Nama Onitsuka Tiger tidak lagi asing di kalangan penggemar fesyen gaya hidup terkini. Jenama asal Jepun ini kini semakin rancak menonjolkan pelbagai rekaan terbarunya dalam usaha memetakan nama mereka menjadi lebih gah di persada fesyen.
Onitsuka Tiger secara berterusan mempersembahkan koleksi kontemporari yang menggabungkan fesyen dengan sukan, serta warisan bersama daya inovasi.
Terbaru, mereka memperkenalkan koleksi Musim Luruh/Dingin Onitsuka Tiger. Kali ini ia hadir hasil daripada cetusan inspirasi alam semula jadi banjaran Himalaya yang hebat dan agung kala musim dingin.
Selain itu, ledakan sensasi sentuhan aktiviti pendakian serta trekking 1970-an turut diserlahkan.
Untuk musim ini, Pengarah Kreatif Onitsuka Tiger, Andrea Pompilio berkolaborasi bersama Toyoki Adachi, pereka merangkap pengarah artistik jenama grafik tekstil “nowartt”, menggabungkan rekaan grafik lengkap kedua-duanya pada setiap helaian pada koleksi ini.
Jenama “nowartt” menonjolkan ‘warisan seni moden’ dan mencipta grafik tekstil dengan menggabungkan dua konsep: “seni tekstil terkini” (“now art textile” ) iaitu seni yang membuatkan kita berasa dalam keadaan semasa tanpa mengira zaman, sementara “tekstil tanpa peperangan” (“no war textile” ) adalah seni yang menzahirkan rasa kedamaian. Kesemua grafik tekstil ini mengandungi mesej “keselesaan berharmoni dengan alam sekitar”.
Untuk kolaborasi ini, grafik tekstilnya diserlahkan di bawah tema fusion vintaj dan seni dari era 60-an juga 70-an dengan berlatarbelakangkan kekuatan yang merintangi pelbagai tradisi, dan fusion antara analog serta digital.
Motif utama termasuklah neelakurinji, iaitu sejenis bunga yang hanya mekar sekali dalam tempoh 12 tahun dan Deeringia polysperma, yang disenaraikan sebagai salah satu spesis tumbuhan terancam, dan ia dihasilkan dalam ekspresi minimalis tipikal rekaan abad pertengahan.
Grafik tekstil ini, direka menerusi kombinasi dua konsep yang saling bercanggah – “vintaj x seni” dan “analog (lukisan tangan) x digital” – digunakan pada helaian seluar trek klasik, jaket tebal serta beg galas.