Isteri basuh kain samping suami sampai jadi ‘skirt ruffle.’ Seorang wanita berasa terkejut apabila samping songket tenun milik suaminya mengalami kerosakan teruk selepas dicuci menggunakan mesin basuh akibat teknik pencucian yang tidak sesuai.
Isteri Basuh Kain Samping Suami Sampai Jadi ‘Skirt Ruffle’
Menerusi satu perkongsian di TikTok oleh pengguna @Delishaurelia87, kelihatan kain samping tersebut disidai dalam keadaan renyuk dan berkedut selepas dicuci, menyebabkan ramai warga maya turut berkongsi pengalaman serupa.
“Samping suami saya pun pernah jadi begini. Tapi saya hapuskan bukti terus! Lima tahun dah berlalu, dan setiap kali suami tanya, saya pura-pura cari,” kongsi @Lyana_muhamad.
Paling kelakar bila ada warga maya yang memberi idea kreatif untuk mengelakkan suami menyedari keadaan samping yang sudah rosak.
“Lipat kemas-kemas, simpan dalam almari. Bila suami jumpa, buat-buat terkejut dan tanya, eh kenapa jadi begini?,” cadang @Simfoninatura.my.
Ads
Berikut dikongsikan cara menjaga kain samping songket tenun agar tahan lama
Kain samping jenis songket tenun merupakan warisan budaya yang sangat bernilai, bukan sahaja dari segi seni dan kehalusan buatannya, tetapi juga dari aspek simbolik dalam adat dan tradisi Melayu.
Oleh kerana songket tenun diperbuat daripada benang emas atau perak yang ditenun secara tradisional, ia memerlukan penjagaan khas agar kekal cantik dan tahan lama.
Berikut adalah beberapa cara yang boleh anda amalkan untuk menjaga kain samping songket tenun dengan baik.
1. Simpan Di Tempat Yang Sesuai
Salah satu faktor utama yang boleh menyebabkan kain songket cepat rosak ialah cara penyimpanan yang tidak betul. Pastikan kain samping disimpan di tempat yang kering, sejuk, dan bebas daripada kelembapan. Anda boleh menggantungnya menggunakan penyangkut khas atau melipatnya dengan kemas dalam kotak beralaskan kain kapas untuk mengelakkan geseran berlebihan.
Hindari daripada menyimpan songket dalam plastik kerana ia boleh menyebabkan kelembapan terperangkap, sekali gus mendorong pertumbuhan kulat yang merosakkan kain. Sebaiknya, gunakan kain muslin atau kain kapas untuk membalut songket sebelum disimpan.
2. Elakkan Pendedahan Terus Kepada Cahaya Matahari
Cahaya matahari yang berlebihan boleh menyebabkan warna kain songket pudar dan benang emas atau perak menjadi kusam. Jika anda perlu menjemur kain songket selepas mencuci atau menghilangkan bau, pastikan ia diletakkan di tempat yang redup dan berangin. Jangan biarkan ia terkena sinaran matahari secara langsung dalam tempoh yang lama.
Ads
3. Lipat Dengan Cara Yang Betul
Cara melipat kain songket juga penting bagi memastikan benang dan coraknya tidak rosak. Jangan melipat songket dengan cara yang sama setiap kali kerana ini boleh menyebabkan lipatan kekal yang sukar dihilangkan. Sebaliknya, ubah lipatan secara berkala supaya kain tidak mengalami tekanan pada bahagian yang sama berulang kali.
Sekiranya anda ingin memastikan kain tidak berkedut, letakkan sehelai kain nipis antara lipatan atau gunakan gulungan kain kapas sebelum menyimpannya.
4. Jangan Basuh Dengan Air Atau Mesin Basuh
Songket tenun tidak boleh dicuci seperti pakaian biasa kerana benang emas atau peraknya mudah rosak apabila terkena air. Jika kain samping anda terkena kotoran ringan, cukup sekadar mengelap bahagian tersebut dengan kain lembap yang bersih. Untuk kotoran yang lebih degil, gunakan tuala lembut yang dicelup dengan air suam dan sedikit sabun lembut, kemudian lap secara perlahan-lahan.
