Berita tentang model baru keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dengan kod D20N sudah lama berlegar sejak awal tahun ini.
Agak sukar untuk mendapatkan informasi tentang model generasi ketiga Perodua Myvi berkenaan. Penulis mengumpulkan maklumat sejak dari awal tahun bagi mendapatkan gambaran yang hampir.
Maklumlah, pihak pengeluar automotif tempatan itu mengunci mulut dengan rapat. Bahkan pihak sumber industri juga tidak mahu memberi kerjasama apabila diajukan soalan tentang model Myvi itu.
Setelah berusaha dan mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber, ternyata penampilan Myvi baharu tidak sama dengan model Daihatsu Boon seperti mana yang digambarkan oleh portal automotif sebelum ini.
Mengukuhkan lagi informasi tersebut, baru-baru ini difahamkan model akhir Myvi itu dipertontonkan secara tertutup kepada pihak vendor. Bayangan Myvi baharu berkenaan sebenarnya lebih mirip Toyota Corrolla iM . Difahamkan Myvi baharu memiliki saiz badan yang lebih besar berbanding generasi sedia ada.
Justeru itu, pihak Sinar Turbo mengambil inisiatif melakar imej D20N berdasarkan bayangan yang diberikan oleh pihak sumber. Mungkin ketepatan imej lakaran berkenaan hanyalah 70 peratus. Difahamkan pihak Perodua melakukan transformasi daripada segi saiz, penampilan, kabin dan mekanikal.
Berdasarkan informasi yang diterima, dapat penulis ringkaskan bahawa dimensi Myvi baharu meningkat daripada segi panjang dan lebar berbanding generasi sebelumnya.
1) Menurut sumber, bahagian depan Myvi mirip model Honda Jazz. Bahkan, difahamkan lampu depan bakal menggunakan lampu LED bersama ciri pelarasan sebagai standard.
2) Pandangan sisi D20N seakan model Jazz dan juga Toyota Corolla iM. Saiznya lebih panjang dan memiliki garis aerodinamik.
3) Beralih kebelakang, rekaannya mengingatkan anda kepada model Kia Rio yang dipadankan dengan desain lampu combi yang sedikit berkotak. Khabarnya, pihak Perodua masih mengekalkan konsep pembuka pintu but belakang yang ada pada model Axia baharu.
4) Perodua mungkin mempertahankan pilihan rim 14 inci bagi model terbaru ini. Alangkah bagusnya jika mereka menambah satu lagi pilihan rim bersaiz 15 inci.
5) Khabarnya Perodua bakal memperkenalkan warna baharu iaitu kelabu selain warna badan putih, merah dan perak.
Selain itu, difahamkan Perodua juga merombak susun atur kabin D20N yang lebih mengutamakan ergonomik bagi memudahkan capaian butang kawalan buat pemandu.
1) Posisi gear kini diposisikan di konsol tengah dan tidak lagi diletakkan pada bahagian papan pemuka.
2) Difahamkan reka bentuk papan pemuka tidak lagi mendatar dan keseluruhan butang kawalan berada pada posisi ergonomik, ke arah pemandu.
3) Varian tertinggi bakal menerima skrin sentuh bersama integrasi GPS, pemain DVD dan lain-lain.
4) Butang penghidup push/start ditawarkan standard pada semua varian.
5) Bakal dilengkapi dengan kerusi semi bucket seperti mana yang ditawarkan pada varian Myvi Advance.
6) Lebih menarik, khabarnya Myvi baharu tidak lagi didatangkan dengan tayar ganti donat. Bakal dilengkapi dengan tayar ganti biasa.
Dijangka Perodua bakal menggantikan enjin DVVT sedia ada dengan unit Toyota NR 1.3 liter dan 1.5 liter Dual VVT-i yang kini dipasang pada model Bezza dan Vios baharu.
Sementara, bahagian transmisi masih mengekalkan kotak gear 4-kelajuan automatik dan 5-kelajuan manual.
Difahamkan D20N ini bakal menjadi model Perodua yang pertama menggunakan Tangki Minyak Plastik (PFT) yang beratnya hanya separuh daripada tangki minyak besi yang biasa, sekali gus mengurangkan berat kereta.
Myvi D20N bakal membawa ciri ciri yang terdapat pada model Bezza seperti Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC), Bantuan Mula-Mendaki (HSA) dan Eko Melahu (Eco Idle).
Bilakah model Myvi baharu berkenaan akan dilancarkan?. Masih belum lagi dapat dipastikan. Difahamkan pengeluaran massa Myvi baharu dijadualkan pertengahan Oktober ini dan khabarnya D20N tersebut akan dilancarkan dalam bulan ini juga.
Sama-sama kita nantikan.