Pada hari ini negara kita telah menyaksikan sejumlah 88% penduduk dewasa telah mendapat vaksinasi lengkap. Ini bermakna hanya tinggal 1.6% lagi untuk mencapai angka 90% di mana apabila ia dicapai kerajaan akan membenarkan rentas negeri.
Ia satu berita yang cukup dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia yang sudah sekian lama tidak dapat pulang ke kampung atau merentas negeri untuk bercuti atau melancong. Dalam masa yang sama, Meneteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin turut memberi nasihat kepada kita semua untuk lebih peka dan bertanggungjawab apabila rentas negeri dibenarkan kelak.
Jelasnya, bagi mereka yang banyak berhubung dengan ramai orang terutamanya pekerja dalam sektor-sektor tertentu untuk melakukan ujian saringan COVID-19 secara berkala.
Begitu juga untuk mereka yang ingin pulang ke kampung bertemu keluarga terutamanya ibu bapa tercinta.
“Hanya 1.6% lagi sebelum sempadan negeri dibuka. Walaupun Kementerian Kesihatan telah beralih ke arah ujian simptomatik, kami menggalakkan mereka yang selalu bergerak dan berhubung dengan orang ramai untuk lakukan ujian saringan secara berkala.
“Jika anda mahu balik kampung berjumpa ibu bapa yang sudah berusia, lakukanlah ujian RTK air liur terlebih dahulu, pastikan mereka selamat,” jelasnya menerusi laman media soaial Twitter kendaliannya.
Beliau juga berkata negara kita kini menuju fasa endemik dan amat memerlukan tanggungjawab setiap rakyat berbanding kawalan pihak polis seperti sebelumnya.
“Menuju ke arah endemik kita tidak boleh menggunakan penguatkuasaan seperti sekatan jalan raya untuk memeriksa sama ada anda divaksin sepenuhnya atau melakukan ujian. Sekarang ia berganutng kepada sikap peribadi dan tanggungjawab dalam kita sama-sama menghadapi cabaran dalam #ReOpeningSafely,” tambahnya lagi.
Jadi buat anda yang ingin melakukan rentas negeri, lakukanlah ujian RTK terlebih dahulu. Sama-sama kita menjadi warganegara dan rakyat yang lebih peka dan bertanggungjawab!