Jika anda perlu membersihkan keseluruhan kain, sebaiknya hantar ke pencuci kering (dry cleaning) yang berpengalaman dalam mengendalikan kain tradisional seperti songket.
5. Gunakan Pewangi Dan Anti-Kulat
Untuk mengelakkan bau hapak dan serangan serangga seperti lipas atau kutu kain, anda boleh meletakkan pewangi khas dalam almari penyimpanan songket. Pilihan yang baik ialah bunga cengkih, hirisan kayu gaharu, atau pek silica gel yang boleh menyerap kelembapan berlebihan.
Ads
Elakkan penggunaan kapur barus secara terus pada kain kerana ia boleh merosakkan tekstur dan warna benang songket.
Setelah tujuh tahun perbicaraan berlangsung, semalam rakyat Malaysia menarik nafas lega apabila Mahkamah Rayuan memutuskan hukuman gantung ke atas enam tertuduh yang membunuh Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Keputusan mahkamah itu membuatkan warga maya mengimbau kembali saat kes ini mula menggemparkan negara pada 2017, yang mana berpunca daripada salah seorang tertuduh mempercayai ramalan seorang ‘pengamal perubatan Islam’ yang menuduh Allahyarham Zulfarhan mencuri komputer ribanya
Pendakwah dan pensyarah Fakulti Pengajian al Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Kamilin Jamilin tidak bersetuju individu itu dirujuk dengan istilah ‘pengamal perubatan Islam’, sebaliknya lebih sesuai dirujuk sebagai bomoh, dukun, pawang atau sebagainya.
Menerusi hantaran video di laman media sosialnya, Dr Kamilin menegaskan betapa liciknya golongan jin dan syaitan untuk menyesatkan manusia.
Dr Kamilin tidak menafikan yang golongan jin mungkin mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan mengenai perkara ghaib.
“Dalam hadis riwayat Bukhari disebut bahawa jin-jin ini dia suka curi berita daripada langit,” jelasnya.
Setelah mencuri berita, golongan jin akan menyampaikannya kepada pawang atau bomoh yang menggunakan khidmat mereka.
Namun jelasnya lanjut, Nabi SAW ada mengingatkan yang di sebalik satu kebenaran yang dibawa oleh golongan jin telah ditokok tambah dengan 100 penipuan dan pendustaan.
“Maksudnya jin dan syaitan ini mesti akan cari juga peluang untuk nak sesatkan manusia. Bagi gaduh keluarga ke, bagi jadi buat syirik ke, bagi porak peranda ke. Apa-apa lah, asal bagi dosa besar”.
Manusia Mudah Kalah Pada Emosi
Tambah Dr Kamilin, itu jugalah sebabnya mengapa dosa besar seperti membunuh boleh berlaku disebabkan syaitan tahu kelemahan manusia yang mudah kalah pada emosi.
“Sebab itu Nabi larang kita jumpa bomoh. Pawang ke, dukun ke, tukang ramal ke sama sahaja. Haram dan boleh jatuh syirik,” tegasnya.
Foto: Enam tertuduh dalam kes Allahyarham Zulfarhan Osman.
Memetik hadis riwayat Muslim, ibadah solat seseorang yang menemui tukang ramal dan bertanyakan tentang suatu perkara tidak akan diterima selama 40 hari, demikian kongsi.
Selain itu, Dr Kamilin memberitahu yang hadis riwayat Ahmad menyebut bahawa sesiapa yang mendatangi tukang ramal dan mempercayai apa yang dikatakannya, maka dia telah kufur dengan apa yang telah diturunkan kepada Nabi SAW.
Oleh itu Dr Kamilin menegur sikap masyarakat yang suka merujuk kepada bomoh untuk mencari barang yang hilang, pesalah atau perkara ghaib lain.
Katanya, sikap demikian adalah kesempatan terbesar bagi golongan jin dan syaitan untuk menyesatkan manusia.
