Inspirasi Pengembaraan Kota Metropolis Milan-Tokyo Jadi Tema Koleksi SS/2022 Onitsuka Tiger

Share

Dua hari lalu jenama fesyen sukan dan gaya hidup berpengaruh asal Jepun, Onitsuka Tiger telah memperkenalkan koleksi kontemporari secara eksklusif menerusi persembahan yang cukup menarik. Koleksi terbaru ini dikatakan sarat dengan gabungan isnpirasi fesyen dengan sukan, serta warisan bersama daya inovasi.

Di bawah pimpinan artistik Andrea Pompilio, Onitsuka Tiger mempersembahkan koleksi Musim Bunga/Panas 2022 di Milan menerusi sebuah filem pendek berjudul ‘Milan-Tokyo’, arahan Hideto Hotta.

Menariknya, jenama fesyen popular Jepun ini menggabungkan trend fesyen sukan bersama keterampilan inovasi telah memilih Milan Fashion Week buat musim kedua untuk mengetengahkan koleksinya yang terkini.

Filem pendek tersebut menggambarkan Andrea melakukan perjalanan dari kota Milan ke Tokyo yang kosong, namun masih belum hilang keunikannya. Rona pengembaraan malam bermula dari lapangan terbang, lalu bergerak pantas ke jalanan metropolis.

Kemunculan lampu isyarat, jambatan, jalan raya dan lebuh raya bertingkat: semuanya tampak kosong. Dengan peralihan pemandangan sekeliling, ia kemudiannya berubah menjadi sebuah landasan fesyen. Ruang yang luas terbentang seterusnya menjadi semakin kecil, menghampiri lorong-lorong Shinjuku dan Shibuya.

Ia sama sekali berbeza dengan keadaan di tengah bandaraya, diterangi lampu neon berwarna-warni milik kedai teknologi dan gajet, juga stesen teksi yang dipenuhi deretan teratur kereta lama serta baharu. Renda putih pada alas tempat duduknya pula memberi kesan bertentangan dengan kemilau LED berwarna-warni pada pintu automatiknya.

Kembara itu berterusan sehingga ke lorong belakang Arked Membeli-belah Ooimachi. Dari kedai kopi dan bar snek, hinggalah ke papan tanda jalanan; semuanya memancarkan cahaya sejuk kehijauan yang menghuraikan perasaan disorientasi, seperti hilang dalam terjemahan (lost in translation). Kembara itu berakhir di ruang atas bumbung salah satu dari bangunan pencakar langit Tokyo

Lampu-lampu yang tidak berhujung mengingatkan semula masa depan dystopia yang digambarkan oleh anime ikonik yang menakluki dunia. Justeru, waktu malam di Tokyo yang menantikan saat bangkitnya dari kesibukan rutin diangkat sebagai simbol tenaga dan kemodenan. Dengan estetik berorientasikan fesyen dan sukan, koleksi Onitsuka Tiger ini nyata sesuai dengan suasana keseluruhannya.

Musim 2022 bakal menjadi Tahun Harimau, simbol teras jenama ini dengan ungkapan tema berterusan iaitu kuasa harimau.

Helaian seleksi serbaguna dan pelengkap gaya dalam koleksi ini menampilkan cetakan haiwan serta geometri, selain garisan mendatar, yang turut digabungkan di dalam himpunan santai ke pantai. Untuk pilihan sepatu, terdapat dua gaya baharu yang menampilkan tapak kaki bercetak dan bahagian atas kasut yang menggambarkan ciri-ciri bulu harimau.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim