BARANGKALI hanya yang sedang atau pernah melalui kehidupan bermadu dapat merasai pahit manisnya berkongsi kasih daripada seorang lelaki bergelar suami.
Pernahkah terfikir untuk menamatkan sebuah hubungan dengan seseorang yang anda kenali dan sayangi itu yang nyata milik wanita lain?
Melihat sisi yang pelbagai terutama menelusuri kisah rumah tangga pasangan lain yang pernah hidup bermadu sentiasa bergolak hingga berakhir dengan kehancuran, pasti menggugat impian anda untuk memanjangkan hubungan.
Namun, suratan takdir menyatakan memang dia adalah jodoh anda, lalu anda reda atas segalanya. Diserang atau dicop dengan pelbagai tuduhan seperti perampas, pemusnah rumah tangga insan lain dan pelbagai kejian atau kata kesat mungkin juga membuatkan anda gentar untuk melayari bahtera berdua walau hakikatnya anda terpaksa berbahagi atau berkongsi kasih.
Jika itu keputusan dan jalan yang anda pilih, beberapa petua berikut mungkin mampu dimanfaatkan untuk menjadi insan yang tabah dalam memadu kasih.
Tidak dinafikan, menjadi isteri kedua sering dipandang serong dalam masyarakat lalu anda harus bersedia secara mental dan fizikal dalam menempuh fasa yang mungkin melukakan perasaan anda. Apa yang penting (bukan menggalakkan), cinta sejati tidak mudah goyah hanya kerana hinaan atau kejian orang.
# Jangan peduli apa orang kata, peduli hanya apa yang keluarga dan suami anda kata kerana hanya mereka yang berjasa dan berkepentingan dalam hidup anda.
Masyarakat hanya tahu mengutuk, tetapi tidak tahu memberi jalan penyelesaian. Tidak berdosa hidup bermadu, tidak hina menjadi isteri kedua, ketiga atau keempat, dengan syarat suami anda mestilah seorang suami bukannya seorang ‘lelaki’.
# Sentiasa merendah diri dan hormati isteri pertama, biar dia marah atau mengata apa saja asalkan anda sentiasa mengalah.
Ads
Kuatkan hati dengan matlamat bahawa perkahwinan anda adalah mencari keredaan Allah melalui kebaikan suami. Jika niat jelas dan ikhlas, lama-kelamaan isteri pertama akan lembut hatinya bahkan dia boleh menjadi kawan baik.
Pasti anda akan tenang apabila madu menghubungi dan bertanyakan khabar anda di kala suami bersamanya. Lakukan perkara serupa kepadanya apabila suami bersama anda pula.
# Senangkan hati suami, dia akan menyenangkan hati anda. Bukankah semua isteri mahu disayangi suaminya?
Oleh itu, anda perlu sentiasa memainkan peranan aktif supaya hati suami selalu senang dan tenang kerana apabila hati suami senang, madu anda juga senang hatinya. Secara langsung, kebaikan itu datang kepada anda juga, hati akan terus diselubungi kebahagiaan tanpa sedikit pun rasa iri bermukim di hati.
# Jangan tamak masa dan harta, terimalah seadanya daripada suami. Ini kerana segelintir isteri yang bermadu mengimpikan masa yang panjang untuknya sedangkan dia kena ingat dia ‘datang’ kemudian.
Ads
# Sewajarnya isteri kedua mampu berdikari supaya masa santai itu dipenuhi sebaik-baiknya. Jadi, akan kurang masa untuk memikirkan yang bukan-bukan dan jangan benarkan syaitan menguasai diri.
Mana ada perempuan yang tidak cemburu? Sedikit sebanyak ada rasa cemburu di hati kerana kita hanya manusia biasa, tetapi biarlah berpada-pada dan tunjukkan juga rasa sedikit cemburu itu kepada suami supaya dia tahu yang anda sayang kepadanya.
# Ambil hati mentua sewajarnya supaya dia juga kasihkan anda dan anak seperti dia kasihkan keluarga suami anda yang satu lagi.
# Tiada siapa yang menang atau kalah dalam perhubungan seperti ini, yang penting adalah ketenangan dalam perhubungan itu.
# Sokongan keluarga sendiri sangat penting untuk wanita seperti anda, jadi anda tidak akan rasa kekurangan apabila suami tiada bersama.
Ads
# Fikirkan konsep poligami itu adalah berkongsi bukannya merampas.
Namun, ketika anda menerima lamaran bakal suami untuk bergelar isteri kedua, berhati-hatilah ketika menerima lamaran dengan meneliti beberapa perkara iaitu:
# Tanya dan lihat: Adakah dia lelaki bertanggungjawab kepada keluarga dan ibu bapanya? Jika ya, maknanya dia akan bertanggungjawab juga kepada diri anda.
