Guna Tenaga Air Ganti Petrol, Lelaki Ini Berjaya Cipta Motosikal Aneh Di Brazil

Share

Seorang lelaki di Brazil, Ricardo Azevedo telah membuktikan kepada dunia bahawa motosikal yang enjinnya menggunakan tenaga air sememangnya dapat dihasilkan.

Bukan sahaja tidak menggunakan petrol, motosikal rekaan penjawat awam dari Sao Paulo ini mampu bergerak sejauh 300 batu (482 kilometer) dengan seliter air.

Diberi nama ‘T Power H20’

Ricardo menamakan motosikalnya yang dibangunkan mengguna platform motorsikal Honda NX 200 yang dikeluarkan pada tahun 1993 sebagai ‘T Power H20’.

T Power H20 langsung tidak menggunakan sebarang bahan api konvensional sebaliknya hanya bergantung kepada air semata-mata.

Bergerak dengan tenaga elektrik

Selain itu, jentera ini juga bergantung kepada bateri kenderaan yang dipasang Ricardo untuk menjana dan menghasilkan tenaga elektrik.

Tenaga elektrik berfungsi untuk menjalankan proses elektrokinesis bagi memisahkan molekul-molekul air kepada hidrogen dan oksigen.

Ricardo juga harus memastikan kuantiti molekul hidrogen yang terhasil mestilah dalam jumlah yang banyak bagi memastikan enjin dapat berfungsi dengan baik.

Mahu atasi pencemaran asap

Ujar Ricardo ketika ditemu bual, dia mahu membantu dalam usaha menyelesaikan masalah pencemaran asap kenderaan yang semakin banyak berlaku ketika ini.

Sewaktu T Power H20 dibangunkan untuk ujian prototaip, jentera itu didapati mampu bergerak sejauh 500 kilometer (km) dengan setiap liter air.

Bagi mendapatkan penggunaan enjin yang terbaik, Ricardo telah mencuba dengan pelbagai jenis air termasuklah air masak, air minuman serta air sungai.

Air tercemar jadi bahan bakar terbaik

Paling mengejutkan, Ricardo tidak menyangka air daripada sungai yang tercemar seperti Sungai Tietê mampu memberikan hasil yang terbaik.

Sehubungan itu, Ricardo mengambil keputusan untuk menggunakan air yang tercemar tersebut sebagai ‘bahan bakar’ semula jadi untuk kegunaan motosikal tersebut.

Uniknya lagi tentang motosikal ini adalah T Power H2o tidak memiliki enjin normal seperti enjin motosikal biasa yang melepaskan karbon dioksida.

Sebaliknya T Power H20 hanya akan melepaskan wap air menerusi ekzosnya dan keadaan itu boleh mengurangkan masalah pelepasan karbon dioksida yang melampau.

Penyelidik kagum dan ramai yang puji

Ciptaan Ricardo mendapat pujian daripada ramai penyelidik ternama yang mahu kerajaan turut sama memberi sokongan kepada pencipta tempatan seperti Ricardo.

Bagaimanapun, selagi para penyelidik belum menemui cara untuk menghasilkan enjin dengan pembakaran terkawal dan sempurna menggunakan air, harapan untuk melihat kenderaan dengan tenaga air secara kormesial dalam masa terdekat mungkin belum dapat direalisasikan.

Published by
Akyem Samad