Boleh dikatakan semalam, majoriti wargamaya yang beragama Islam di negara ini mengucapkan rasa syukur apabila datangnya seorang saudara baharu.
Tidak lain tidak bukan, pengarah dan penerbit, Michael Ang yang membuat pengumuman rasmi bahawa dia sebenarnya telah memeluk Islam sejak setahun lalu.
Katanya lagi, pengumuman itu harus dibuat bagi mengelakkan timbulnya persepsi buruk masyarakat apabila melihat dia datang ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
Tambahan pula, Michael berpendapat statusnya yang sudah bergelar muslim perlu diketahui umum meski pun masih dalam proses mendalami tentang Islam.
Setelah membuat pengakuan secara eksklusif di laman YouTube Official Ria X pada Selasa, kebanyakan wargamaya mengucapkan rasa syukur dan bagi yang pernah melemparkan kata-kata kesat kepada Michael, ucapan maaf telah diungkapkan.
Bukan itu sahaja, Michael juga menerima pujian daripada wargamaya selain ramai yang mendoakan kesejahteraan serta ketabahan kepada saudara baharu itu.
Dalam meraikan kegembiraan penghijrahan Michael Ang, negara hari ini dikejutkan pula dengan berita kematian Penasihat Agama Istana Negara, Datuk Seri Abu Hassan Din Al Hafiz, 7.30 pagi ini.
Rata-rata menzahirkan ucapan duka cita kerana insan yang dipandang memiliki ilmu serta pemahaman yang tinggi tentang Islam sudah tidak lagi bersama umat Islam di negara ini setelah dijemput Ilahi.
Memetik laporan media tempatan, Allahyaham dikhabarkan sempat memberi kuliah yang terakhir bertajuk ‘Andainya Ini Ramadan Terakhir’ di Surau An-Nur Fasa 3A, Bandar Seremban Selatan, Negeri Sembilan, semalam.
Antara kandungannya ceramah terakhirnya adalah tentang kelebihan bulan Ramadan dan amal ibadat yang dilakukan sepanjang bulan suci itu.
Amat memilukan apabila Allahyarham sendiri tidak sempat menikmati Ramadannya tahun ini apabila pergi menghadap Ilahi kurang seminggu sebelum Ramadan tiba.
Penghijrahan Michael Ang menjadi seorang muslim yang baik dan pemergian Allahyarham Abu Hassan Din beberapa hari sebelum menjelang Ramadan amat menyentuh hati.
Betapa kita semua semakin hampir dengan akhir zaman di mana semua orang yang baik-baik akan pergi dahulu dan mereka yang selama ini mencari akhirnya bertemu kebenaran.
Berbaki beberapa hari lagi, ‘Andainya Ini Ramadan Terakhir’, sudah kita menjadi umat yang baik berpegang kepada ajaran agama atau masih lalai dengan keseronokan dunia?