Selaku pengeluar kereta bukan nasional terkemuka di Malaysia, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) kini hadir menampilkan inisiatif Beyond Zero. Ia merupakan inisiatif selaras dengan matlamat global Toyota ke arah Neutraliti Karbon menjelang 2050.
Menerusi acara yang dianjurkan bermula pada 20 Februari sehingga 28 Februari di Taman Teknologi Malaysia, UMWT mempersembahkan inisiatif transformasi yang mempamerkan komitmen jenama itu terhadap amalan mampan dan mesra alam.
Ia turut merangkumi ikrar UMWT untuk menerajui usaha ke arah mewujudkan masa depan yang mampan dan saling berhubung.
Wawasan ini melangkaui konsep automotif konvensional, membayangkan sebuah masyarakat di mana setiap individu mengejar kebahagiaan dengan membuat pilihan yang selari dengan nilai dan gaya hidup mereka. Inilah yang dinamakan sebagai pendekatan berbilang laluan ke arah Neutraliti Karbon.
KOMITMEN BESAR
Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang merasmikan acara itu memuji UMWT atas komitmen yang ditunjukkan oleh syarikat itu terhadap amalan mampan dan pemuliharaan alam sekitar.
“Menyedari kepentingan untuk peralihan Malaysia kepada tenaga mampan, kita didorong oleh komitmen global dan potensi untuk kepelbagaian ekonomi dan keterjaminan tenaga. Malaysia, yang diiktiraf sebagai negara terbaik di Asia Tenggara dalam Indeks Peralihan Tenaga 2023 oleh Forum Ekonomi Dunia, berada di atas landasan yang betul untuk menjadi pemimpin serantau dalam peralihan tenaga. Usaha inovatif Toyota dalam tenaga bersih, menerusi pendekatannya yang pelbagai, sememangnya selari dengan matlamat negara kita.”
Acara itu menekankan komitmen UMWT untuk menyelaraskan amalannya dengan usaha negara dan global yang lebih meluas bagi menangani perubahan iklim dan memupuk pembangunan mampan.
Ads
Bagi mempamerkan komitmen Toyota yang tidak berbelah bahagi terhadap pendekatan berbilang laluan ke arah neutraliti karbon, syarikat itu menawarkan pelbagai penyelesaian elektrifikasi bagi memenuhi keperluan unik pelanggan dan rantau ini, memastikan bahawa tiada seorang pun yang akan ketinggalan dalam perjalanan ke arah mencapai pelepasan Karbon Dioksida Sifar.
Presiden UMWT, Datuk Ravindran K. ketika berucap pada majlis itu berkata, “Kami mengakui wujudnya pelbagai cabaran dan peluang di seluruh negara dalam usaha kami memperjuangkan pendekatan berbilang laluan (multi-pathway) dan melaksanakan tindakan kitar hayat yang sesuai agar selari dengan setiap kepentingan nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara.
“Menyedari keunikan landskap industri automotif Malaysia, serta kedudukannya sebagai hab pengeluaran elektrik dan elektronik utama di Asia Tenggara, adalah penting untuk kami meletakkan diri kami di kedudukan yang sewajarnya dalam perjalanan ini,” tambahnya lagi.
SECARA SIMBOLIK
Acara Beyond Zero dilancarkan secara simbolik bagi mempamerkan pendekatannya yang pelbagai dengan berbagai-bagai teknologi elektrifikasi, termasuk Kenderaan Elektrik Hibrid, Kenderaan Elektrik Bateri dan Kenderaan Elektrik Sel Bahan Api.
Ads
Kenderaan elektrifikasi ini mempamerkan kemampanan automatif terkini, yang menampilkan elemen reka bentuk dan teknologi termaju bertujuan untuk mengurangkan impak terhadap alam sekitar.
Selain HEV, UMWT turut memperkenalkan buat pertama kalinya, Kenderaan Elektrik Bateri dan Kenderaan Elektrik Sel Bahan Api, termasuk mempamerkan model bZ4X yang bergaya, Hilux BEV yang tahan lasak dan C+pod yang mempunyai reka bentuk unik, sebuah BEV ultra kompak dua tempat duduk yang sememangnya mesra alam.
C+pod telah diperkenalkan sebagai pilihan mobiliti yang direka khusus bagi meningkatkan kadar kecekapan tenaga setiap individu dalam persekitaran bandar.
Untuk Kenderaan Elektrik Sel Bahan Api pula, UMWT telah memperkenalkan model termaju seperti Toyota Mirai FCEV, GranAce FCEV dan Hilux FCEV.
