TTFGA
Dia adalah penghidup trend terbaru dalam gelanggang seni fotografi juga seni fesyen. Hadirnya nama TTFGA dalam industri bagai memberi nafas moden serta wajah baru khususnya industri fotografi fesyen itu sendiri. Meluaskan lagi seni estetik foto fesyen jalanan, Ridduan Ismail ataupun TTFGA antara figura berpengaruh masa kini.
RIDDUAN ISMAIL
“Pasti ramai yang menganggap saya seorang yang sombong apabila melihat koleksi foto saya di akaun Instagram. Mungkin kerana wajah saya begini, jadi secara tidak langsung memaparkan wajah saya seorang yang ego. Jauh sekali tidak. Saya mudah ramah dan friendly. Straight forward. Tidak berpura-pura.”
TUKANG TANGKAP FOTO GEMBIRA ANDA
“Trademark TTFGA, semestinya simple dan minimalis. Saya tidak meminati perkara mahupun konsep yang agak serabut atau heavy. Lebih kepada plain and clean background. Setakat ini, mereka yang pernah menggunakan khidmat saya sudah arif dan memahami tentang gaya seni saya. Jadi tiada masalah dalam menentukan konsep sesuatu gambar. Cumanya, jika ada client yang mahukan konsep yang heavy, saya tidaklah menolak, namun saya berusaha untuk memberikan yang terbaik.”
BY TTFGA
“Segala-galanya harus ada cerita di sebaliknya kalau tidak ia akan kosong. Saya bukanlah seorang jurufoto yang hanya mengambil gambar yang “asal boleh”. Sebagai contoh Top Boi, Dramadhan, The Blanket dan sebagainya, semua karya saya ini memiliki cerita di sebaliknya. Semuanya dekat dengan corak masyarakat dan persekitaran kita semua.”
“Bagi saya definisi kesempurnaan itu ialah ketidaksempurnaan. Sebagai contoh, barisan model yang saya pilih, semuanya tidak memiliki rupa paras model yang selalu kita lihat. Bagi saya, saya mahu pecahkan benteng pemikiran masyarakat kita yang sering kali melihat kesempurnaan itu adalah segalanya.”
PERSPEKTIF
“Menjadi seorang jurufoto yang baik, bukan sahaja memiliki daya minda yang kreatif malah ia juga melibatkan identiti jurufoto itu sendiri. Selain itu, mereka harus bijak dalam berkomunikasi dengan orang ramai. Jika tidak bijak dalam berkomunikasi, bagaimana mahu memberi direction kepada subjek ketika dalam sesi photoshoot? Apa yang penting, mereka harus sentiasa rasa humble dan usah henti mencari inspirasi yang baru. Rasai masa yang ada dan go crazy!”
INTERPRETASI FESYEN
“Seluar high waist, kemeja putih, sut dan seluar senteng adalah hasil idea inspirasi dari seorang pereka fesyen Amerika, Thow Browne. Pereka ini banyak memberi idea dalam menghasilkan gaya fesyen saya sendiri. Dari segi pemakaian aksesori, warna dan sebagainya, semua hasil cetusan dari gaya fesyennya. Fesyen untuk saya lebih minimal. Jarang untuk saya sarungkan corak cetakan bunga mahupun warna-warna yang kuat dan terang. Warna seperti black, grey dan navy blue antara warna pilihan saya. Sedikit bosan dan moody namun ia melambangkan personaliti saya.”
“Berdiskusi mengenai fesyen, semua sedia maklum tentang t-shirt TTFGA yang saya jual untuk menghasilkan merchandise milik brand TTFGA itu sendiri. Hasil kerjasama dengan Wild Mile, ia mengilhamkan idea untuk menghasilkan sesuatu yang bisa dimiliki oleh mereka yang tidak putus memberi sokongan kepada saya. Kami bakal menghasilkan sesuatu yang baru. Kali ini ia melibatkan segala hasil kerja saya dan diabadikan dalam sehelai t-shirt.”
PLAN?
“Saya terfikir untuk keluar dari Kuala Lumpur dan mengembara ke negara Eropah. Ini bukanlah sebuah metafora untuk saya melupakan Malaysia, kerana Malaysia sentiasa menjadi ‘rumah” dalam hati saya. Cuma, apabila berbicara mengenai karier, bagi saya, hasil karya yang saya hasilkan mungkin lebih dihargai di luar negara. Ada juga yang memberitahu bahawa segala kerja seni saya tidak sesuai untuk masyarakat di sini. Sukar untuk mencari mereka yang benar-benar memahami sudut inovasi seni yang saya ingin tonjolkan. Mungkin ada ,tetapi masih bisa dikira bilangannya. Januari hadapan saya akan ke London untuk berjumpa dengan kenalan di sana untuk membincangkan sesuatu. Langkah ini saya ambil untuk mengembangkan lagi arus karier saya dalam bidang ini.”