Kerohanian

Hajar Aswad: Jangan Sampai Menyakiti Atau Disakiti – Dr Kamilin Jamilin

Share

Sejak kewujudan media sosial, kegiatan ibadah juga turut tidak terlepas dari menjadi bahan kandungan untuk dikongsi kepada warga maya.

Lebih-lebih lagi apabila melibatkan ibadah umrah di Makkah. Apa tidaknya, peluang menjejakkan kaki ke kota suci itu tidak datang selalu.

Namun, kandungan-kandungan yang dirakam adakalanya berlebih-lebihan.

Pendakwah dan pensyarah Fakulti Pengajian al Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Kamilin Jamilin tampil memberi teguran mesra terhadap individu yang memuat naik video saat berada di hadapan Kaabah.

Menerusi hantaran video di laman sosialnya, Dr Kamilin menegur mereka yang bergelut mahu mengucup Hajar Aswad sehingga menyakiti orang lain, apatah lagi jika berasak-asak sesama lelaki dan wanita yang bukan muhrim.

“Bukan syarat sah tawaf cium Hajar Aswad ini. Tak perlu tunjuk gagahlah nak bagi orang perempuan kita berasak-asak dengan lelaki-lelaki lain.

“Kalau nampak sesak, cukup lambai sahaja. Itu sunnah yang Nabi SAW ajar,” jelasnya.

Kalau Lengang, Boleh Sentuh

Beliau turut memetik pesanan Rasulullah SAW kepada Umar bin al-Khattab, “Wahai Umar, kamu ini lelaki yang gagah. Jangan kamu berasak-asak untuk cium Hajar Aswad sehingga kamu menyakiti orang yang lebih lemah. Kalau kamu nampak lengang, boleh sentuh Hajar. Kalau tidak, cukup menghadap sambil bertahlil dan bertakbir”.

Selain itu, sepupu Rasulullah SAW iaitu Ibn Abbas juga tidak gemar bersesak-sesak demi Hajar Aswad dan berkata “jangan disakiti dan jangan menyakiti”, tambah Dr Kamilin.

“Sesungguhnya kamu ini batu yang tidak mampu untuk memberi manfaat atau mudarat. Kalaulah tidak kerana aku melihat Rasulullah mencium kamu, nescaya aku tidak akan menciummu,” demikian kata-kata Umar bin al-Khattab dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang dipetik Dr Kamilin di videonya.

Bagaimanapun Dr Kamilin tidak menghalang sesiapa pun untuk mencipta kandungan media sosial, namun baginya perihal ibadah biarlah diantara kita dan Allah sahaja.

Terdahulu, pempengaruh dan usahawan Hafiz Mahamad berkongsi klip video beliau sedang tawaf ketika menunaikan umrah di Makkah.

Foto: Tangkap layar video Hafiz Mahamad berasak-asak di hadapan Kaabah.

Kritikan tercetus apabila Hafiz dilihat berasak-asak sehingga terlucut kain ihram di badannya bagi membolehkan isteri dan pekerja wanitanya mendekati Hajar Aswad untuk dikucup.

Video itu bagaimanapun telah dialih keluar dari laman media sosial Hafiz setelah membuat permohonan maaf secara terbuka.

BACA: Mahu Berterus Terang Lapor Berita, Mehdi Hasan Tubuh Syarikat Media Digital Sendiri

Published by
Ruszaini Ruslan