Hiburan

Ikon Perfileman Malaysia, Bront Palarae Kini Bergelar Profesor Adjung MMU

Share

Dalam dunia seni lakon tempatan, nama Bront Palarae tidak asing lagi. Pelakon, pengarah, penerbit dan penulis skrip berbakat ini telah mengukuhkan namanya bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di persada antarabangsa.

Bront Palarae atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, telah aktif dalam dunia hiburan lebih dua dekad. Namanya terus dikenali kerana beraya menampilkan keunikan serta versatiliti lakonan yang mengagumkan.

Namanya mula menjadi sebutan selepas mencuri perhatian menerusi watak dalam drama bersiri ‘Sindarela’ (2008), sebelum namanya semakin menyerlah dalam filem seperti ‘Belukar’ (2010) dan ‘Jwanita’ (2015).

Namun, kejayaan beliau tidak terhenti di situ sahaja. Bakat lakonannya turut mendapat pengiktirafan antarabangsa, membolehkannya beraksi dalam produksi luar negara seperti siri HBO Asia, ‘Halfworlds’, dan filem aksi Indonesia, ‘Headshot’.

Tidak sekadar seorang pelakon, Bront juga berperanan di belakang tabir. Beliau merupakan pengasas Pixel Play Entertainment dan telah menerbitkan filem seperti ‘One Two Jaga’ (2018), yang dipuji kerana keberanian mengangkat isu sosial dan ketidakadilan dalam sistem penguatkuasaan undang-undang.

LANTIKAN BAHARU

Terbaru, Bront Palarae telah mencatat satu lagi pencapaian membanggakan apabila dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Seni Sinematik (FCA), Universiti Multimedia Malaysia (MMU).

Pelantikan ini diumumkan secara rasmi oleh MMU sebagai pengiktirafan terhadap kepakaran serta pengalaman luas beliau dalam industri seni dan kreatif.

Memetik kenyataan Fakulti Seni Sinematik, MMU, Bront Palarae merupakan seorang penggiat profesional dalam industri hiburan Malaysia dengan berpengalaman selama lebih dua dekad di bidang lakonan, penerbitan dan seni kreatif.

“Beliau sudah membintangi lebih 70 filem merentasi tujuh negara, termasuk memfokuskan karier seninya di tanah air, Indonesia serta Thailand.

“Seorang tokoh terkemuka dalam industri filem, Bront sudah berkhidmat dalam Jawatankuasa Penasihat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas),” kata kenyataan dari MMU itu lagi.

Untuk rekod, gelaran Profesor Adjung merupakan anugerah kehormat kepada profesional dan tokoh berpengalaman dalam sesuatu bidang.

SEBARIS NAMA BERPENGARUH

Selain Bront, dua tokoh animasi terkenal, Nizam Razak dan Usamah Zaid Yassin, turut menerima pelantikan yang sama di fakulti berkenaan.

Dengan pengiktirafan ini, Bront menyertai barisan selebriti tempatan lain yang turut diberi penghormatan akademik, termasuk Datuk Afdlin Shauki, Datuk Aznil Nawawi, Datuk Rizalman Ibrahim, Datuk Ras Adiba Radzi dan Datuk Cef Wan.

BACA: Azeem Fahmi Catat Sejarah, Pecah Rekod 60m Sekali Lagi Dalam Tempoh Kurang Sebulan

Sebagai contoh, Afdlin pernah dilantik sebagai Profesor Adjung di Universiti Utara Malaysia (UUM), manakala Cef Wan menerima gelaran tersebut pada 2017 bagi bidang pelancongan dan hospitaliti.

Pelantikan Bront sebagai Profesor Adjung bukan sahaja menandakan pencapaian individu beliau, tetapi juga membuktikan bahawa industri kreatif tempatan semakin diiktiraf dalam dunia akademik.

Dengan pengalaman serta pemahaman mendalam dalam dunia perfileman, Bront pastinya akan membawa inspirasi dan panduan berharga kepada generasi pembikin filem masa depan.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Sumber:

Published by
Farizul Izwany Ibrahim