Pasaran India khabarnya bakal menerima model kruiser daripada Suzuki. Menerusi laporan Zigwheels, pihaknya menerima jemputan pelancaran model baharu daripada Suzuki India pada 7 November ini. Bagaimanapun, pengeluar motosikal asal Jepun itu masih mengunci mulut tentang produk baharu berkenaan.
Khabarnya model tersebut ialah Suzuki Intruder 150. Menerusi pengenalan model itu, Suzuki akan melakukan debut motosikal pengenalan asas dalam segmen kruiser. Penggayaan Intruder 150 tidak sama dengan motosikal lain dalam segmennya. Ia tampil tajam dan moden serta menonjolkan perkadaran yang besar.
Bahkan sebelum pelancarannya, brosur model tersebut sudah pun bocor di alam maya. Daripada segi dimensi model berkenaan didatangkan dengan panjang 2,130mm, lebar (805mm) dan tinggi (1,095mm). Malah jarak roda Intruder 150 juga lebih panjang iaitu 1,405mm dan jarak kelegaan tanahnya pula 170mm.
Reka bentuk lampu depan yang diukir disepadukan dengan tangki bahan api yang panjang. Imej kruiser boleh dilihat menerusi pelana lebih rendah (740mm), ekzos berkembar kemasan krom, dan madgad bersaiz besar.
Jentera itu tampil moden menerusi ciri LED pada lampu projektor dan lampu belakang. Bahagian casis dilihat seakan menggunakan rangka jenis berlian pada model Suzuki Gixxer. Tetapi posisi tunggangan agak berbeza dengan bar hendal yang lebar dan posisi perehat kaki sedikit ke depan.
Dikatakan model itu bakal dilengkapi dengan enjin 154.9cc, penyejukan udara, silinder tunggal yang mampu menghasilkan kuasa 14bhp dan tork 14Nm. Ia kemudian digabungkan dengan transmisi 5-kelajuan.
Keselesaan tunggangan diserahkan kepada fork teleskopik di depan dan monoshock di belakang. Tugas membrek dilakukan oleh brek cakera pada roda depan dan belakang bersama ciri ABS.