Bak kata sesetengah pengamal diet apa gunanya bersenam bagai nak rak dan berdiet jika terus mengambil makanan dan minuman yang tidak memberi manfaat kepada tujuan asal anda berdiet.
Ya, memang terdapat pelbagai jenis diet diperkenalkan sekarang. Itu terpulang kepada kesesuaian gaya hidup masing-masing. Tapi harus sentiasa ingat setiap orang adalah berbeza dan tak sama.
Ada orang ingin kurangkan berat badan dan ada juga ingin tambah berat badan. Tapi kebiasaanya bila bercakap tentang diet pastinya berkait tentang misi menurunkan berat badan.
Jadi apa jenis makanan dan minuman yang perlu anda elak jika ingin berat badan cepat turun?
Siapa yang tak suka minuman berkarbonat, bukan? Tapi biasalah, benda sedap memang boleh bawa banyak keburukan. Kebanyakan minuman ini mengandungi kafein yang agak tinggi. Anda yang gemar minuman ini mungkin tidak sedar ia mencetuskan kebergantungan dan ketaghihan terhadapnya. Boleh dikatakan minuman ini hampir tak mempunyai apa-apa sedikit khasiat.
Makanan bergoreng mengandungi banyak kalori tersembunyi. Sesetengah kedai makan mungkin menggunakan minyak mengandungi lemak tepu atau makanan yang digoreng dengan mentega atau telur dengan banyak. Jika teringin sekali pun anda boleh goreng sendiri agar boleh pilih minyak yang baik dan sesuai dengan selera anda.
Selain minuman berkarbonat penggemar juga memenuhi ‘keperluan’ mereka dengan kopi. Tidak kiralah sama ada kopi bergula atau bersusu kebanyakan kopi di kedai hari ini mengandungi creamer, gula, dan penambah perisa yang lain. Jika nak minum juga pesan sahaja kopi kosong tanpa gula atau krimer.
BACA: Tak Sangka Ulam Mempunyai Banyak Khasit Dalam Diet Harian!
Antara jenis makanan yang patut anda elak ialah roti putih dan produk mengandungi tepung diperkaya. Tepung yang diperkaya ini bermakna ia telah di-‘bleached’ dan kehilangan khasiat yang berharga. Untuk lebih berkhasiat carilah roti penuh gandum dan pasta.
Kalau anda ke pasaraya sekarang boleh lihat di setiap ceruk ruang bahagian makanan pasti terdapat makanan dan minuman segera. Tahukah anda bahawa makanan dan minuman inilah yang paling kerap dibeli pengguna dan diambil oleh kita disebabkan ia bersifat instant? Kebanyakan makanan segera ini mempunyai kandungan garam dan penambah perisa yang tinggi. Manakala minuman segera pula tinggi kandungan gula dan krimer.
Lain halnya pula dengan makanan dalam tin. Ia sangat banyak mengandungi penambah perisa yang sangat tinggi. Tambahan lagi kandungan garamnya juga cukup tinggi. Ya, ia mungkin berguna pada ketika anda sedikit gawat tapi jangan amalkan sebagai menu utama dalam diet harian anda.
Bila tiba sahaja masa untuk makan tengahari pasti restoran makanan segera akan menjadi salah satu destinasi dipilih. Jangan amalkan begitu dan senarai hitamkan terus fast food dari menu makan anda. Kebanyakan makanan segera digoreng dalam minyak dan amat sedikit kandungan vitamin dan mineral diperlukan tubuh badan. Kalau nak makan juga tolong hadkan kepada 1 atau 2 kali sahaja dalam sebulan.
Sekejap, kenapa nak pilih makan snek buah sedangkan anda boleh pilih buah yang sebenar? Ya, mungkin sesetengah jenama snek engandungi vitamin dan mineral tetapi ia juga kebiasaannya mengandungi gula dan perisa tambahan. Yakinlah bahawa pilihan terbaik adalah buah yang segar dan semula jadi berbanding makanan yang diproses.
Ketahuilah bahawa roti keju dan muffin yang kebanyakan dijual dalam saiz besar bukanlah pilihan bijak untuk diet harian anda. Sekali tengok memang menggoda tapi dan ‘nafsu’ makan memang luar kawalan anda. Tapi sebelum mengambilnya pesan pada diri sendiri bahawa ia mengandungi tepung yang diperkaya, gula dan lemak tepu yang tinggi.