Pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang memberi kebenaran untuk rakyat Malaysia merentas negeri bermula 10 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020 nyata menggembirakan hati semua pihak.
Kebenaran ini tentu sahaja dapat mengubati kerinduan orang ramai untuk pulang ke kampung halaman bagi bertemu dengan orang tua dan keluarga.
Kesempatan ini turut diambil oleh Norman Hakim sekeluarga untuk pulang bertemu ibu tersayang, Kamariah Kamat.
“Momen paling indah selepas 88 hari tak dapat jumpa mak @kamariah.kamat.. terima kasih Allah s.w.t utk kesempatan ini lagi”
Itulah kata-kata yang diluahkan Norman Hakim di laman Instagramnya apabila dia berpeluang untuk bertemu dengan ibunya.
Perkongsian video momen paling indah selepas 88 hari tidak bertemu dengan ibunya itu yang diiringi dengan lagu ‘Kepulangan Yang Di Nanti’ nyanyian Aman Shah nyata menyentuh hati warganet.
Jelas terpancar rasa gembira dan puas di wajah Norman apabila dapat mencium tangan dan wajah ibunya.
Selain menjenguk ibunya di kampung, peluang ini juga digunakannya untuk meraikan sambutan hari raya yang masih berbaki bersama ibunya.
Sumber: IG Norman Hakim