Baru-baru ini kecoh dengan kejadian yang menimpa penduduk Lombok, Indonesia dimana gempa bumi yang dasyat berlaku sehinggakan ada yang hilang nyawa. Ini termasuk Syarizal dan 9 lagi rakan-rakannya yang terdiri daripada 6 lelaki dan 4 wanita berumur dari 24 tahun – 36 tahun yang ke Lombok untuk mendaki sebuah gunung di negeri terbabit.
Perancangan awalnya, sekumpulan mereka telah merancang untuk mendaki gunung Ranjini terbantut, kerana kawasan dakian ditutup apabila gegaran pertama yang berlaku pada 29 Julai lepas. Akibat tidak mahu membazir kos perjalanan yang telah dibeli, mereka semua meneruskan hasrat mereka ke Lombok dengan hanya berniat untuk melancong dan bersiar-siar.
“Kami menginap di City Hotel, Mataram pada 5 Ogos. Sewaktu saya dan rakan-rakan bersiap-siap untuk makan malam, lebih kurang pukul 7.45pm waktu tempatan, kami dikejutkan dengan gegaran yang kuat. Ketika itu, bilik saya merupakan tingkat paling tinggi hotel tersebut.”
“Saya masih ingat lagi, ketika gegaran berlaku saya terus berlari keluar dalam keadaan separa bogel kerana ketika itu saya sedang mandi. Tak sempat nak capai apa-apa pun, saya bergegas keluar dengan tuala dan hampir terjatuh kerana tidak sempat untuk menyarung kasut. Semua jadi panik ketika itu, kerana dinding sudah merekah, hiasan habis jatuh pecah, dan lampu juga turut jatuh akibat gegaran yang kuat. Semua yang bergegas turun dari bangunan hotel kelihatan ketakutan dan ada antara ibu sedang menyusukan anak.”
Setelah 15 minit, pemandu pelancong yang membawa Syarizal dan rakan-rakan telah menerima amaran Tsunami dan sekaligus bergegas membawa kesepuluh warganegara Malaysia ini jauh dari pantai. Mereka dibawa ke perkampungan Gunung Sari sebelum berlindung di kawasan rata disana.
“Kami ingin bergegas pulang ke Tanah Air kerana selang 15 ke 30 minit akan berlaku gegaran kecil membuatkan kami tak berani nak tidur. Namun, trafik di lapangan terbang Lombok menyebabkan kami terpaksa menggunakan alternatif lain iaitu menaiki feri ke Bali untuk mengambil tiket penerbangan dari situ. Kami juga sempat menghubungi kedutaan Malaysia di Jakarta bagi membantu mendapatkan tiket untuk pulang ke Malaysia.”
Syarizal dan rakan-rakan juga berterima kasih pada penduduk tempatan kerana membekalkan mereka makanan serta tempat berehat sementara menunggu sehingga keadaan terkawal.
Walaupun perjalanan agak rumit dan jauh, mereka ini masih tidak berputus asa dan sentiasa bertawakal agar dilindungi olehNya. Dijangkakan mereka ini akan tiba di Malaysia paling lewat esok. Sama-sama kita doakan kesihatan mereka. Amin.