Kenderaan yang dikuasakan oleh hidrogen ini menggabungkan inovasi teknologi dengan reka bentuk anggun dan prestasi dinamik, menggunakan teknologi Sel Bahan Api untuk menjana elektrik daripada Hidrogen dan Oksigen.
Satu lagi inovasi yang mendapat perhatian ialah bas SORA. Diambil daripada singkatan untuk Sky, Ocean, River and Air (Langit, Laut, Sungai dan Udara), SORA adalah sebuah bas yang dikuasakan oleh sel bahan api hidrogen, seperti yang terdapat pada Toyata Mirai.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Walaupun kereta kelihatan bersih kerana kerap dicuci tapi pastinya anda akan sakit mata apabila bahagian lampu kereta kelihatan kuning. Setiap kereta yang terdedah dengan hujan dan panas, lama-kelamaan akan menyebabkan bahagian lampu kereta ini menjadi kusam dan kabur. Buntu memikirkan cara untuk mengilatkan kembali lampu kereta yang sudah kuning? Jangan bimbang. Dengan bajet bawah RM15 ini, anda boleh kembali mengilatkan lampu kereta yang sudah kuning agar tampak seperti baru.
Hari ini bro nak share cemana nak clearkan dan gilap headlight yang sudah kuning and kusam dengan modal tidak sampai RM15.
Ada macam-macam lagi cara dan produk untuk tujuan ini, tapi ini antara yang berhasillah. Yang penting kena gigih menggosok yeh. Selamat mencuba!
(Ini untuk headlamp plastik sahaja)
Langkah-langkah ada dalam caption setiap gambar.
Lampu asal. Setelah bertahun-tahun, lampu akan menjadi kekuningan dan kabur kerana oksida. Berbahaya terutama untuk drive malam sebab lampu akan jadi kurang terang.
1. Dimulakan dengan Bismillah. Saya pakai kertas pasir gred 600 untuk membuang lapisan kuning dan kabur.
2. Gosok dengan menggunakan air. Masa ini nampak kesan kotor dan kuning itu tertanggal.
3. Setelah gosok, lap dan keringkan. Pastikan kesan kuning sudah berkurangan.
4. Next, gosok dengan kertas pasir gred 1000. Boleh juga nak gunakan gred 1500 atau 2000. Method sama, gosok dengan menggunakan air.
5. Setelah digosok dengan gred 1000 dan dikeringkan.
6. Ini yang saya pakai, Autosol metal polisher. Terdapat kat mana-mana kedai hardware. Harga dalam RM8-RM12 (bergantung kepada tempat).
7. Picit sedikit pada lampu dan gosok menggunakan kain (ini baru gosok sikit sudah nampak clear).
8. Teruskan menggilap sehingga clear dan cerah. Ini hasilnya setelah digilap lebih kurag 1/2 jam.
9. Inilah hasilnya selepas menggunakan tip bajet ini.
Selamat mencuba.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Sebagai salah satu pemain dan jenama terbesar dalam kategori premium kompak, MINI sentiasa menampilkan serta menawarkan pakej-pakej menarik yang mempunyai nilai tambah hebat.
Sebagai sebuah jenama automotif premium kompak tercanggih di Malaysia, MINI sentiasa menggandingkan pesona Britain dan kejuruteraan Jerman. Terbaru, para peminat MINI bakal disajikan dengan penjimatan serta opsyen pembiayaan yang menakjubkan.
Sehingga hujung September ini, pelanggan jentera MINI baharu boleh menikmati tawaran bertempoh terhad dengan kadar faedah serendah 0.98% melalui Pelan Pembiayaan ‘Straight-Line’ untuk merasai sendiri pengalaman mobiliti elektro bertaraf premium pada harga cukup berpatutan.
Menurut Ketua MINI Malaysia, Linnet Yew, “Legasi MINI yang menjangkau usia 64 tahun, didefinisikan melalui senyuman yang diukir oleh jentera ini pada wajah pemiliknya, sambil ia terus membekalkan pengalaman pemanduan yang mengasyikkan serta menzahirkan gaya sensasinya.
“Dan dengan pengenalan program penjimatan MINI Electric, kami ingin mengelektrifikasikan legasi tersebut. Koleksi tawaran khas ini yang terdiri daripada pelbagai imbuhan menarik dilihat merangkapkan sejarah MINI yang ikonik, selain menekankan komitmen berterusan kami untuk menggiatkan anjakan ke arah mobiliti elektro di Malaysia.”
Usaha yang dicurahkan oleh para pembekal tenaga dan infrastruktur sedang menaik taraf aksesibiliti fasiliti pengecasan di samping memudahkan lagi penggunaan kenderaan elektrik di negara ini.
