Berita

Helikopter TLDM Terhempas, Apa Yang Diketahui Setakat Ini

Share

Hari ini seluruh rakyat Malaysia, khususnya pasukan keselamatan negara berduka di atas satu tragedi helikopter TLDM terhempas yang cukup menyayat hati.

Kemalangan ini menyaksikan dua helikopter milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertembung dan terhempas di Kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak.

Memetik sumber Harian Metro,kedua-dua helikopter terbabit berlepas dari padang Sitiawan, Perak pada jam 9.03 pagi tadi sebelum bertembung di udara.

Pesawat HOM (M503-3) yang membawa tujuh kru terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut manakala pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas di kolam renang Komplek Sukan TLDM Lumut.

Sebuah video yang menyaksikan perlanggaran dua helikopter tersebut juga turut tular di laman media sosial. Kedua-dua helikopter yang bertembung di udara dan terhempas di itu dilaporkan sedang menjalani Latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.

Berdasarkan laporan, dua helikopter yang terdiri model HOM dan Fennec telah berlepas dari Padang Sitiawan pada 9.03 pagi, pada Selasa.

Bagaimanapun, berlaku pelanggaran di udara sebelum masing-masing terhempas di tangga Stadium Pangkalan TLDM dan berdekatan kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Astro Awani pula melaporkan dari laporan awal oleh Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, seramai 10 mangsa terlibat yang maut dalam nahas itu.

Ketika ini pihak bomba masih dalam proses mengeluarkan beberapa mangsa yang terlibat daripada kedua-dua helikopter berkenaan. Tragedi menggemparkan negara ini turut mendapat perhatian dari Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menzahirkan rasa sedih dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga 10 mangsa.

Baginda berkata, “Saya dan Raja Zarith berasa amat sedih di atas kehilangan wira-wira negara dalam tragedi ini. Al-Fatihah dan salam takziah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.

“Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada.

“Saya juga mahukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan terperinci bagi mendapatkan maklumat sepenuhnya berhubung kejadian ini,” titah Seri Paduka Baginda dalam catatan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melahirkan ucapan takziah dan menyifatkan tragedi ini sebagai sangat menyayat hati dan meruntun jiwa.

Jelasnya, Perdana Menteri, tragedi berkenaan juga memberi kesan yang mendalam kepada keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kehilangan besar buat negara.

“Tragedi ini ternyata memberi kesan yang mendalam kepada keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kehilangan besar buat negara.

“Saya dimaklumkan satu siasatan segera akan dijalankan Kementerian Pertahanan khususnya TLDM untuk mencari punca nahas,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan yang dikongsi di akaun media sosial beliau, pada Selasa.

Turut mengulas tentang tragedi ini ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin yang berkata 10 anggota TLDM tersebudt berpangkalan di Lumut, Perak dan Kota Kinabalu, Sabah.

Jelasnya, TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian melibatkan helikopter TLDM tersebut.

Beliau turut menasihati orang ramai tidak mularkan video kejadian bagi menjaga sensitiviti dan menghormati keluarga mangsa.

Berikut senarai 10 wira negara yang telah gugur dalam tragedi ini (sumber Kosmo);

1. Kdr Muhammad Firdaus Ramli
2. Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin
3. Lt Kdr Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi
4. PW II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun
5. PW II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy
6. BM TNL Noor Rahiza Anuar (Penumpang)
7. LK I JJM Joanna Felicia Rohna
8. Kdr Muhamad Amir Mohamad
9. Lt T Sivasutan
10. PW II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi

Al-Fatihah…

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim