman, tetapi seorang lelaki yang sejati pastinya mempunyai sekurang-kurang satu sukan yang digemarinya dan sentiasa aktif . Sukan sendiri telah dicipta sebagai cara untuk mempamerkan bakat, keupayaan dan hobi tersendiri. Semangat kesukanan semasa bermain adalah lebih penting daripada memenangi permainan itu sendiri. Namun apabila lelaki berjuang habisan untuk memenanginya, ia memang sikap natural lelaki yang gentleman.
6- Menepati janji
Seorang lelaki yang budiman adalah yang sentiasa menghormati waktu orang lain dan maksudkan apa yang kamu katakan. Baginya, masa adalah emas dan tidak boleh dibazirkan begitu sahaja, Jika anda berkata anda akan bertemu dengan seseorang pada waktu tertentu, jangan lewat. Jika iya, katakan iya. Jika tidak akui sahaja.
7- Membalas budi
Hutang emas boleh dibayar hutang budi dibawa mati. Lelaki budiman haruslah tidak lokek untuk membalas jasa pada mereka yang pernah berbudi kepadanya. Biarlah dengan apa jua cara sekalipun, niat itu yang dikira.
8- Ucapkan terima kasih
Ibarat satu kemestian, setiap kali seseorang memberikan anda bantuan dan perkhidmatan, seorang lelaki sejati sentiasa akan mengucapkan ucapan ‘terima kasih’ dengan diselangkan senyuman yang ikhlas.
9- Sopan
Seorang lelaki yang sejati sentiasa sopan dengan semua orang, dalam tindakan mahupun kata-kata. Malah sentiasa menyedari saat bagaimana untuk membantu dan memudahkan orang, samaada membuka pintu buat si dia mahupun menolong memimpin tangan orang tua.
10- Prihatin
Sentiasa mulakan hari anda dengan bertanya dengan soalan ringkas, ‘Apa khabar?’, ‘Bagaiaman dengan hari anda?’, Sudah makan ke belum?’ dan lain-lain. Soalan ringkas sebegini pasti akan menceriakan sesiapa sahaja yang mendengar. Ia juga menandakan anda pritahin dan mengambil berat akan si dia.
11- Hormati yang lain
Walaupun diri membenci seseorang, lelaki yang budiman tidak terlalu ikutkan sangat emosi yang boleh mempengaruhi tindakan terhadapnya. Lelaki seperti inni perlu bijak mengawal emosi dan perasaan agar tidak melakukan sesuatu yang boleh mencacatkan personalitinya.
12- Tidak merajuk
Seorang lelaki tidak sewajarnya merajuk kerana merajuk sejak dari dulu lagi sinonim dengan wanita. Rajuk-rajuk manja antara anda dan pasangan mungkin masih boleh diterima. Tetapi jika merajuk yang berpanjangan, sehingga mengambil masa berbulan-bulan dan tidak habis mengharapkan pujukan, itu langsung tidak gentleman!
12- Tidak buang masa
Seorang lelaki yang sejati adalah sentiasa mencari sesuatu yang berguna untuk dilakukan. Dan bukan sekadar duduk dirumah tanpa berbuat apa-apa. Lelaki sejati sentiasa bergerak aktif dan mempunyai minat dan kegemarannya yang tersendiri agar dia boleh membahagikan masa sebaiknya dengan perkara-perkara yang berfaedah.
13- Sentiasa menyenangkan
Seorang lelaki yang gentleman sentiasa bertindak memudahkan urusan orang lain tanpa perlu menyukarkan keadaan. Lelaki sebegini sentiasa peka dengan keadaan, cepat membuat keputusan dan bijak menyelesaikan apa jua permasalahan.
14- Pujian
Sesiapa sahaja ingin rasa dihargai. Pujian boleh mencairkan dan menimbulkan rasa senang di hati. Bila tiba masanya, lelaki yang budiman tidak akan teragak-agak untuk memberikan pujian yang ikhlas dan bermakna. Cukup dengan penggunaan ayat yang mudah dan jelas. Jangan pula tidak ikhlas dan sekadar melepaskan batuk di tangga. Ia sebenarnya mudah untuk dikesan.
15- Berada di sisinya
Biarkan dia tahu anda sentiasa berada di sampingnya. Sokonglah apa jua yang dilakukannya dengan kata-kata dorongan dan nasihat. Pimpin tanganya dan yakinkan dia yang dia boleh lakukan apa sahaja. Pastinya dia akan terharu dengan sikap ambil berat yang anda tunjukkan.
16- Kawal habit yang tidak menyenangkan
Seorang lelaki sejati tahu untuk mengawal gerak geri dan tingkah lakunya agar tiada sesiapa akan memandang jelik. Sikap seperti meludah, mengorek lubang hidung, membuang kahak, menghembus hingus, batuk dan sebagainya boleh mencacatkan penampilan anda terutama sekali di tempat awam. Ia sukar dielakkan tapi berusahalah untuk menyembunyikannya dengan membawa sekalin sapu tangan kemana saja dan sebagainya.
17- Utamakan orang lain
Oh alangkah budimannya seorang lelaki jika dia meletakkan orang lain terlebih dahulu dari dirinya. Terutama sekali apabila bersama dengan orang yang tersayang. Tidak lokek untuk memberikan kerusinya untuk kemudahan orang lain, tidak melatah jika orang lain mendapat kesenangan berbanding dirinya. Ini tanda lelaki sejati idaman wanita.
18- Kuasai teknik berjabat tangan
Kata orang, seorang lelaki yang sejati dan gentleman boleh diukur dengan gaya dan teknik dirinya berjabat tangan dengan orang lain. Teknik genggaman yang kemas dan menyakinkan dapat menguatkan aura seorang lelaki apabila bertemu buat pertama kali.
19- Kewangan yang kukuh
Zaman sekarang, lelaki pastinya diukur dengan kejayaan dan pangkat. Buat lelaki soal ini melibatkan maruah. Oleh itu, sekiranya seorang lelaki berjaya dengan hasil usaha kerasnya, tidak salah untuk anda untuk sentiasa mendahului wang anda apabila membayar bil ketika menjamu selera dengannya mahupun memberinya hadiah kesukaannya ketika hari jadi. Barulah wanita hormat!
20- Berdikari
Seorang lelaki sejati adalah lelaki yang tidak bergantung harap pada orang lain selain dirinya sendiri. Semua dilakukan dengan usahanya sendiri bagi mencapai apa yang dihajatinya. Lelaki yang bergantungan terutama sekali pada kaum wanita dianggap tidak matang dan tidak sesuai untuk dipuja oleh kaum wanita.
21- Punya impian dan tahu apa yang dingini
Cita-cita dan impian mendefinisikan keupayaan seseorang akan masa depannya. Bagi seorang lelaki, ini semua perlu jelas dan nyata. Seorang lelaki perlu tahu apa yang diidamkannya tanpa ragu-ragu. Sikap teragak-agak dan keliru dengan diri sendiri menjadikan seorang lelaki lemah dan tidak berupaya untuk memandu masa depannya.
Kehadiran bulan Ramadan yang mulia yang bakal menjelma ini perlu kita ambil kesempatan memohon keampunan daripada Yang Maha Esa. Ustaz Don kongsi amalan sunnah yang rugi kalau kita tak amalkan. Oleh itu, mari kita amalkannya.
Coretan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid ini sememangnya menyentuh hati. Kita hanya manusia biasa yang tidak dapat lari daripada membuat kesilapan.
Ada kala kita mungkin telah melampaui batas dengan imaginasi kotor, percakapan dan perbuatan yang tidak betul menjadikan kita selalunya semakin jauh dengan Allah SWT.
Namun kasih sayang Allah SWT kepada hambaNya terlalu besar dan sentiasa membuka pintu taubat kepada kita. Sempena Ramadan pada tahun ini marilah kita sekurang-kurangnya selalu menjaga Tujuh Sunnah Nabi setiap hari. Ustaz Don kongsi tujuh sunnah Nabi SAW itu adalah:
Pertama:
Tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya. Pastinya doa mudah termakbul dan menjadikan kita semakin hampir dengan Allah.
Kedua: Membaca Al-Quran sebelum terbit matahari
Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Quran terlebih dahulu dengan penuh pemahaman. Paling tidak jika sesibuk manapun kita, bacalah ayat 3 Qul atau ayat qursi.
Ketiga: Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu subuh
Sebelum melangkah ke manapun langkahkan kaki ke mesjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.
Keempat: Jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.
Yakinlah, kesan solat dhuha sangat dasyat dalam mendatangkan rezeki.
Kelima: Jaga sedekah setiap hari.
Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari. Percayalah, sedekah yang diberikan akan dibalas oleh Allah berlipat kali ganda.
Keenam: Jaga wuduk terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwuduk.
Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, “Orang yang selalu berwuduk sentiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah”.
Ketujuh: Amalkan istighfar setiap saat.
Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.
Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya.
Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme.
Sebarkanlah ilmu ini, dan anda tidak akan rugi sedikitpun, sebarkan, semoga ianya memberi manfaat pada semua.
Sebagai seorang lelaki yang bertanggungjawab terhadap kewangan peribadi, memahami peluang perlepasan cukai yang tersedia boleh membantu mengurangkan beban cukai setiap tahun.Tahun 2025 membawa beberapa...