Maka, Dr Kamilin memberi peringatan kepada masyarakat yang masih mempercayai perkara khurafat dan syirik agar perkukuhkan akidah dan tauhid.
Terdahulu, Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain meninggal dunia pada 2017 akibat melecur ditekap seterika wap pada hampir keseluruhan badan termasuk di bahagian kemaluan.
Zulfarhan dibelasah dan didera sedemikian oleh enam rakan seperjuangan iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Bertemu mata dengan seseorang yang cukup popular di dalam bidang yang sama merupakan satu keterujaan bagi sesiapa pun.
Itulah yang dirasakan oleh aktor muda yang sedang meningkat naik. Hariz Hamdan apabila berpeluang bertemu pelakon terkenal Thailand, Pon Nawasch.
Ketika menghadiri acara eksklusif pelancaran koleksi ASICS Autum Winter 2023 di Bangkok baru-baru ini, Hariz hadir sebagai wakil pempengaruh dan selebriti dari Malaysia.
Hariz Hamdan
Menurut Hariz, dia amat mengagumi pencapaian kerja lakonan bintang yang cukup popular dengan drama ‘Devil In Law’ dan ‘Praomook’.
“Walaupun dia sangat popular di Thailand namun dia amat merendah diri dan tidak lokek memberikan saya nasihat tentang kerjaya dunia lakonan. Selain itu, kami juga saling bertukar-tukar pendapat memandangkan kami berdua sama-sama menitik berat tentang penjagaan kesihatan,” jelas Hariz.
Pada pertemuan tersebut, Pon yang juga duta ASICS Thailand yang sempat menitipkan nasihat buat Hariz. Baginya Hariz seorang pelakon muda yang mempunyai masa depan cukup cerah dalam industri seni tempatan.
“Saya mengenalinya kerana kami sama-sama menjadi duta jenama ASICS di negara masing-masing. Sebenarnya, saya agak terkejut apabila mendapat tahu usianya baru 21 tahun, cukup muda.
“Tetapi melihat pencapaiannya dan cara dia membawa diri saya yakin dia akan pergi jauh dalam industri seni. Cuma nasihat saya, jangan berhenti untuk bekerja keras meskipun sudah berada di tahap yang selesa.
“Setiap hari ada sahaja pelajaran baru yang perlu dipelajari dan sentiasalah perbaiki diri menjadi lebih baik. Disiplin diri paling utama kerana bukan sahaja memudahkan urusan kerja sendiri tetapi juga orang sekeliling,” ujar Pon.
Sementara itu, Pon agak terkejut apabila diberitahu bahawa dia cukup dikenali di Malaysia.
“Saya popular di Malaysia? Sejujurnya saya tidak tahu tentang perkara itu. Apapun terima kasih buat peminat yang memberi sokongan dengan menonton drama saya termasuk di Malaysia,” ujar Pon yang kini sedang sibuk dengan penggambaran drama terbaharunya.
Pon Nawasch
Dalam pada itu, Hariz yang juga duta ASICS Malaysia di bawa terbang ke Bangkok, Thailand baru-baru ini untuk majlis pelancaran koleksi ASICS Autumn Winter 2023 yang menghimpunkan semua duta jenama tersebut dari seluruh Asia Tenggara.
“Sejujurnya, saya berasa cukup terharu dengan peluang dan kepercayaan yang diberikan kepada saya. Berada dalam sebuah majlis yang dihadiri oleh ramai pelakon terkenal Asia Tenggara membuatkan diri saya terasa kerdil.
“Tetapi mereka semua amat merendah diri meskipun terkenal bukan sahaja di negara masing-masing tetapi juga seluruh Asia Tenggara,” luah Hariz.
Selain Hariz dan Pon Nawasch, duta lain yang turut hadir pada acara tersebut adalah barisan pelakon terkenal Thailand, Toey Pongsakorn, Neng Sarun dan Tay Tawan serta Ratu Universe Filipina 2019, Gazini Ganados.
