Momen yang cukup signifikan di negara kita apabila meilhat pesawat yang membawa vaksin COVID-19 selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad lalu.

Ia merupakan satu suntikan moral yang baru bukan sahaja untuk petugas barisan hadapan tetapi juga seluruh rakyat Malaysia yang mahu pandemik ini segera berakhir.

Seluruh negara tertumpu kepada pesawat Malaysia Airlines MH604 yang membawa kumpulan pertama vaksin tersebut ke Malaysia. Tanggungjawab membawa kapal terbang dengan muatan cukup berharga itu juga merupakan satu pengalaman yang bermakna buat juruterbangnya, Kapten Hamdan Che Ismail.

Gembira, Terharu & Teruja, Juruterbang Kongsi Pengalaman Bawa Vaksin Ke Malaysia
Foto: BERNAMA

Dengan pengalaman selama 29 tahun kerjayanya dalam dunia penerbangan, Hamda yang juga Pengarah Operasi Penerbangan Malaysia Airlines perlu memastikan suhu yang bersesuaian dalam pesawat dikekalkan agar tidak menjejaskan keberkesanan vaksin yang dibawa.

Penerbangan selama satu jam dari Singapura itu berjalan dengan lancar sekali. Memetik laporan BERNAMA, sepanjang penerbangan beliau ada berasa sedikit gementar dan takut apabila memikirkan tentang signifikasi tugasan membawa muatan yang sangat penting bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, program vaksinasi terbesar bakal dilaksanankan di Malaysia.

IKLAN

PENERBANGAN LANCAR

“Bila fikir ada vaksin Covid-19 dalam pesawat memang ada terfikir takut ia (vaksin) rosak… Alhamdulillah vaksin telah sampai ke Malaysia,” kata juruterbang itu kepada Bernama selepas mendaratkan pesawat itu serta menambah cuaca sepanjang penerbangannya pada Ahad adalah baik.

Gembira, Terharu & Teruja, Juruterbang Kongsi Pengalaman Bawa Vaksin Ke Malaysia
Foto: Astro AWANI

Pesawat MH604 yang membawa 312,390 dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10.07 pagi dari Singapura.

IKLAN

Tanggungjawab mengendalikan tugasan cukup penting di peringkat nasional ini dilakukan dengan baik sekali oleh MAB Kargo Sdn Bhd (MASKargo), cabang kargo syarikat penerbangan Malaysia Airlines dengan menggunakan pesawat Airbus 330-300 yang turut dihiasi dengan ‘livery” Jalur Gemilang.

Jelasnya lagi, beliau bersama lima lagi kru yang terdiri daripada seorang pembantu juruterbang, dua kru kabin dan seorang petugas MASKargo serta seorang jurutera berlepas ke Singapura pada 6 pagi hari Ahad dan tiba sejam kemudian.

IKLAN

Proses memindahkan vaksin ke dalam kargo pesawat pula mengambil masa selama dua jam sebelum ia berlepas pulang pada jam 9 pagi.

“Apabila tiba di KLIA, saya rasa gembira, terharu dan teruja kerana telah berjaya membawa vaksin Covid-19 ke negara ini,” katanya yang turut berkongsi bagaimana kru penerbangan sentiasa memeriksa suhu dalam pesawat kerana vaksin tersebut memerlukan suhu -70 darjah celcius.

Syabas Kapten Hamdan Che Ismail dan kru penerbangannya. Anda semua merupakan wira negara!

Sumber: BERNAMA & Sinar Harian

Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.

KLIK DI SEENI