Berita

Isteri & Tiga Anak Maut Akibat Kepala Air, Lelaki Sedih Hingga Pengsan Beberapa Kali

Share

Hati siapa yang tidak hiba apabila kehilangan insan yang tersayang. Lebih memilukan apabila bukan seorang sahaja yang dijemput Ilahi, tetapi empat ahli keluarga sekaligus.

Itulah dugaan yang dihadapi Azam Radin Mustapha Amiruddin, 46, sehingga pengsan beberapa kali akibat tidak tahan menanggung kesedihan.

Sebaik sahaja jenazah dua anak perempuannya yang menjadi mangsa korban kepala air tiba di unit forensik Hospital Tapah, Perak, Azam dilaporkan tidak sedarkan diri.

Perkelahan mereka sekeluarga di Sungai Kenjur, Kampung Poh, Bidor, pada Rabu sepatutnya menjadi kenangan indah namun bertukar tragedi.

Empat daripada tujuh mangsa iaitu, Aszura Bani, 37 bersama tiga anaknya, Hanum Marissa, 2, Hafiy Muhayyat, 4, dan Hana Mikayla, 7, hilang dihanyutkan arus deras kepala air.

Foto (dari kiri): Aszura Bani (37), Hafiy Muhayyat (4), Hana Mikayla (7) Hanum Marissa (2) yang maut dihanyutkan arus deras kepala air, bersama Azam Radin Mustapha Amiruddin (46).

Memetik laporan Sinar Plus, berikut ringkasan info dan kronologi kejadian itu.

Kronologi Kejadian

  1. Kakak Aszura, Aslinda Bani, 38, menceritakan bencana kepala air terjadi sekelip mata kira-kira jam 4 petang. Beliau yang turut terperangkap bagaimanapun selamat selepas ditarik oleh seorang penduduk kampung.
  2. Menurut Aslinda, ketika itu arwah Aszura sedang merangkul dua orang anaknya dan memintanya mendapatkan bantuan daripada penduduk kampung.
  3. Bagaimanapun, selepas beliau kembali ke tempat kejadian semua ahli keluarganya hilang kecuali pembantu rumah berusia 30-an yang terselamat.
  4. Kakak Azam, Ainur Radin Mustapha Amiruddin, 51, memberitahu arwah Hafif cuba diselamatkan pembantu rumah yang berpaut pada batu sungai ketika kejadian. Namun si kecil itu terlepas dari pelukan dan dibawa arus.
  5. Lebih memilukan, arwah meminta pembantu rumah itu tidak melepaskannya namun sayangnya wanita itu tidak berdaya kerana arus yang terlalu deras.
  6. Jenazah Aszura ditemukan 600 meter dari tempat kejadian tidak lama selepas itu.
  7. Manakala jenazah Hafif Muhayat pula ditemukan seorang penduduk kampung dalam operasi mencari dan menyelamat pada jam 9.50 malam di dasar sungai berdekatan sebatang pokok tumbang.
  8. Jenazah Hanna Mikayla dan Hanum Marissa pula ditemukan pada 9 pagi keesokannya dalam selang masa selama 10 minit. Jenazah berkenaan dibawa ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat.
  9. Selepas urusan mandi dan mengkafankan di hospital berkenaan selesai, jenazah keluarga itu dibawa ke Masjid Al-Muhtadin untuk disolatkan.
  10. Jenazah tiga beradik itu dikebumikan jam 6.20 petang dalam satu liang lahad bersebelah pusara Aszura terdahulu dikebumikan pada tengah hari di Tanah Perkuburan Islam Pekan Bidor.

Dalam pada itu, penduduk kampung mendedahkan aliran air sungai didapati deras ketika kejadian dan paras air menurun selepas sejam, namun berdasarkan maklumat, insiden kepala air di kawasan sungai itu sudah lama tidak berlaku.

Pilu Seorang Suami & Ayah

Azam Radin yang terlalu sedih atas kejadian menimpa isteri dan anaknya, berkata ketika kejadian beliau sedang bekerja di Gopeng dan bergegas ke tempat kejadian apabila diberitahu oleh seorang daripada anak saudaranya.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, isteri saya sudah ditemukan lemas,” katanya sebak.

Teruja Berjumpa Nenek

Sementara itu, kakak Azam Radin, Ainur memaklumkan anak-anak saudaranya sangat teruja dan rindu untuk berjumpa opah mereka.

Ujarnya pada minggu lepas sahaja, sudah dua kali Aszura dan Azam serta anak-anak mereka berziarah.

Polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menjalankan aktiviti perkelahan, khususnya sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).

Sumber & Kredit Foto: Sinar Plus dan Berita Harian

Published by
Ruszaini Ruslan