Sama ada peminat produk Apple atau tidak, setiap kali sesi persembahan iPhone dilancarkan pasti ia tular di laman media sosial. Malah ia menjadi bahan bualan hangat termasuklah di kalangan bukan penggemar peranti pintar.
Hari ini, Apple telah memgumumkan seleksi iPhone 12 terbarunya. Menariknya terdapat beberapa model variasi berbeza ditawarkan seperti iPhone 12 dan mini serta Pro dan Pro Max.
Dan seperti dijangka Apple sekali lagi mengejutkan ramai pihak dengan beberapa pembaharuan atau pendekatan yang diambil. Antara yang paling menarik perhatian ramai ialah pengumuman Apple bahawa iPhone 12 tidak akan disertakan dengan plag charger.
Malah selain itu mereka turut menggantikan kabel baharu iaitu USB-C to Lighting. Dan lebih mengejutkan lagi ia juga hadir tanpa earbuds. Tapi apakah relevannya lagkah drastik ini diambil oleh Apple?
Menurut mereka model terbaharu ini tidak disertakan bersama charger dan earbuds kerana ini merupakan salah satu langkah diambil syarikat mereka untuk kebaikan alam sekitar. Dalam erti kata lain usaha untuk mengurangkan penggunaan atau sisa elektronik yang boleh menjadi penyumbang pencemaran alam sekitar.
Langkah lebih kurang sama juga pernah dilakukan ketika pelancaran Apple Watch baru-baru ini. Ia hadir tanpa charging brick di atas faktor dan alasan yang sama.
Jelas Apple lagi langkah drastik ini mampu mengurangkan kira-kira 2 juta tan metrik pelepasan karbon setiap tahun dengan jumlah menyamai sebanyak 450,000 buah kenderaan.
Secara tidak langsung kotak iPhone 12 yang baharu ini akan lebih kecil dan kompak. Berikutan pengumuman ini ramai pengguna terutamanya peminat Apple mula bising dan berang dengan pendekatan yang dilakukan Apple.
Adakah ia bakal memberikan kesan yang besar terhadap jumlah jualan produk ini di pasaran? Dengan persaingan yang semakin hebat daripada jenama pesaing, ia mungkin memberikan tamparan hebat kepada mereka dalam jangka masa terdekat.
Buat anda yang ingin mencari aksesori telefon pada harga menarik boleh dapatkannya di sini.