Individu Lengkap Vaksinasi Mungkin Dibenarkan Rentas Negeri

Share

Bilakah kali terakhir anda melakukan aktiviti rentas negeri tanpa memerlukan permit dan keberan daripada pihak polis?

Besar kemungkinan anda sendiri pun sudah lupa kerana sudah terlalu lama kita kita dibenarkan melakukan rentas negeri, apatah lagi dengan fasa terkini iaitu ‘full lockdown’. Berdepan norma baharu dan mendepani wabak ini, salah satu cara terbaik untuk kita atasinya ialah dengan menyahut seruan kerajaan mengambil vaksinasi COVID-19.

Pengagihan vaksin kini sudah pun memasuki fasa ke-3 yang bermula hari ini. Dan terbaru, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata Kerajaan sedang meneliti kelonggaran dan kebebasan yang akan diberikan kepada individu yang sudah melengkapkan vaksinasi termasuk kebenaran untuk merentas negeri.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin
Foto: Astro Awani

Memetik laporan BERNAMA, Khairy turut menjelaskan bahawa perkara itu sedang diperhalusi oleh jawatankuasa teknikal terdiri daripada pakar-pakar kesihatan dan sains yang ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV), sebelum dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara untuk diumumkan dalam masa terdekat.

“Ia akan melihat aspek klinikal selain mengambil kira data-data dari negara lain. Apakah kebebasan yang akan dibenarkan kepada mereka yang sudah lengkap divaksinasi dan pada tahap peratusan ambang manakah kita dapat memberi kebebasan kepada mereka yang sudah menerima vaksin.

“Sebagai contoh di Amerika Syarikat, Centers For Disease Control (and Prevention) telah keluarkan garis panduan bagi mereka yang sudah lengkap vaksinasi. Contohnya, sekiranya ada beberapa orang yang telah lengkap vaksinasi yang ingin berjumpa di dalam satu bilik, mereka boleh buka pelitup muka mereka,” katanya.

Individu yang sudah melengkapkan dos vaksin Covid-19 juga akan dikenal pasti menerusi aplikasi MySejahtera yang berperanan sebagai pasport vaksin kepada individu tersebut.

RUNDINGAN DENGAN NEGARA LUAR

“Apabila profil MySejahtera anda berwarna kuning, bermakna vaksinasi anda sudah lengkap dan kita akan guna QR Code tersebut apabila jawatankuasa teknikal mengesyorkan kebebasan kepada mereka yang sudah lengkap vaksinasi diberikan kebenaran melakukan perkara-perkara yang sebelum ini tidak dapat dilaksanakan,” tambahnya lagi.

Foto hiasan

Katanya, kerajaan juga sedang melakukan rundingan dengan negara-negara lain untuk mendapatkan pengiktirafan bersama mengenai pasport vaksinasi itu. Sehingga kini Singapura sudah hampir memuktamadkan rundingan tersebut dengan Malaysia.

Beliau bagaimanapun mengulangi ingatan agar rakyat terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan walaupun mereka sudah divaksinasi dan mendapat kebebasan.

“Buat masa ini, vaksinasi bukan pengganti SOP, terutamanya di sektor-sektor yang beroperasi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Walaupun vaksinasi ini sangat penting untuk kita memulihkan negara tetapi dari sudut SOP kita yang sedia ada seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan lain-lain mesti terus ditegaskan dan dikuat kuasa,” katanya.

Jadi buat anda yang masih belum mendaftar, usah berlengah lagi. Daftarlah segera untuk dapatkan temu janji vaksinasi anda. Lindung diri, lindung semua!

Published by
Farizul Izwany Ibrahim