Automotif

Inisiatif Transformasi ‘BEYOND ZERO’, UMW Toyota Motor Ke Arah Neutraliti Karbon

Share

Selaku pengeluar kereta bukan nasional terkemuka di Malaysia, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) kini hadir menampilkan inisiatif Beyond Zero. Ia merupakan inisiatif selaras dengan matlamat global Toyota ke arah Neutraliti Karbon menjelang 2050.

Menerusi acara yang dianjurkan bermula pada 20 Februari sehingga 28 Februari di Taman Teknologi Malaysia, UMWT mempersembahkan inisiatif transformasi yang mempamerkan komitmen jenama itu terhadap amalan mampan dan mesra alam.

Ia turut merangkumi ikrar UMWT untuk menerajui usaha ke arah mewujudkan masa depan yang mampan dan saling berhubung.

Wawasan ini melangkaui konsep automotif konvensional, membayangkan sebuah masyarakat di mana setiap individu mengejar kebahagiaan dengan membuat pilihan yang selari dengan nilai dan gaya hidup mereka. Inilah yang dinamakan sebagai pendekatan berbilang laluan ke arah Neutraliti Karbon.

KOMITMEN BESAR

Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang merasmikan acara itu memuji UMWT atas komitmen yang ditunjukkan oleh syarikat itu terhadap amalan mampan dan pemuliharaan alam sekitar.

“Menyedari kepentingan untuk peralihan Malaysia kepada tenaga mampan, kita didorong oleh komitmen global dan potensi untuk kepelbagaian ekonomi dan keterjaminan tenaga. Malaysia, yang diiktiraf sebagai negara terbaik di Asia Tenggara dalam Indeks Peralihan Tenaga 2023 oleh Forum Ekonomi Dunia, berada di atas landasan yang betul untuk menjadi pemimpin serantau dalam peralihan tenaga. Usaha inovatif Toyota dalam tenaga bersih, menerusi pendekatannya yang pelbagai, sememangnya selari dengan matlamat negara kita.”

Acara itu menekankan komitmen UMWT untuk menyelaraskan amalannya dengan usaha negara dan global yang lebih meluas bagi menangani perubahan iklim dan memupuk pembangunan mampan.

Bagi mempamerkan komitmen Toyota yang tidak berbelah bahagi terhadap pendekatan berbilang laluan ke arah neutraliti karbon, syarikat itu menawarkan pelbagai penyelesaian elektrifikasi bagi memenuhi keperluan unik pelanggan dan rantau ini, memastikan bahawa tiada seorang pun yang akan ketinggalan dalam perjalanan ke arah mencapai pelepasan Karbon Dioksida Sifar.

Presiden UMWT, Datuk Ravindran K. ketika berucap pada majlis itu berkata, “Kami mengakui wujudnya pelbagai cabaran dan peluang di seluruh negara dalam usaha kami memperjuangkan pendekatan berbilang laluan (multi-pathway) dan melaksanakan tindakan kitar hayat yang sesuai agar selari dengan setiap kepentingan nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara.

“Menyedari keunikan landskap industri automotif Malaysia, serta kedudukannya sebagai hab pengeluaran elektrik dan elektronik utama di Asia Tenggara, adalah penting untuk kami meletakkan diri kami di kedudukan yang sewajarnya dalam perjalanan ini,” tambahnya lagi.

SECARA SIMBOLIK

Acara Beyond Zero dilancarkan secara simbolik bagi mempamerkan pendekatannya yang pelbagai dengan berbagai-bagai teknologi elektrifikasi, termasuk Kenderaan Elektrik Hibrid, Kenderaan Elektrik Bateri dan Kenderaan Elektrik Sel Bahan Api.

Kenderaan elektrifikasi ini mempamerkan kemampanan automatif terkini, yang menampilkan elemen reka bentuk dan teknologi termaju bertujuan untuk mengurangkan impak terhadap alam sekitar.

Selain HEV, UMWT turut memperkenalkan buat pertama kalinya, Kenderaan Elektrik Bateri dan Kenderaan Elektrik Sel Bahan Api, termasuk mempamerkan model bZ4X yang bergaya, Hilux BEV yang tahan lasak dan C+pod yang mempunyai reka bentuk unik, sebuah BEV ultra kompak dua tempat duduk yang sememangnya mesra alam.

BACA: Bila Kereta Berhenti Je Aircond Terus Tak Sejuk, Ini Beberapa Punca & Penyebabnya!

C+pod telah diperkenalkan sebagai pilihan mobiliti yang direka khusus bagi meningkatkan kadar kecekapan tenaga setiap individu dalam persekitaran bandar.

Untuk Kenderaan Elektrik Sel Bahan Api pula, UMWT telah memperkenalkan model termaju seperti Toyota Mirai FCEV, GranAce FCEV dan Hilux FCEV.

Kenderaan yang dikuasakan oleh hidrogen ini menggabungkan inovasi teknologi dengan reka bentuk anggun dan prestasi dinamik, menggunakan teknologi Sel Bahan Api untuk menjana elektrik daripada Hidrogen dan Oksigen.

Satu lagi inovasi yang mendapat perhatian ialah bas SORA. Diambil daripada singkatan untuk Sky, Ocean, River and Air (Langit, Laut, Sungai dan Udara), SORA adalah sebuah bas yang dikuasakan oleh sel bahan api hidrogen, seperti yang terdapat pada Toyata Mirai.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim