Kekal sihat dan cergas di usia 50an merupakan suatu perkara yang boleh dikecapi jika sudah mula mengamalkan gaya hidup yang sihat dan aktif sejak usia muda, demikian yang dialami oleh penyanyi kumpulan rock era 90an, Rahmad Mega.
Rahmad Mega, atau nama sebenarnya Rahmad Tohak mendedahkan yang dia memang gemar bersenam sejak usia remaja selain tidak merokok dan elak berpeleseran di waktu malam.
“Penjagaan itu bermula daripada remaja, bukan zaman kita dah sakit baru nak jaga,” ujarnya menerusi sebuah klip video yang dikongsikan Media Hiburan
.Tambahnya, kesan daripada aktiviti yang telah diamalkan sejak remaja itu akan dirasai apabila sudah meningkat usia.
Pelantun lagu malar segar Takdir dan Waktu itu percaya yang aktiviti itu mampu menjaga kecergasan dan daya tahan dirinya dan mengurangkan risiko penyakit selain daripada penyakit seiring usia seperti sakit pinggang yang dialaminya.
“Sebab saya pernah jatuh masa zaman main motor dulu,” jelasnya ringkas.
Baginya, kecergasan serta daya tahan badan yang mantap amat penting baginya sebagai seorang penyanyi apatah lagi kebanyakan lagu-lagunya bernada tinggi dan sukar untuk dinyanyikan.
Selain itu, Rahmad juga mempunyai pendirian yang teguh bagi mengawal diri dari terjebak dengan aktiviti menghisap rokok.
Rahmad tidak menafikan pernah mencuba merokok suatu ketika dahulu ketika diajak rakan, namun dia mampu mengawal diri daripada terus terjebak dan ketagih dengan aktiviti tidak sihat itu.
Bahkan, kini Rahmad juga peka dengan persekitaran dan akan segera beredar jika mendapati ada seseorang yang merokok di sekelilingnya.
Berkongsi mengenai rutin kecergasannya, Rahmad memberitahu yang dia lebih gemar untuk melompat tali skip berbanding rutin lamanya berjoging.
“Dulu mesti berjoging sebanyak tiga hingga empat kali dalam seminggu. Kalau saya ‘cuti’ sehari, saya dah risau. Dua hari lagi saya risau,” kongsinya.
“Sekarang, kalau saya rasa dalam dua ke tiga minggu tidak bersenam saya akan skipping untuk dapatkan stamina,” tambah Rahmad.
Sumber: Instagram Media Hiburan
BACA: Kekal Cergas Menjelang Usia 40, Dr Diddy Hirdy Kongsi Rutin Hariannya