Muzik

Inteam Nyanyikan Semula ‘Rabiatul Adawiyah’ Bersama Khai Bahar

Share

Selepas 23 tahun lagu berjudul Rabiatul Adawiyah dipopularkan oleh kumpulan Inteam, kini mereka  memilih Khai Bahar untuk tampil bersama dalam pembikinan nyanyian semula lagu ini dengan judul  Rabiatul Adawiyah 2024 (RA24).

“Kami pernah bekerjasama dengan Khai Bahar di dalam ‘remake’ lagu Setanggi Syurga sebelum ini  pada tahun 2020, dan kami melihat kerjasama tersebut sangat serasi dan mendapat sambutan hangat  dari peminat serta suara Khai juga sesuai dengan lagu-lagu Inteam,” kata Syah Inteam.

Apabila ditanya kepada Khai Bahar pula, mengapa beliau bersetuju berkolaborasi dengan Inteam untuk  lagu ini, beliau menjawab

Lagu Kegemaran Arwah Ibu Khai Bahar

Khai yang juga mengakui minatnya terhadap lagu-lagu Inteam merupakan antara sebab dia bersetuju untuk kolaborasi ini, malah dia sering menyanyikan lagu-lagu kumpulan nasyid itu di media sosial.

“Lebih istimewa lagi, lagu Rabiatul Adawiyah ini adalah di antara lagu yang sangat disukai oleh arwah ibu saya, dan pastinya ia menggamit nostalgia yg indah,” ujarnya.

Untuk rekod, lagu Rabiatul Adawiyah pernah dimuatkan di dalam album Inteam berjudul Impian Kasih  yang dilancarkan pada tahun 2001. Lagu ciptaan Munif Ahmad dari Kumpulan Hijjaz dan lirik oleh Abdul  Kahar ini mengisahkan tentang srikandi sufi bernama Rabiatul Adawiyah.

“Lagu ini sangat bermakna untuk dihayati lebih-lebih lagi dengan ketibaan Ramadan kerana ia  menceritakan kisah perjalanan seorang hamba Allah iaitu serikandi yang mencari Tuhannya dan  akhirnya hanya meletakkan cinta Allah di dalam hatinya mengatasi segala-galanya” jelas Hazamin menceritakan tentang maksud lagu ini.

 “Susunan muzik oleh Chaan kali ini lebih segar dan mengikut arus semasa namun tidak sesekali  menghilangkan keaslian dan penghayatan asal lagu ini.

“Durasi lagu juga dipendekkan sedikit dengan  sebahagian besar lagu dinyanyikan Khai Bahar dan sebahagian lagi oleh Inteam sendiri,” jelas Rahim Inteam mengenai kelainan yang cuba ditampilkan di dalam versi terbaharu ini.

Apabila ditanya mengapa sering menghasilkan lagu lama nyanyian semula dan tidak lagu baru, Hisyam  menjawab Inteam sudah menghasilkan lebih 10 lagu baharu sejak sebelum pandemic Covid-19 melanda seperti Labbaikallah,  Love of God, I Love Muhammad, Sollu Alan Nabi, Gapura, Selimut Kasih dan lain-lain

“Cuma sudah  menjadi kebiasaan bagi kami menjelang Ramadan untuk menyanyikan semula lagu lama dan berduet  dengan artis arus perdana.

“Ini kerana lagu-lagu lama ini ada unsur nostalgia dan kami cuba  memperkenalkan semula lagu-lagu berkualiti terdahulu kepada generasi sekarang yang mungkin masih  belum dilahirkan ketika lagu ini dilancarkan dahulu,” jelasnya.

Lagu Rabiatul Adawiyah 2024 dilancarkan pada 8 Mac 2024 dan kini berada di seluruh platform digital  seperti Spotify, Deezer, Apple music, Kkbox termasuk rangkaian Youtube Inteam Digital.

BACA: Hajar Aswad: Jangan Sampai Menyakiti Atau Disakiti – Dr Kamilin Jamilin

Published by
Ruszaini Ruslan