Terdahulu, turut diadakan acara Klinik Larian GEL – KAYANO 30 untuk menguji ketahanan dan kestabilan koleksi kasut baru yang dikeluarkan pada 1 Julai lalu.
Menurut Eksekutif Pemasaran Sukan dan Perdagangan ASICS Malaysia, Azlani Adani, kasut terbaharu siri GEL – KAYANO 30 dikeluarkan sempena ulang tahun ke-30 tahun siri kasut berkenaan yang mula dikeluarkan pada 1993.
“Rekaan terbaharu kasut ini menggunakan teknologi 4D sistem yang sangat sesuai buat orang yang memiliki tapak kaki rata kerana memberi kestabilan untuk berlari dan bersenam di gim,” katanya.
Jom follow TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah!
7 cara kurangkan jerawat badan yang memang memburukkan kulit anda itu dengan cara ini. Selamat berjaya!
1. Mandi dengan lebih kerap
Ini adalah cara yang paling mudah dan berkesan sekali. Ini kerana jika anda mandi dengan lebih kerap, maka anda dapat merasakan kulit dan liang-liang kulit anda akan lebih bersih dan segar pada setiap masa. Ianya juga dapat mengelakkan longgokan minyak dan kotoran. Haruslah diingat, kulit yang bersih mampu mengelakkan pertumbuhan jerawat di badan.
2. Tukar sabun atau gel mandian yang sesuai
Ada kemungkinan besar juga bahawa jerawat badan mulai tumbuh adalah disebabkan oleh sabun atau gel mandian yang anda gunakan. Jadi anda seharusnya menukar sabun mandian yang biasa anda gunakan kepada sabun mandian yang baru dan kandungannya telah dibuktikan secara klinikal serta tidak mempunyai sebarang bahan yang boleh menyebabkan alergi pada kulit anda.
3. Tukar detergen
Jika anda menggunakan detergen keras berasaskan bahan kimia, anda bolehlah beralih kepada bahan pencuci yang lebih ringan yang dimana menjadikan kain cucian lebih lembut dan juga boleh membunuh kuman dengan betul. Oleh itu sentiasa ingat bahawa apabila anda memakai pakaian yang bersih adalah penting untuk mengelakkan sebarang pertumbuhan bakteria pada kulit anda, dan seterusnya akan mengelakkan jerawat tumbuh pada badan anda.
4. Minum air dengan lebih banyak
Minum air dengan kuantiti yang banyak adalah amat penting untuk mengekalkan kestabilan hormon di tubuh dalam badan anda. Minum air juga dapat membantu untuk mendetoksifikasi badan anda dan ianya juga menyingkirkan toksin untuk mengurangkan rembesan minyak, dengan itu ianya dapat melindungi liang kulit anda daripada tersumbat.
5. Kurangkan pengambilan makanan bergoreng
Apabila anda makan terlalu banyak dan kerap makan makanan bergoreng, ianya akan meningkatkan tahap minyak dalam badan anda. ini akan menyebabkan liang kulit anda tersumbat dengan minyak, oleh yang demikian kelenjar badan anda kemudianya akan menghasilkan lebih banyak minyak daripada yang diperlukan dan keadaan ini akan menyebabkan pertumbuhan jerawat pada badan.
6. Pakai pakaian yang longgar
Terlalu banyak peluh adalah punca kepada pertumbuhan jerawatpada badan. Adalah amat penting bagi anda untuk memakai pakaian yang longgar bagi membolehkan kulit anda bernafas dengan sempurna. Anda juga perlu memilih fabrik yang lembut dan ringan yang dimana membolehkan udara melaluinya, seperti kapas dan linen.
7. Sapukan gel Aloe Vera
Gel Aloe Vera adalah salah satu bahan melegakan kulit daripada kerengsaan dan kemerahan yang disebabkan oleh jerawat. Ia mampu untuk mengeringkan jerawat dan dapat mengeluarkan minyak berlebihan daripada liang kulit agar kulit anda dapat bernafas dengan sempurna.
Sumber : RamenPedas
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.