Sebelum ini, ramai yang bertanyakan kepada Sinar Turbo tentang kehadiran model Yamaha NVX Edisi GP. Bagi memenuhi permintaan peminat grafik berkenaan, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) kini memperkenalkan model tersebut ke pasaran tempatan.
Buat mereka yang berminat dengan NVX Edisi GP dengan warna dan grafik baharu itu, anda hanya perlu menambah RM600 berbanding versi biasa yang ditawarkan pada harga cadangan RM10, 500 seunit.
Menurut HLYM, model tersebut akan berada di pasaran bermula minggu depan.
BACA>>>>> INI SEBAB KENAPA NVX 155 MAHAL BAK HANG!
Untuk makluman, NVX 155 dilengkapi enjin bersesaran 155cc SOHC , 4-lejang yang dipadukan dengan teknologi Variable Valve Actuation (VVA) dan sistem penyejukan cecair. Teknologi VVA itu mampu meningkatkan tindak balas enjin sehinggakan motosikal mampu memecut secara maksimum ketika pada kelajuan rendah hingga tinggi. Paling penting, skuter itu dilengkapi teknologi Blue Core.
Selain itu, model berkenaan dilengkapi dengan sistem ABS, sistem kunci pintar (keyless), sistem stop dan start, sistem penjana motor pintar dan ciri answer back yang memudahkan pemilik mengesan motosikal di kawasan parkir. Dengan hanya menekan butang pada kunci pintar anda akan mendengar bunyi beep sekiranya berada berhampiran dengan motosikal.
Model skuter supersport Yamaha itu juga didatangkan dengan skrin besar digital sepenuhnya yang memudahkan penunggang melihat informasi seperti speedometer, odometer, baki minyak, takometer dan lain-lain.