Kopi menjadi antara minuman kegemaran ramai orang. Bagi penggemar kopi, anda boleh jadi tidak keruan jika satu hari tidak mengena kopi.
Seolah-olah kalau tidak minum kopi badan rasa lesu dan kurang bertenaga. Namun ada juga segelintir yang sensitif dengan kopi sehingga menyebabkan pening kepala dan sebagainya.
Menurut perkongsian Dr Zubaidi Hj Ahmad di laman Facebooknya, seseorang yang minum secawan kopi akan menjadikan hidup anda lebih sihat.
Jadi untuk penggemar kopi anda tidak perlu risau kerana ia mempunyai kebaikannya tersendiri. Yang penting, minum secawan kopi tanpa gula!
Ramai di antara kita yang seolah-olah “tidak boleh hidup” jika tidak minum secawan kopi di waktu pagi.
Saya suka berkongsi satu kajian, menunjukkan bahawa meminum kopi dikaitkan dengan panjang umur dan kebarangkalian mendapat penyakit kronik termasuk kanser yang rendah.
Kajian ini diterbitkan dalam jurnal perubatan yang terkenal, Annals of Internal Medicine. Kajian yang dilakukan di University of Southern California yang melibatkan 185,000 orang selama 16 tahun.
Saintis mendapati mereka yang minum satu cawan kopi tanpa gula mempunyai kebarangkalian 12% untuk hidup lebih lama berbanding dengan mereka yang tidak minum kopi dalam hidup mereka.
Mereka yang minum dua atau tiga cawan kopi mempunyai kebarangkalian untuk bebas dari penyakit kronik termasuk kanser sebanyak 18%.
Dalam kajian yang lain, saintis yang melibatkan setengah juta orang di seluruh Eropah mendapati meminum kopi dapat merendahkan risiko untuk mendapat penyakit kardiovaskular dan penghadaman.
Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa dengan minum kopi tanpa gula setiap hari dapat merendahkan risiko mendapat penyakit.
Parkinson’s dan Alzheimer’s dan dapat mengawal gula dengan lebih baik bagi pesakit diabetes. Ia juga dikatakan dapat meningkatkan sistem kekebalan tubuh.
Jadi minumlah kopi tanpa gula untuk mendapat kebaikan kopi.
Namun ada orang yang sensitif terhadap kopi (yang mengandungi kafein). Mereka mungkin akan mengalami rasa sakit kepala, degupan jantung yang laju, dan rasa tidak selesa dalam perut.
Ambillah dalam kuantiti dan pada yang masa yang sesuai.
Semoga bermanfaat.