# Adakah dia menjaga solat setiap kali berjumpa anda? Jika ya, maknanya dia lelaki yang tahu perkara asas.
# Adakah bakal madu anda terdidik akhlaknya? Jika ya, mudah untuk anda berbaik-baik dengannya.
# Adakah dia punya pekerjaan tetap sekian lama? Jika ya, maknanya dia tetap pendirian dan tahu maksud kehidupan.
# Adakah dia faham mengenai perkahwinan sama seperti yang anda faham?
Jika ya, mudahlah bagi anda dan dia bertolak ansur. Jika tidak, lebih baik berfikir dua kali kerana tidak semua perempuan atau lelaki kental. Ramai juga yang mengambil peluang dengan konsep poligami ini, namun hanya mereka yang berwibawa saja mampu melakukannya.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Kemurungan adalah sejenis penyakit mental yang banyak berlaku dalam kalangan masyarakat tetapi kurang didiagnosis sehinggalah pesakit menjadi teruk dan memerlukan rawatan rapi. Berdasarkan anggaran terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 300 juta penduduk dunia kini hidup dalam kemurungan.
Seriusnya masalah kemurungan ketika ini mendorong WHO mengisytiharkan bahawa penyakit mental terbabit sebagai punca utama bagi keadaan kurang sihat dan hilang upaya di seluruh dunia. Kurang sokongan terhadap mereka dengan masalah mental, ditambah takut dan stigma, ia mencegah kebanyakan pesakit daripada menerima rawatan yang diperlukan untuk sembuh dan meneruskan kehidupan dengan sihat dan produktif.
“Walaupun di negara berpendapatan tinggi, hampir 50 peratus rakyat dengan kemurungan tidak mendapat rawatan. Secara puratanya, kira-kira tiga peratus perbelanjaan kesihatan kerajaan diperuntukkan dalam kesihatan mental, perbezaannya antara kurang satu peratus di negara berperpendapatan rendah hingga lima peratus di negara berpendapatan tinggi.
Menurut kajian yang diterajui WHO yang mengira kos rawatan dan hasil keputusan kesihatan di 36 negara untuk 15 tahun akan datang iaitu mulai 2016 hingga 2030, kadar rendah kesedaran dan akses penjagaan kemurungan dan masalah mental lain yang biasa seperti keresahan menyebabkan kerugian dalam ekonomi global kira-kira AS$1 trilion setiap tahun.
Kerugian sebegini sudah tentu membabitkan banyak pihak seperti isi rumah apabila satu keluarga hilang pergantungan ekonomi jika ketua rumah tidak boleh bekerja, pihak majikan juga terjejas apabila pekerjanya kurang produktif dan tidak mampu lagi bekerja.
Seterusnya, kerajaan turut menanggung beban apabila perlu menanggung perbelanjaan kesihatan dan kebajikan dengan lebih tinggi. WHO juga mengenal pasti kaitan yang kuat di antara kemurungan dan penyakit tidak berjangkit lain. Kemurungan meningkatkan risiko masalah penggunaan ubatan dan penyakit seperti diabetes dan penyakit jantung.
Kemurungan adalah penyakit mental yang biasa dihidapi dicirikan dengan kesedihan berpanjangan dan hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan, disusuli ketidakupayaan menjalankan aktiviti harian selam 14 hari atau lebih.
Penghidap kemurungan juga biasanya mengalami beberapa tanda seperti hilang tenaga, perubahan selera, terlebih atau kurang tidur, kurang penumpuan, tidak dapat membuat keputusan, gelisah, rasa diri tidak berguna, rasa bersalah, putus asa dan berniat mencederakan diri atau membunuh diri.
Kemurungan boleh menjejaskan sesiapa sahaja, oleh itu kempen ini ditujukan kepada semua orang dan WHO memilih untuk memberi perhatian tertentu kepada tiga kumpulan iaitu remaja dan belia, wanita yang baru melahirkan anak dan warga emas berusia lebih 60 tahun.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Pagi ini kita dikejutkan dengan berita terbaru membabitkan pasukan Arsenal berkaitan dengan Coronavirus atau COVID-19.
Hasil pemeriksaan dan ujian telah mendapati ketua jurulatih mereka, Mikel Arteta telah didapati positif COVID-19. Lantaran itu kelab dari Utara London tersebut telah mengambil langkah drastik dengan pemain serta kakitangannya melakukan kuarantin di rumah serta melakukan ujian lanjut.
Ketua Jurulatih Arsenal, Mikel Arteta
Berikutan dengan itu, perlawanan Arsenal pada minggu ini menentang Brighton telah ditunda, sama seperti perlawanan menentang Manchester City pada Rabu lalu.
Dan terbaru, pemain bintang muda Chelsea, Callum Hudson-Odoi juga telah didapati positif COVID-19. Seluruh pasukan Chelsea kini menjalani isolasi dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berwajib di United Kingdom.
Premier League telah mengumumkan bahawa kesemua perlawanan akan diteruskan namun dengan perkembangan terkini yang dilihat semakin serius ramai berpendapat ia bakal berubah.
Kesemua wakil kelab pada hari ini bakal mengadakan perjumpaan tergempar bersama pihak Premier League berkenaan apakah langkah yang harus diambil untuk menangani isu ini.