FASILITI PENGECASAN
Mengalir dalam nadi yang sama, BMW Group Malaysia juga telah menyediakan lebih daripada 1,000 buah fasiliti pengecasan dalam rangkaiannya setakat ini.
MINI Malaysia turut menawarkan imbuhan menarik yang bernilai sekitar RM20,000. Ia meliputi:
MINI Wallbox Percuma: Memudahkan urusan pengecasan jentera MINI Electric anda, selain mengelakkan keperluan untuk kerap mengunjungi fasiliti pengecasan awam.
Pengecasan Awam 1 Tahun Percuma: Nikmati akses pengecasan awam di semua rangkaian stesen JomCharge serta stesen-stesen ChargEV yang terpilih.
Waranti Lanjutan: Berlapang dada dengan penambahan 1 tahun dalam liputan waranti Inklusif Servis dan Pembaikan MINI anda, memanjangkan tempoh keseluruhan liputan kepada 5 tahun.
Rebat Menarik: Terokai rebat menarik di pusat-pusat pengedaran MINI yang bertauliah, memperkayakan lagi nilai yang ditawarkan.
Bukan itu sahaja, MINI Financial Services juga memperkenalkan pelbagai pelan pembiayaan, bermula dengan kadar serendah 0.98% menerusi Pembiayaan “Straight-Line”.
Sementara itu, dengan opsyen Pembiayaan “Easy Drive”, ansuran bulanan anda boleh menjengah nilai serendah RM1699 sahaja, memudahkan akses mobiliti elektro premium tanpa memberi kekangan dari sudut kewangan dan kepuasan pemanduan anda.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Bagi peminat automotif melakukan modifikasi kepada kenderaan milik mereka memberikan satu kepuasan yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Melihatkan hasil yang berjaya dilakukan setelah melakukan perancangan dan ubah suai merupakan satu kejayaan peribadi yang cukup unik.
Jadi usahlah kita persoalkan kenapa sesetengah ‘kaki kereta’ cukup aktif melakukan modifikasi pada kenderaan mereka. Ia merupakan satu minat yang cukup menebal di dalam diri. Bercakap tentang modifikasi, terdapat pelbagai jenis bentuk yang dilakukan oleh peminat kereta.
MASKULIN tertarik dengan modifikasi yang dilakukan oleh seorang ‘tuner’ dari negara India terhadap Toyota Fortuner. Untuk rekod Toyota Fortuner merupakan model kenderaan SUV yang sangat popular di negara tersebut sejak beberapa tahun lalu.
Antara faktor yang membuatkan ia menjadi cukup popular ialah kualiti ketahanan serta binaan, kemampuan beroperasi di atas pelbagai permukaan dan juga kos servisyang tidak terlalu mahal.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik oleh channel Revokids memaparkan bagaimana sebuah Toyota Fortuner dilengkapi ruang khas mengandungi tandas!
Malah pemerhati industri automotif tempatan mendakwa bahawa ia merupakan Toyota Fortuner pertama yang dilengkapi dengan tandas seperti itu. Kenderaan yang nampak normal di bahagian luar tetapi unik di bahagian dalamannya ini dimodifikasi oleh Ojes Garage.
Keseluruhan bahagian luarannya adalah standard kecuali pada bahagian tayarnya yang ditukar kepada tayar 18 inci BF Goodrich AT.
Bahagian dalaman yang ‘dikorbankan’ untuk diletakkan tandas merupakan salah sebuah kerusi di barisan ketiga penumpang, Malah untuk ke ruangan tandas, kerusi pada bahagian kedua perlu dilipat terlebih dahulu.
Apa yang menarik, instalasinya nampak cukup kemas dan pemasangan yang dilakukan cukup berhati-hati. Memang jelas nampak hasil kerja orang yang cukup profesional dalam bidang modifikasi. Selain itu, tangka air juga disediakan untuk kegunaan dan ia juga diatakan tidak akan tertumpah walaupun berada padalokasi off road.
Buat pengetahuan anda lagi, di negara India model Toyota Fortuner didatangkan dengan enjin petrol dan diesel. Manakala enjinnya diesel 2.8 liter mampu menghasilkan kuasa 202hp dan tork 500Nm manakala versi petrol 2.7 liter mengekstrak kuasa 162hp dan tork 245Nm. Untuk transmisi pula terdapat uda jenis iaitu manual dan automatik. Namun, opsyen sistem pacuan empat roda (4X4) hanya ditawarkan dengan varian diesel.
Menarik bukan modifikasi ini? Kalau pergi trip jauh memang sangat berguna. Cumanya kalau ‘membuang’ itu terpaksalah buka tingkap selepas digunakan. Kasihan pula penumpang lain terpaksa menanggung derita!