Impian Lelaki Obes Ini Tidak kesampaian Untuk Turunkan Berat Badan, Meninggal Akibat Sesak Nafas

Share

Hajat seorang lelaki obes seberat 286 kilogram (kg) untuk kembali kurus dan menikmati kehidupan normal tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia.Mohamad Faisal Md. Ali, 29, yang pernah mendapat perkhidmatan jurulatih kecergasan peribadi percuma pada Oktober lalu menghembuskan nafas terakhir di pangkuan ibunya, Kamsah Mat Noor, 57, akibat sesak nafas.

“Ketika itu saya melihat wajah Faisal berpeluh dan dia semacam sukar bernafas. Saya tepuk-tepuk pipinya dan meminta abangnya supaya segera memanggil Dresar (Pembantu Perubatan) dari Klinik Kesihatan Batu Rakit untuk melihat keadaan anak saya

“Tidak lama selepas Dresar  sampai dan memeriksa Faisal, anak saya disahkan sudah tiada,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengebumian Allahyarham Faisal.​​​​​​​ 

Anak bongsu daripada lima beradik itu sebelum ini terlantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu kira-kira dua bulan akibat sesak nafas dan baru pulang ke rumah empat hari lalu.

Mengulas antara permintaan akhir anaknya sebelum meninggal dunia, Kasma berkata ketika sedang mendapatkan rawatan di hospital, arwah anaknya pernah memintanya membuatkan makanan kegemarannya iaitu nasi kerabu.

“Tapi saya beritahu pada dia tak boleh, Doktor tak bagi. Sepanjang di hospital memang Faisal hanya diberikan minum susu enam kali sehari oleh doktor,” katanya sebak.

Kasma yang juga seorang pengusaha kuih-muih di kampung tersebut berkata pemergian Faisal satu kehilangan besar baginya kerana selama ini arwah antara anak yang rajin membantunya membuat kuih-muih untuk jualan harian.

“Arwah juga seorang yang periang, boleh kata dia merupakan penghibur kepada keluarga kami, Makcik akan rindu senda gurau Faisal nanti,” katanya. 

Dalam pada itu, jenazah Mohamad Faizal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Mengabang Telipot .Jenazah lelaki obes itu diturunkan dengan penakal menerusi bantuan jentolak di dalam liang lahad.

 

Published by
Ruziana Zainal