Rata-rata melihat mesyuarat ini akan mengumumkan bahawa English Premier League (EPL) bakal digantung sama seperti beberapa liga di negara Eropah yang lain seperti Seria A di Italy, Eredvisie di Belanda dan La Liga di Sepanyol. Manakala di Jerman dan Perancis, perlawanan liga dijalankan dengan stadium kosong tanpa penyokong.
Penyokong Napoli & Barcelona dilihat memakai topeng ketika perlawanan Liga Juara Eropah baru-barun ini.
Beberapa bekas pemain profesional yang merupakan pengulas sukan terkenal seperti Gary Lineker dan Gary Neville sangat lantang bersuara dan menyeru pihak berwajib Premier League menggantung liga buat sementara waktu demi keselamatan orang awam.
Pemain pertahanan Manchester City, Benjamin Mendy juga sedang melakukan kuarantin diri selepas salah seorang ahli keluarga terdekatnya jatuh sakit dan disyaki positif.
Manakala tiga pemain Leicester City juga dilaporkan sedang menjalani ujian COVID-19 selepas dilaporkan menunjukkan simptom awal jangkitan.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Memiliki tubuh badan yang sasa kini sudah menjadi ‘Trend’ di kalangan anak muda pada masa kini. Tidak terkecuali juga buat selebriti yang mula menempa nama di dalam industi hiburan tanah air melalui siri TV dan filem KAMI. Nas-T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar Nasuddin mula menjinakkan diri di dalam dunia bina badan ini hanyalah sekadar suka-suka pada awalnya, tapi kini ia sudah menjadi salah satu rutin harian yang wajib bagi dirinya kerana memiliki fizikal tubuh badan yang sasa dapat menjadikan dirinya lebih sihat dan cergas.
Definasi Maskulin Nas-T
“Maskulin boleh dituju kepada lelaki yang bersukan ataupun seorang atlet dan lelaki yang memiliki badan yang fit dan maskular”
Bila bermula?
“Saya mula menjinakkan diri di dalam dunia bina badan ketika saya berumur 21 tahun tetapi pada awalnya ia sekadar training biasa-biasa sahaja. Selepas 10 tahun saya mula bercadang untuk teruskan perjuangan saya semula di dalam arena bina badan ini dengan lebih serius. Jadi saya mengambil jurulatih peribadi untuk mempersiapkan diri saya bagi pertandingan bina badan”
Rutin Harian?
“Bermula di awal pagi saya memulakan rutin harian saya dengan memasak dan menyediakan sendiri makanan yang sihat dan sesuia untuk membina badan. Rutin seterusnya saya akan ke gym untuk berlatih bersama jurulatih peribadi dan pada sebelah malamnya saya akan melatih client saya. dan jika ada masa yang terluang saya turut melakukan aktiviti biasa seperti shooting,menjadi dj dan boleh dikatakan masa dan jadual saya sentiasa di penuhi dengan aktiviti dan kerja”
Inspirasi dan Idola
Sazali Samad dan rakan-rakan seperjuangan saya yang banyak memberikan dorongan dan nasihat.
Pertandingan bina badan
“Pada Mei 2014 saya memasuki pertandingan ‘Man Of Steel’ dan ini merupakan pertandingan bina badan pertama yang saya ceburi. Saya sertai pertandingan ini bukanlah ingin menang tetapi lebih kepada mencari pengalaman berada di atas stage dalam masa yang sama saya mula berkenalan dengan lebih ramai kawan dan otai lama di dalam arena bina badan ini yang turut banyak berkongsi tip dan nasihat untuk saya menceburi lebih banyak lagi pertandingan-pertandingan akan datang”
Tip dan Nasihat
“Untuk mendapatkan badan yang cantik diet adalah perkara utama yang perlu dititik beratkan kerana 70% adalah datangnya dari pemakanan yang sihat dan 30% lagi barulah latihan di gym. Diet bukanlah bermaksud tidak menjamah makanan langsung ia lebih kepada pengambilan makan yang sihat atau clean.
Kepada beginner yang ingin berjinak di dalam dunia bina badan mestilah mendapatkan tunjuk ajar daripada orang yang berpengalaman kalau boleh jangan belajar atau mencuba sendiri sebab kita perlu kan seseorang untuk memberi bimbingan terhadap latihan senaman yang betul”
“BADAN KITA IBARAT TANAH LIAT, KENA ULI DENGAN ELOK. KALAU ULI SENDIRI TAPI TIDAK ADA PENGALAMAN NANTI JADI LAIN”
Perancangan 5 tahun akan datang
“Tak tahu apa yang akan jadi. tapi saya tahu yang saya tidak akan sesekali berhenti dari apo yang saya buat seperti belakon, dj, dan bina badan. Benda ini sudah menjadi sebahagian dari diri saya dan saya tidak akan berhenti. Kepada yang tak pernah rasa cubalah rasa sendiri bila dah rasa pasti akan suka”
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Suami bandingkan masakan isteri dengan ibu, buat isteri kecil hati. Setiap orang mempunyai air tangan tersendiri. Sedap atau tidak hanya orang merasai sahaja. Begitu juga dengan masakan isteri untuk diberikan kepada keluarga tidak akan sama dengan ibu sendiri atau mentua.