Head of Men & Hobbies, Penata Gaya: Fiezreen Ahmad
Ass. Manager Men & Hobbies, Penulis: Farizul Izwany
Dibantu oleh: Faez Akhmal & Darwisy Farain
Arahan Seni: Azniza Aziz
Grooming: Ayang Kamell
Fotografer: Jazlan Nangar
Videografer: Husin Ali, Ezzat Shukri
Editor Video: Husin Ali
Suntingan Foto: Hezry Rokma
Lokasi : Studio Nu Ideaktiv, Shah Alam
Dari seorang model dan pemenang Who’s Your Bro musim pertama, Hakimi Noordin kini melangkah ke dunia lakonan dengan penuh semangat dan cita-cita besar.
Kemenangannya dalam program realiti yang menguji kekuatan fizikal dan mental itu telah membuka lebih banyak pintu rezeki, termasuk peluang berlakon dalam drama dan telefilem yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.
Selain itu, gandingannya dengan Ikmal Amry dalam Who’s Your Bro turut memberi impak besar dalam kerjayanya.
Ikmal, yang sudah lebih berpengalaman dalam industri hiburan, sering memberi sokongan dan tunjuk ajar sepanjang perjalanan mereka dalam program tersebut.
Secara tidak disangka, mereka sekali lagi dipertemukan dalam dunia lakonan apabila Hakimi mendapat tawaran untuk berlakon dalam drama yang turut dibintangi oleh Ikmal.
“Salah satu impian saya sejak dulu adalah untuk berlakon dalam filem, drama atau telemovie. Alhamdulillah, beberapa minggu selepas kemenangan, saya menerima tawaran untuk berlakon. Apa yang lebih menarik, saya baru tahu yang Ikmal juga akan menjadi hero dalam drama yang sama. Ini satu kebetulan yang tidak dirancang, tetapi saya percaya ini adalah rezeki yang telah ditentukan,” kongsinya dengan penuh syukur.
Kini, dengan langkah baru dalam industri lakonan, Hakimi berharap dapat membawakan watak-watak yang mencabar dan relevan dengan latar belakangnya dalam dunia kecergasan.
“Kalau diberi peluang, saya ingin bawa watak fighter seperti dalam filem aksi. Sesuatu yang menguji keupayaan fizikal dan mental saya.”
Hakimi, yang sebelum ini lebih dikenali dalam dunia peragaan, mengakui cabaran utama dalam industri fesyen bukan hanya sekadar memiliki rupa atau susuk tubuh menarik, tetapi bagaimana untuk terus relevan.
“Industri fesyen ada musimnya. Dahulu saya muka baru, sekarang sudah ada ramai wajah-wajah segar yang ingin bersaing. Jadi, saya perlu sentiasa berubah, sama ada dari segi gaya rambut, imej atau kandungan di media sosial”, katanya.
Selain itu, Hakimi juga menekankan bahawa menjadi model bukan sekadar berjalan di pentas peragaan atau bergambar untuk kempen jenama.
Ia memerlukan dedikasi tinggi untuk menjaga penampilan, stamina dan kesihatan.
“Ramai fikir model hanya perlu tampil menarik, tetapi hakikatnya, ia lebih daripada itu. Kami perlu sentiasa menjaga kulit, diet dan bersenam untuk memastikan bentuk badan dan stamina berada dalam keadaan terbaik. Kadang-kadang, sesi fotografi berlangsung berjam-jam, dan kami perlu kelihatan segar dan bertenaga sepanjang masa.”
Menurut Hakimi, persaingan dalam industri fesyen juga semakin sengit dengan kemunculan ramai model baru yang membawa imej segar dan gaya tersendiri.
Oleh itu, dia sentiasa mencari cara untuk menyesuaikan diri dengan perubahan trend dan memastikan dirinya terus relevan di mata pereka fesyen serta jenama terkenal.
“Saya sering bereksperimen dengan gaya, baik dari segi fesyen mahupun potongan rambut. Selain itu, media sosial juga menjadi platform penting bagi model untuk terus menonjol dalam industri ini”, ujar Hakimi.
Beralih ke dunia lakonan, Hakimi menegaskan bahawa seni ini bukan sesuatu yang mudah seperti yang disangka oleh sesetengah orang.
“Ramai fikir berlakon itu senang, masuk set, cakap dialog dan siap. Tapi realitinya, ia lebih daripada itu. Saya sendiri ambil kelas lakonan dan belajar daripada pengalaman. Hari pertama di set, rasa gementar tetap ada. Berlakon perlukan persediaan dan kesungguhan.”
Dalam perjalanan baru ini, Hakimi bersyukur kerana mempunyai Ikmal sebagai rakan seperjuangan.
“Keserasian antara saya dan Ikmal memang sudah ada sejak Who’s Your Bro lagi. Tapi rezeki saya dalam lakonan ini datang sendiri, bukan kerana dia. Cuma apabila kami sekali lagi bekerjasama, saya rasa lebih selesa kerana sudah memahami cara kerja masing-masing”, katanya.
Selain itu, Hakimi turut menzahirkan penghargaan terhadap sistem sokongan terbesarnya iaitu keluarga.
“Support system paling kuat saya adalah keluarga. Doa ibu sangat penting bagi saya. Dari hari pertama audition hingga ke final Who’s Your Bro, setiap hari saya akan minta doa ibu saya. Itu yang memberi saya kekuatan”, katanya.
Dengan semangat yang tidak pernah pudar dan keberanian untuk mencuba perkara baru, Hakimi Noordin membuktikan bahawa kemenangan dalam Who’s Your Bro hanyalah permulaan.
Dunia lakonan kini menjadi pentas baru untuknya bersinar lebih jauh, menggapai impian yang selama ini terpendam dalam hati.
Untuk menyelami lebih lanjut perjalanan Hakimi Noordin, jangan lupa tonton video eksklusif MAN OF THE MOMENT bersama Hakimi Noordin di bawah!