Ciri-Ciri Gaya Kemeja Yang Mampu Buat Lelaki Lebih Kacak

Share

Antara item fesyen yang sangat versatil sifatnya bagi lelaki kemeja lengan pendek. Berbeza dengan baju kemeja lengan panjang yang biasa digayakan untuk majlis formal, gaya kemeja lengan pendek pula membawa elemen lebih santai.

Jadi tidak hairanlah ramai memiliki kemeja lengan pendek untuk penggayaan kasual kerana ia memiliki persona ringkas tetapi membawa banyak karakteristik terhadap pemakainya.

Bagi mereka yang memiliki lengan yang berotot bisep dan trisep yang cantik, kemeja lengan pendek pasti menjadi pilihan dalam kegiatan seharian.

Foto: Freepik

Gaya kemeja juga merupakan salah satu daripada ‘kostum’ wajib dalam banyak sub-budaya moden yang berkaitrapat dengan genre muzik, ideologi dan juga sukan ekstrem.

Anda pasti bosa juga menggayakan satu atau dua jenis kemeja lengan pendek bukan? Jangan risau kali ini MASKULIN ingin kongsi beberapa idea gaya kemeja  yang boleh anda cuba.

PILIHAN FIT

Langkah pertama memilih kemeja lengan pendek ialah kesesuaian saiznya mengikut badan. Pilihan yang tepat bagi anda berbadan normal ialah yang memiliki potongan fit di badan. Selain lebih cantik dipandang, ia secara tak langsung memberikan gambaran tentang struktur fizikal yang anda miliki.

WARNA KULIT

Semasa memilih kemeja lengan pendek pastikan anda titik beratkan warna yang sesuai dengan tona kulit. Perkara ini sangat penting kerana lebih pendek lengan kemeja itu lebih banyak bahagian lengan akan tervisual.Jika padanan warna tak sesuai dengan kulit anda akan kelihatan janggal dan pelik.

Foto: Freepik

CORAK SESUAI

Ini pula bergantung kepada lokasi, majlis dan juga penampilan yang anda ingin serlahkan. Sebagai contoh jika anda menghadiri majlis hari jadi yang bertema smart kasual di restoran, menggayakan kemeja bercorak ‘pantai’ amatlah tak sesuai. Nasihat MASKULIN, carilah kemeja lengan pendek yang berwarna polos. Dan jika anda ingin lebih menonjol carilah yang membawa motif bunga.

KAIN SELESA

Kita sudah sebaraikan elemen penting berkaitan warna, corak dan saiz. Selain tiga perkara tersebut salah satu elemen paling penting untuk memilih kemeja lengan pendek ialah material kain. Ingat, tak guna kalau warna cantik dan corak yang gempak tapi kalau pakai anda rasa tak selesa. Carilah kemeja yang menggunakan kain selesa dengan kulit. Sebagai contoh kemeja yang diperbuat daripada kain kapas sepenuhnya.

KANCING SAMPAI ATAS

Ada satu perkara yang unik bila kita melihat seorang lelaki menggayakan kemeja dengan kemas dan mengancingnya sampai ke bahagian atas. Ia memberikan seseorang itu imej tegas dan lebih serius. Selain itu ia juga membuatkan anda nampak lebih formal. Inmi sesuai digayakan di majlis separa formal seperti majlis minum petang.

JANGAN TIGHT-IN

Anda bukan menggayakan sut! Ingat, anda tak perlu tight-in baju ke dalam seluar. Apatah lagi jika menggayakan kemeja lengan pendek yang mempunyai corak seperti floral. Kemeja lengan pendek lebih nampak cocok dengan anda jika dibiarkan sahaja di luar.

Foto: Freepik

PADANAN DENGAN KHAKI

Antara seluar yang paling sesuai digayakan dengan kemeja lengan pendek ialah khakis. Atau dalam bahasa keramaiannya ‘seluar slack’. Cuma elakkan memilih seluar daripada material kain licin dan lembik. Jika anda berani padankan dengan seluar khaki pendek berkuruan pada paras lutut.

TAK SARAT WARNA

Ingat satu perkara, anda bukannya tiang bendera! Jadi elakkan memakai kemeja lengan pendek yang mempunyai banyak warna. Kemeja lengan pendek yang kasual tak seharusnya memiliki lebih daripada dua atau tiga padanan warna termasuklah warna seluar.

Buat anda yang ingin mencari kemeja lengan pendek menarik, boleh dapatkan di sini pada harga yang hebat.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim