Pencapaian Hafizh selama 10 tahun sejak pembabitan secara profesional dalam arena permotoran negara sehingga ke hari ini merupakan antara contoh di mana tidak ada jalan pintas untuk berjaya. Memulakan aksi profesional secara kompetitif seawal usia 13 tahun dalam perlumbaan satu pengeluar yang dijalankan oleh Yamaha, pelumba berusia 24 tahun itu terus membuktikan keupayaan luar biasa apabila mendominasi perlumbaan tempatan dan antarabangsa.
HAFIZH Syahrin Abdullah menjadi topik sensasi negara apabila secara rasminya diumumkan sebagai pelumba bagi pasukan Monster Yamaha Tech 3. Ini sekaligus memahat nama selaku pelumba Malaysia dan Asia Tenggara pertama yang beraksi dalam kelas MotoGP di pentas Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia.
Bersama pasukan Raceline kendalian Barry Leong, Hafizh kemudian mencatat nama sebagai juara keseluruhan termuda bagi siri kelas Novis dan CP130 di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, diikuti pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa seperti di Kejuaraan Motosikal Asia, Australia, Sepanyol sebelum melangkah ke pentas MotoGP.
Proses membangunkan seseorang atlet memerlukan masa dan sokongan pelbagai pihak dan tidak boleh dicapai dalam sekelip mata dimana perjalanan karier Hafizh dibantu dengan sokongan Program Pembangunan Bakat PETRONAS.
Seluruh komuniti Kejuaraan Cub Prix mengucapkan tahniah di atas pencapaian yang sangat membanggakan ini sekaligus membuktikan program pembangunan sukan permotoran negara berada di landasan tepat dan tidak ketandusan bakat-bakat yang mampu mengharumkan nama negara.
Tidak lupa juga kepada Zulfahmi Khairuddin yang dipilih menggantikan Hafizh Syahrin di dalam kelas Moto2 dan juga Khairul Idham Pawi (Moto2) serta Adam Norrodin di dalam saingan Moto3.
Sumber : MYNEWSHUB.CC