Bermula minggu ini musim cuti sekolah bermula dan pastinya ramai yang merancang untuk pergi berjalan-jalan makan angin dan melancong.
Bagi seorang lelaki biasanya tak perlu pening kepala sangat memikirkan apakah jenis pakaian yang perlu dibawa.
Tapi ketahuilah bahawa ia sebenarnya tidak semudah itu!
Setiap lokasi yang dikunjungi memerlukan anda membawa pakaian yang berbeza dan kuantiti yang pelbagai variasi.
Pilihlah keperluan pakaian asas, praktikal, bergaya serta ringkas untuk dibawa dalam bagasi anda. Namun begitu, sebelum mengemas pakaian, senaraikan terlebih dahulu aktiviti yang akan dilakukan sewaktu bercuti supaya ia bersesuaian dengan tempat dan acara yang dikunjungi.
BACA: 5 Cara Menabung Yang Boleh Bawa Anda Melancong Di Hujung Tahun
Anda perlu fokus tentang jenis pakaian dan aksesori yang diperlukan serta sesuai, praktikal tetapi masih menarik dan bergaya untuk aktiviti serta acara daripada mula menjejakkan kaki di tempat percutian hingga selamat pulang ke rumah.
Ingat, percutian adalah sesuatu yang ceria. Pastikan anda bawa pakaian dalam warna kegemaran. Kadangkala kita perlu berani mencuba pakaian reka corak atau motif dan tekstur yang baru atau warna terang sebagai salah satu cara untuk menyemarakkan lagi mood percutian.
Namun begitu, bagi mereka yang tidak berani bereksperimen, anda boleh memilih rona neutral seperti hitam, putih, kelabu, biru dan hijau zaitun (olive) yang juga sangat menarik digayakan dengan warna terang dan reka corak. Warna kasut yang paling mudah untuk disuai padan pula adalah hitam, putih ataupun perang (tan).
Tetapi semuanya adalah pilihan individu. Apa yang penting anda bijak serta berani bereksperimen. Pemilihan fabrik pakaian pula adalah untuk keselesaan. Pilih pakaian dalam fabrik yang mudah dijaga (low maintenance). Contohnya fabrik kapas (cotton), linen, denim dan khaki.
Perlindungan kulit dari matahari juga jangan diabaikan. Anda disarankan membawa topi, kaca mata hitam dan paling penting krim pelindung matahari. Kita semua tahu bahawa jika kulit terlalu lama di bawah panahan matahari, proses penuaan akan lebih mudah berlaku serta kesan-kesan sampingan yang lain.