Gaya Hidup

Gurau Senda Gaya Rasulullah, Ini Garis Panduan & Adab Dalam Islam

Share

Biasalah, kalau kita suka bergurau. Gurau senda ibarat garam dan gula dalam makanan. Tanpanya kehidupan jadi hambar dan tawar. Tanpanya terasa hidup tidak indah dan hilang menarik. Malah gurau senda mampu mengakrabkan sesuatu perhubungan dan mengindahkan sesuatu keadaan.

Agama Islam tidak pernah melarang kita bergurau senda, malah bergurau senda itu digalakkan sekiranya dapat mengakrabkan silaturahim. Yang dilarang adalah gurau senda yang tidak mengikut adab, yang terkeluar daripada yang sepatutnya. Berikut adalah garis panduan atau adab bergurau senda dalam Islam seperti amalan Rasulullah dan para sahabat.

1. Jangan keterlaluan

Terlalu banyak bergurau dibimbangkan akan melalaikan kita daripada tanggungjawab utama sebagai seorang Muslim. Bergurau secara melampau batas boleh melekakan daripada ibadat dan tugas untuk menegakkan kebenaran.

Bergurau secara terlebih-lebih juga boleh menyebabkan orang lain hilang hormat pada kita. Apatah lagi jika orang dewasa, pasti akan menjejaskan rasa hormat orang yang lebih muda terhadap kita. Boleh jadi dianggapnya kita ini orang tua yang tidak serius, tidak belajar apa-apa daripada pengalaman dan gemar mengambil mudah segala perkara.

Para sahabat Rasulullah juga bergurau sesama mereka tetapi dengan didikan Rasulullah, mereka mengambil serius dalam perkara yang serius. Rasulullah menegaskan hal ini dalam hadis yang diriwayatkan al-Bukhari dan al-Baihaqi daripada Anas, “Aku bukan daripada ahli yang bersuka-suka dan berseronok-seronok, mereka bukan daripadaku.” Hal ini juga dinyatakan dalam hadis riwayat Bukhari, “Para sahabat Nabi bergurau sesama mereka, namun dalam perkara yang benar, mereka serius.”

Pesanan Umar al-Khattab, “Sesiapa yang banyak ketawa akan mengurangkan kehebatan, sesiapa yang banyak bergurau akan jatuh darjatnya.” Oleh itu, bersederhana, tahu bila waktu perlu bergurau dan tahu bila waktunya perlu serius!

2.  Jangan lukakan perasaan orang lain ketika bergurau

Bergurau senda memang disunatkan dalam kalangan keluarga dan sahabat handai, dengan syarat tidak menyakitkan hati mereka atau melukakan perasaan mereka. Hal ini antara yang selalu kita lupakan, kerana kita biasa mengambil mudah akan perasaan orang-orang yang akrab dengan kita. Malah apabila bergurau senda, kita terlupa bahawa mereka juga ada hati dan perasaan, lalu kata-kata kita menggores hati mereka tanpa kita sedari.

Daripada beberapa hadis Rasulullah, kita dapat belajar mengenai garis panduan bergurau agar tidak menyakitkan hati orang lain. Dalam Sunan Abi Daud dan al-Tarmizi daripada Abdullah al-Saib yang mendengar daripada bapanya (yang mendengar daripada) datuknya, dia mendengar Rasulullah bersabda, “Janganlah seseorang mengambil barang saudaranya dengan tujuan main-main atau betul-betul, dan sesiapa yang mengambil tongkatnya, hendaklah dikembalikan.”

Dalam riwayat Abu Daud daripada Abdul Rahman bin Abi Laila diceritakan, mengenai Rasulullah berjalan bersama-sama mereka dan salah seorang mereka tertidur. Ketika tidur, rakan-rakan ingin bergurau dan mengambil talinya menyebabkan dia terperanjat daripada lena. Melihat kejadian itu, Rasulullah menegur, “Tidaklah harus bagi seorang Muslim mengejek, memeranjatkan temannya.”

Dalam suatu peristiwa semasa  peperangan Khandak, Zaid bin Tsabit bersama para Muslimin lain mengangkut tanah dan selepas itu berasa mengantuk lalu tertidur. Ketika itu datanglah Umarah bin Hazm mengambil senjatanya dengan niat mahu bergurau. Rasulullah melihat dan menegur perbuatannya.

Daripada kisah ini  menunjukkan bahawa perbuatan bergurau senda ada had dan batas tertentu terutamanya dalam kalangan saudara-mara dan rakan taulan. Silap bergurau senda boleh buat persaudaraan tercalar dan persahabatan putus di tengah jalan. Itu yang perlu kita semua elakkan.

3. Elakkan menipu atau berdusta semasa bergurau

Ada kalangan kita yang bergurau senda kerana mahu menarik perhatian orang lain, terutamanya dalam sesebuah majlis. Selalunya mereka bergurau senda dengan membawa cerita-cerita yang direka-reka, dengan tujuan menceriakan suasana. Cerita-cerita yang direka ini kadangkala amat keterlaluan, lucah, malah boleh jadi bohong semata-mata. Ini antara amalan yang ditegah oleh Rasulullah.

Dalam hadis riwayat Abu Daud, al-Tarmizi, al-Nasai dan al-Baihaqi dinyatakan, Buhz bin Hakim mendengar daripada bapanya yang mendengar daripada datuknya bahawa Rasulullah bersabda, “Nerakalah bagi mereka yang bercakap bohong untuk mentertawakan orang lain, neraka baginya, neraka baginya!”

Dalam hadis riwayat Ahmad dan Tabarani daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda, “Belum sempurna iman seseorang mukmin sehingga dia meninggalkan dusta ketika bergurau dan meninggalkan pertengkaran walaupun dia benar.”

Published by
Ruziana Zainal