Pengguna laman media sosial sama ada usianya muda, dewasa, masih belajar, sudah bekerja, bujang atau pun berkahwin pasti kenal akan sosok tubuh Khairul Aming.
Dia merupakan figura kini dikenali sebagai influencer dan personaliti media sosial yang terkenal dengan seleksi video masakan dan juga produk sambalnya yang cukup tular dan sentiasa laku keras.
Perkembangan yang dilaluinya terutama menerusi perniagaan ‘Sambal Nyet’ sentiasa dinantikan oleh pengikut dan peminatnya. Semalam, Khairul Amin telah berkongsi dengan cukup panjang lebar menerusi satu untaian di laman Twitter kendaliannya.
Perkongsian yang cukup memberikan inspirasi kepada usahawan muda yang lain itu menunjukkan perkembangan luar biasa perniagaan sambal miliknya. Jelas Khairul Aming, sejak ia dilancarkan sambal keluarannya telah mencecah jualan sehingga RM7.5 juta.
Malah, sehingga 2 Mac 2022, jualan telah pun mencecah RM8.6 juta. Apa yang mengujakan lagi, Khairul Aming turut berkongsi tentang perjalanannya membina kilang sendiri di negeri kelahirannya, Kelantan.
Dengan bermula memasak sendiri di rumah bertukar ke lot kedai dan hinggalah memiliki kilang sendiri seluar 14,000 kaki persegi. Selepas berbelanja lebih dari RM1 juta ringgit kini dia mampu berbangga dengan operasi kilangnya yang bermula pada semalam.
Menerusi untaian tersebut, MASKULIN boleh senaraikan beberapa kunci rahsia yang telah membuatkan Khairul Aming berkaya mengecap kejayaan luar biasa seperti sekarang dengan hanya satu produk sahaja iaitu ‘Sambal Nyet’!
Tahukah anda Khairul Aming memiliki ijazah dalam bidang kejuruteraan dan tidak memiliki latar belakang formal dalam bidang masakan? Namun sejak dari mula dia percaya akan kebolehan dirinya sendiri.
Menghasilkan video masakan dari semasa ke semasa dengan kualiti kandungan dan produksi baik membuatkan ramai mula jatuh hati dengan personalitinya. Dengan kepercayaan kepada diri sendirilah juga mungkin telah membuatkan dia sentiasa ingin lebih maju ke hadapan.
Membina kilang sendiri daripada kosong bukanlah satu kerja yang mudah. Malah jelsnya, ramai yang mencadangkannya untuk mengupah sahaja Original Equipment Manufacturer (OEM) untuk menghasilkan produknya. Namun itu bukanlah satu jalan mudah untuk dirinya kerana dia ingin belajar. Itulah risiko yang harus dia ambil.
Populariti yang dikecapi oleh Khairul Aming bukanlah datang bergolek sekelip mata. Sejak beberapa tahun lalu dia telah membina jenama ‘Khairul Aming’ dengan menghasilkan video masakan yang berkualiti di laman media sosial. Video masakannya sepanjang 30 hari Ramadan membuktikan video berdurasi pendek juga mampu meraih jutaan tontonan.
Selepas mendapat pegikut yang setia barulah dia mula merancang mengeluarkan produk sendiri dengan ‘Sambal Nyet’.
Mereka yang berjaya dalam perniagaan adalah mereka yang sentiasa ingin belajar dan tidak terkongkong dalam zon selesa semata. Dari penmerhatian MASKULIN, Khairul Aming merupakan seorang anak muda yang mempunyai semangat ingin belajar cukup luar biasa sekali.
Dia tampil dalam industri kulinari tanpa sebarang pendidikan formal bidang tersebut namun sifat sentiasa ingin belajar membuatkan dia maju ke hadapan. Membina kilang sendiri dengan mengambil penglibatan secara langsung juga menunjukkan passion yang tinggi dibawa olehnya.
Di antara sebab mengapa ramai orang suka menontotn video Khairul Aming adalah disebabkan aura merendah dirinya. Setiap susun atur kata-katanya cukup mesra untuk didengari. Malah dia juga sentiasa terbuka untuk menerima sebarang teguran, kritikan dan berusaha untuk perbaiki jika ada kekurangan.
Lumrah dalam perniagaan pasti akan ada cabarannya sendiri. Paling penting adalah untuk kenal pasti dan akui jika ada kesilapan. Menerusi perkongsiannnya, Khairul Aming akui sepanjang setahun yang lalu pelbagai kesilapan yang telah dilakukannya.
Di antaranya ialah tersilap beli mesin, beli bahan atau material salah, rekaan layout kilang tersilap dan banyak lagi. Tapi bagi dirinya dari kesilapan itulah dia belajar hinggalah lahirnya kilang sendiri.
Jika anda seorang follower laman media sosial Khairul Aming pastinya tahu bahawa Khairul Aming akan sentiasa berkongsi perkembangan perniagaannya dari semasa ke semasa.
Tidak ramai usahawan yang sanggup dan terbuka untuk berkongsi dengan teliti perjalanan perniagaan mereka. Menerusi perkongsiaan ini ia mungkin dapat membantu usahawan muda yang lain dengan tip-tip yang baik.
Ilmu itu satu komoditi yang tiada nilainya. Mereka yang benar-benar berjaya tidak akan kedekut ilmu kerana mereka menganggapnya ia satu perkara baik yang harus dikongsi bersama.
MASKULIN yakin setiap perkongsian Khairul Aming boleh memberikan banyak ilmu yang baik dalam dunia perniagaan terutamanya kepada usahawan muda yang terinspirasi olehnya.
Setiap kejayaan ahli perniagaan pasti ada keluargha dan pasukannya sendiri yang menjadi tunjang utama. Khairul Amin sentiasa menyatakan dirinya terhutang budi dengan mereka yang selalu berad di belakangnya dan tidak lupa juga kepada pengikut dan pelanggang yang memberikan sokongan cukup luar biasa.
Semoga kisah kejayaan Khairul Aming ini dapat memberikan inspirasi juga kepada anda. Buat Khairul Aming, tahniah dan semoga terus maju jaya dalam perniagaan!
Jangan lupa untuk subscribe channel YouTube MASKULIN!