Penularan wabak COVID-19 yang masih lagi menjadi krisis besar pada saat ini cukup menduga masyarakat global. Sepanjang bulan Ramadan lalu boleh dikatakan seluruh umat Islam di dunia menjalani ibadah di bulan mulia tersebut dengan pengalaman cukup berbeza.
Berbuka puasa hanya di rumah. Makanan berbuka atau bersahur juga dihasilkan di rumah atau dipepsan secara penghantaran. Solat terawih juga dilakukan hanya di rumah.
Dan pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu umat Islam di seluruh dunia juga menunaikan solat sunat Hari Raya dengan pendekatan yang jauh berbeza. Jika di negara kita telah tular pelbagai ragam pagi raya bersolat sunat hari raya di rumah, berbeza pula situasinya dengan segelintir masyarakat Islam di Jerman.
Selepas kesemua masjid dan rumah ibadah ditutup umat Islam di Jerman telah melakukan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di kawasan letak kereta yang luas di sebuah gedung IKEA.
Dengan mengamalkan penjarakan sosial, kira-kira 700 orang telah mengambil bahagian bersolat jemaah. Lokasi tersebut dipilih kerana ia mempunyai keluasan yang mencukupi bagi menunaikan solat sambil mengamalkan penjarakan sosial yang baik.
Difahamkan The Islamic Community Mili Gorus (IGMG) telah memohon keizinan daripada pihak IKEA untuk menunaikan solat di kawasan tersebut. Permohonan tersebut telah dipersetuji oleh IKEA dan perkara tersebut telah menjadi satu topik hangat di kalangan warganet antarabangsa kerana keterbukaan mereka membenarkan acara tersebut berlangsung di outletnya.
IGMG turut melahirkan rasa terima kasih kepada pihak polis Wezlar, pejabat perundangan Wetzlar dan pelbagai pihak yang menjadikannya sebagai sebuah realiti.
Walaupun umat Islam sering berdepan dengan pelbagai cabaran diskriminasi dan perkauman yang semakin hebat di Eropah namun toleransi begini masih lagi segar dan wujud.
Sumber: IGMG