Ketika dunia kini sedang ‘berperang’melawan penularan Covid-19, Amerika Syarikat yang juga negara paling tinggi mencatatkan kes positif serta kematian kini berdepan krisis perkauman yang cukup tegang.
Demonstrasi jalan telah berlangsung selama beberapa hari di kota-kota utama Amerika Syarikat lantaran kes kematian kejam seorang lelaki berketurunan African American, George Floyd akibat kegananasan polis.
Video kekejaman yang berlaku telah tular di laman media sosial sekaligus mencetuskan protes besar-besaran. Gerakan ‘Black Lives Matter’bukan bermula baru-baru ini malah ia telah lama dilaungkan oleh mereka yang acap kali menjadi mangsa penindasan.
Selebriti di Malaysia juga tidak kurang memberi respon terhadap apa yang berlaku. Kebanyakannya memberikan respons positif dan menyeru agar penindasan seperti apa yang berlaku dihentikan serta-merta.
Namun kenyataan kontroversi yang keluar dari Miss Universe Malaysia 2017, Samantha Katie James telah menjadi bahan bualan warganet tempatan. Rata-rata melahirkan kemarahan dengan apa yang diperkatakan oleh Samantha.
Ramai mengangap apa yang diperkatakan oleh Samantha sebagai tidak masuk akal dan berbaur perkauman. Antaranya menyuruh komuniti African American untuk ‘mengambil ini sebagao cabaran’dan mendakwa mereka telah ‘memilih untuk dilahirkan sebagai orang berkulit hitam di Amerika’.
Beberapa selebriti berpengaruh turut menyuarakan kekesalan dan kemarahan mereka dengan kenyataan Smantaha. Antara yang paling menarik perhatian ialah dari pelakon kelahiran Sarawak yang kini mencipta nama di Hollywood, Henry Golding.
Menerusi perkongsian di IG Stories, Henry secara terbuka mengkritik apa yang diperkatakan oleh Samantaha.
“Biasanya saya akan cuba tenang bila berdepan perkara seperti ini. Namun membaca komen anda membuatkan saya rasa marah.
“Anda tidak tahu apa yang mereka lalui setiap hari. Untuk anda bercakap dengan berbaur perkauman di platform seperti ini, anda perlu ditegur.”
Tambah Henry lagi, majoriti daripada kita semua tidak akan dapat faham dan rasa apa yang dilalui komuniti African American setiap hari. Apa yang boleh kita lakukan adalah meminjamkan suara untuk keadilan kepada mereka.
“Saya tidak akan berdiam diri melihat sesetengah selebriti Malaysia mengeluarkan kenyatan mengarut seperti ini. Dan saya tidak akan benarkan orang mempunyai tanggapan salah dengan apa sebenarnya yang berlaku.
“Sayangi antara satu sama lain. Satu Malaysia, satu dunia.”
Sumber: Instagram Henry Golding