Selama ini mesti ada terdetik di hati kita kenapa eh kena ucapkan syukur sebaik selepas bersin betul tak? Dalam Islam kita dimestikan menyebut “Alhamdulillah” selepas bersin manakala bagi yang kafir pula mereka akan mengucap “God bless you”. Jadi, apakah persamaannya?
Baru-baru ini Imam Muda Asyraf menerusi segmen “Kawan Tanya, Ustaz Jawab” di Radio Sinar menjelaskan hal ini.
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah s.a.w bersabda,
”Sesungguhnya Allah menyukai bersin dan membenci menguap. Jika ada di antara kalian yang bersin lalu mengucap “Alhamdulillah”, maka setiap Muslim yang mendengarnya wajib menjawabnya. Sedangkan menguap sesungguhnya berasal dari syaitan, maka tahanlah ia semampunya. Apabila seseorang anak adam mengatakan ‘haaahh’ (kerana menguap), maka syaitan akan tertawa.” (HR. Bukhari No. 6223).
Allah s.w.t menyukai bersin kerana ia dapat membersihkan rongga dalaman seperti rongga antara hidung, mulut dan lain-lain. Bersin juga menurut sains mampu mengejutkan otak untuk kembali aktif serta meringankan tubuh.
Allah s.w.t membenci perbuatan menguap pula kerana ia dianggap mampu mendatangkan mudarat yang menjejas kesihatan manusia. Jika difikir secara logik, mulut adalah lawan kepada hidung. Apabila kita menguap, kita akan menghela segala kotoran, debu dan udara tercemar menerusi mulut sedangkan mulut tidak mempunyai sebarang penyaring udara. Hasilnya, segala kotoran yang dihela menerusi perbuatan menguap itu akan tersimpan di dalam tubuh.
Oleh kerana itu, Rasulullah s.a.w meminta kita untuk menahan menguap semampunya atau paling tidak menutup mulut dengan tangan.
Meskipun bersin itu disukai Allah s.w.t… untuk kebaikan bersama, sila tutup hidung dan mulut dengan kain, tisu dan sebagainya. Ini adalah untuk mengelak orang lain terkena virus anda sekaligus menyebar penyakit. Menurut hadis sahih yang diriwayatkan Imam Bukhari, selain mengucap “Alhamdulillah”… orang lain yang mendengarnya hendaklah menjawab “Yarhamukallaah” (semoga Allah merahmatimu) dan orang yang bersin itu tadi pula perlu membalas “Yahdiikumullaah wa yushlihu baalakum” (semoga Allah memberimu hidayah dan memperbaiki keadaanmu).
Nasihat pakar, jangan sesekali menahan bersin kerana ia akan membawa padah. Kadang kala kita hendak bersin tetapi sewaktu di khalayak, dalam mesyuarat atau dalam dewan peperiksaan umumnya, ramai di antara kita menahan diri dengan menekan hidung untuk mengelakkan diri mengeluarkan sebarang suara bukan? Jika dilakukan selalu ia akan undang bahaya!
Kelajuan bersin manusia adalah 161km/jam. Bersin berlaku dalam keadaan tiba-tiba dan apabila kita memaksa diri untuk menahan kelajuan tiba-tiba tersebut, ia akan mengganggu fungsi tubuh seterusnya menyebabkan kuman yang sepatutya keluar masuk semula ke dalam rongga-rongga berkenaan.
Menurut Dr. Michael Roizen, antara keburukan lain menahan bersin adalah pecah gendang telinga, gangguan pendengaran, tulang rawan hidung patah, kecederaan retina, pendarahan hidung serta vertigo.
Sesungguhnya, kita hendaklah mengelak diri daripada melakukan kebencian Allah s.w.t. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua. Selamat beramal!