Berdepan insiden yang mengerikan seperti disimbah asid merupakan mimpi buruk buat sesiapa sahaja, apatah lagi jika anda merupakan pemain bola sepak yang menjadi figura awam. Namun, itulah kenyataan pahit yang terpaksa ditelan oleh Faisal Halim apabila beliau menjadi mangsa serangan simbahan asid pada Mei tahun lalu.
Serangan itu bukan sahaja memberi kesan fizikal yang teruk, malah ia turut menguji kekuatan mentalnya.
Ramai yang berpendapat bahawa karier bola sepak Faisal Halim bakal berakhir melihatkan tahap kecederaan serius yang dialaminya.
Kecederaan melecur pada tahap empat di beberapa anggota badan menyebabkan beliau terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 10 hari.
Namun, di sebalik segala cabaran dan dugaan, Faisal Halim membuktikan bahawa semangat juang seorang pejuang sejati tidak mudah dipadamkan.
Dengan kecekalan, semangat tidak pernah pudar dan kekuatan mental luar biasa, Faisal Halim kembali dengan azam baharu bersama pasukannya, Selangor FC. Tidak lupa juga sokongan tidak berbelah bahagi daripada kelabnya yang sentiasa berada di sisinya sepanjang tempoh pemulihan.
Dan semalam, satu keajaiban yang dinantikan oleh penyokong bola sepak negara, terutamanya peminat Selangor FC.
Penantian peminat akhirnya menjadi kenyataan apabila Faisal Halim menjaringkan hatrik dalam perlawanan Liga Super 2024/25 menentang Kelantan Darul Naim FC.
Lebih manis, hatrik tersebut menamatkan kemarau jaringan Faisal dalam saingan kompetitif sejak kembali beraksi selepas insiden tragis itu.
“Terima kasih kepada semua penyokong. Terima kasih kepada rakyat Selangor, tiga gol ini adalah tiga gol untuk anda semua rakyat Selangor, untuk pasukan Selangor.
Tidak lupa kawan-kawan saya, pengurusan, penyokong Selangor,” katanya dalam hantaran di Instagram Story Selangor FC.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Faisal Halim mencipta hatrik dengan jaringan pada minit ke-13, minit ke-45+2 dan minit ke-66, membantu Selangor melakar kemenangan bergaya 7-0.
Empat lagi gol skuad kendalian Katsuhito Kinoshi itu masing-masing dijaringkan oleh Quentin Cheng (minit ke-31), Harith Haiqal Adam Afkar (minit ke-54 dan 56), serta Muhammad Aliff Izwan Yuslan (minit ke-73).
Apa yang ditunjukkan oleh Faisal Halim bukan sekadar satu pencapaian dalam dunia bola sepak, tetapi juga satu inspirasi kepada semua.
BACA: Miller Khan Dedah Usaha Dapatkan Anak, Isteri Jalani Rawatan IVF
Dia membuktikan bahawa walaupun berdepan dengan cabaran yang mengerikan dan tidak dapat dibayangkan, seseorang masih boleh bangkit dengan kecekalan, kesungguhan, kerja keras serta kekuatan mental yang luar biasa.
Tahniah Faisal Halim, anda sememangnya wira bola sepak negara!
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.