Inspirasi

Impian Setinggi Angkasa, Anak Malaysia Buktikan Idea ‘Gila’ Sebenarnya Tidak Gila

Share

“3 rakyat Malaysia cipta teknologi pengecasan tanpa wayar di angkasa, bulan”, itulah tajuk utama laporan media tempatan yang membawa nama mereka menjadi sebutan dan meraih perhatian MASKULIN kali ini.

Kali ini MASKULIN berjaya mendapatkan dua daripada mereka untuk tampil sebagai MASKULIN Man of The Moment edisi April 2024.

Idea untuk membangunkan sistem pengecasan tanpa wayar satelit ini dicetuskan oleh Razlan Dhamir, 29 atau nama sebenarnya Muhammad Razlan Dhamir Hamdan.

Kemudian idea ‘gila’ ini disambut baik oleh dua rakannya iaitu Matt Kamil, 29, atau nama sebenarnya Muhammad Mohd Kamil dan juga Lee Guo Rui, 25, yang lebih mesra disapa Justin.

Foto (dari kiri): Matt Kamil, Razlan Dhamir & Lee Guo Rui (Justin).

Bagaimanapun, Justin yang kini menetap di Amerika Syarikat (AS) tidak mampu untuk menyertai Razlan dan Matt di sesi temu bual bersama MASKULIN.

Ketiga-tiga mereka mengusahakan projek ini dibawah syarikat yang diasaskan bersama iaitu Aphelia.

Syarikat ini sudah diusahakan seawal 2017 namun didaftarkan secara rasmi pada 2020, demikian jelas Razlan ketika ditemu bual MASKULIN.

Menurutnya, pada asalnya Aphelia juga membangunkan teknologi yang serupa namun menumpukan pada telefon bimbit dan beberapa peranti lain.

“Walaupun saya minat sangat teknologi, saya juga minat bukan sahaja keusahawanan tetapi juga keusahawanan teknologi (technopreneurship

),” kata Razlan.
Foto: Razlan Dhamir ketika tampil sebagai MASKULIN Man of The Moment Edisi April 2024.

Namun seperti perjalanan mana-mana syarikat rintisan, syarikat mereka juga menghadapi pelbagai dugaan, termasuklah gagal mendapatkan pelanggan.

“Dari situ kami fikir teknologi pengecasan tanpa wayar ini memang tak boleh untuk telefon bimbit. Jadi kami cari pilhan lain, antaranya dron,” ujar graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Bagaimanapun idea itu juga tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan. Oleh itu, Razlan akhirnya berkata kepada Matt dan Justin, “saya rasa kita patut ke angkasa”.

Itulah titik permulaan bagaimana Aphelia mengubah hala tuju untuk membangunkan teknologi di angkasa pula.

Idea Gila Yang Tidak Gila

Seperti orang lain, idea luar biasa Razlan ini juga mengejutkan Matt dan Justin.

Menurut Matt, dia mengakui berasa ragu-ragu pada awalnya untuk melaksanakan idea Razlan.

Foto: Matt Kamil ketika tampil sebagai MASKULIN Man of The Moment Edisi April 2024.

“Dia (Razlan) ni gila ke gila genius?” seloroh Matt ketika ditanya MASKULIN.

Tetapi semangat membara yang terpancar pada diri Razlan akhirnya meyakinkan Matt untuk menyambut baik idea tersebut.

Tambahan pula, Matt menganggap usia mereka yang masih muda adalah satu peluang untuk meneroka pelbagai peluang dan risiko.

“Kita muda lagi, masa ini lah kita nak ambil risiko yang besar yang patut kita ambil.  Sebab nanti kalau dah kahwin, dah ada anak kan susah, kan?” ujar graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa) dari UiTM itu.

Selain itu, idea Razlan yang dianggap ‘gila’ itu sebenarnya tidak lah begitu gila jika dibandingkan dengan idea-idea pemain industri yang sama di peringkat antarabangsa.

“Kita di Malaysia selalu hadkan diri kita. Kita akan rasa benda itu luar biasa,” ujar Matt.

Bergaul dengan pemain industri angkasa dari AS, Singapura menyedarkan Matt yang idea ‘gila’ Razlan itu sebenarnya sesuatu perkara yang biasa.

“Idea-idea mereka sebenarnnya lagi gila,” tambah Matt.

Industri Angkasa Perlu Tenaga Dari Luar Bidang

Selain itu, Matt memberitahu yang kebanyakan pemain industri angkasa sebenarnya tiada latar belakang pendidikan bidang angkasa.

“Cuma mereka jumpa satu jurang pasaran, satu masalah yang mereka percaya mereka boleh selesaikan. Itulah cara mereka masuk industri angkasa,” jelasnya lagi.

Hal ini juga dipersetujui Razlan yang memaklumkan bahawa bidang angkasa memerlukan ramai orang dari luar bidang itu untuk menyertai mereka.

“Bidang angkasa perlukan peguam, pembuat dasar, dan yang penting pemasaran,” tambah Razlan yang berhasrat memperbetulkan mitos bahawa seseorang perlu belajar kejuruteraan angkasa untuk memasuki bidang tersebut.

“Tidak wujud kejuruteraan angkasa. Bidang ini adalah gabungan pelbagai bidang seperti mekanikal, elektrik, kimia dan sebagainya,” ujar Razlan.

Masih Ramai Yang Cipta Apps

Sebagai wakil syarikat teknologi rintisan, Matt memaklumkan masih ramai syarikat tempatan lain yang mencipta aplikasi telefon pintar.

Perkara ini sangat berbeza di AS di mana banyak syarikat di sana yang sudah beralih ke teknologi mendalam.

“Kalau tanya sesiapa di Malaysia nak buat teknologi apa, kebanyakannya mahu mencipta aplikasi.

“Bukanlah tiada langsung pasaran, tetapi sudah terlalu tepu,” jelas Matt.

Memetik laporan media tempatan sebelum ini, Matt pernah memaklumkan yang mereka mahu keluar dari tanggapan yang mengatakan Malaysia hanya sekadar negara pengguna teknologi dan bukan pencipta teknologi.

Foto: Razlan Dhamir & Matt Kamil dalam sesi temu bual ketika tampil sebagai MASKULIN Man of The Moment Edisi April 2024.

“Banyak sangat orang pandai di Malaysia. Tetapi mungkin ketiadaan sesuatu platform atau pendedahan, bagi saya agak merisaukan sebab sampai bila kita nak jadi sekadar pengguna?

“Sebab dalam mesyuarat kerajaan banyak kali keluar topik itu, ‘kita bukan negara pencipta teknologi, kita negara pengguna teknologi’. Tapi itulah, siapa yang nak buat?”.

Disebabkan itulah, mereka mahu mengetengahkan diri untuk buktikan yang rakyat Malaysia mampu membina teknologi canggih sendiri selain berharap anak muda lain juga ada aspirasi untuk membina teknologi setara.

Paksa Diri Untuk Meneroka

“Saya masih ingat di acara syarikat rintisan di AS itu, pasti kita menjangkakan kehadiran pelabur, pengasas syarikat lain dan ahli korporat. Tetapi yang mengejutkan, ramai juga mahasiswa,” kata Matt kepada MASKULIN.

“Mereka (mahasiswa) tahu yang syarikat-syarikat berkenaan berpotensi untuk menjadi yang teratas di dunia.

“Walaupun mereka mahasiswa dari Berkeley, Standford, memang universiti terbaik dunia, tetapi nampak mereka segan membawa resume mereka,” demikian perkongsian Matt.

Tambahnya, semangat untuk tetap melaksanakan sesuatu walaupun segan inilah yang sepatutnya dicontohi oleh anak muda tempatan.

“Walaupun segan, kena buat juga. Nak kata jangan segan tu menipu lah, kami pun segan sebenarnya sampai sekarang”.

Tonton temu bual penuh Man of The Moment Edisi April 2024 di saluran Youtube Maskulin.

BACA: Datuk Mohd Noor Helmy Turun Padang Santuni Rakyat Untuk Didik Masyarakat

 

Published by
Ruszaini Ruslan