Sukan

Garmin Run Asia Series 2024 Bawa Inspirasi ‘From Hero To Zero’

Share

Garmin Run Asia Series 2024, yang berlangsung di Putrajaya baru-baru ini, sekali lagi menyatukan lebih 12,000 peserta yang penuh semangat untuk mencapai matlamat kesihatan mereka.

Hadir dengan tema “From Zero to Hero,” acara larian tahunan yang sangat popular ini membawa mesej yang jelas – tiada yang mustahil jika kita berusaha melangkah lebih jauh.

Ia bukan sekadar acara larian biasa tetapu merupakan cabang gaya hidup yang mendorong semua peserta untuk terus bergerak dan mencabar diri dalam mencapai impian yang lebih sihat.

Sebelum memulakan larian, para peserta disambut dengan sesi zumba yang rancak, yang bukan sahaja memanaskan badan tetapi juga mencipta aura yang penuh energi dan semangat kesukanan.

Kehadiran Alif Satar, selebriti tempatan dan duta luar Garmin, turut menambahkan kemeriahan apabila beliau sendiri turut serta dalam acara larian 10km.

Beliau bukan sahaja memberi sorakan kepada peminat, tetapi juga menjadi inspirasi untuk semua yang hadir dengan menunjukkan bahawa menjaga kesihatan adalah untuk semua peringkat umur.

Alif turut berkongsi, “Setiap tahun, saya terharu melihat komitmen rakyat Malaysia yang berusaha untuk kehidupan yang lebih sihat. Garmin Run Asia Series ini bukan sekadar larian tetapi satu platform di mana kita semua boleh bersama-sama untuk menyokong antara satu sama lain dalam mengejar impian kesihatan.”

Pelbagai Pilihan Jarak Larian

Garmin Run Asia Series 2024 menawarkan pilihan jarak 5km, 10km, dan 21km, sesuai untuk semua tahap kecergasan.

Bagi mereka yang baru bermula, 5km mungkin mencukupi untuk mencapai matlamat peribadi. Namun, untuk pelari tegar yang ingin mencabar diri, 10km dan 21km adalah pilihan yang lebih mencabar. Setiap peserta mempunyai matlamat sendiri, dan acara ini membantu mereka merealisasikannya dalam suasana yang penuh sokongan.

Apa yang menarik, Garmin bukan sahaja menyediakan platform untuk berlari tetapi turut menawarkan hadiah menarik bernilai lebih RM138,000 untuk peserta terbaik.

Lebih menarik, para peserta berpeluang memenangi jam tangan Garmin, produk aminoVital, dan barangan lain dalam cabutan bertuah.

Pemenang kategori terbuka 21km Lelaki
Pemenang kategori terbuka 21km Wanita

Antara pemenang yang mendapat perhatian ialah Noor Amelia Musa, juara Kategori Terbuka Wanita 21km, yang mengungkapkan kegembiraan dapat menyertai acara profesional yang tersusun rapi. “Melintasi garisan penamat membuatkan saya berasa sangat bangga dengan diri sendiri,” kongsinya.

Inspirasi Gaya Hidup Sihat

Sebagai penaja acara, Garmin terus komited untuk menggalakkan masyarakat Malaysia mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat.

Menurut Pengurus Negara Garmin Malaysia, Jimmy Chuang, “Kami sangat terharu melihat sambutan masyarakat Malaysia terhadap Garmin Run Asia Series. Kami berbangga dapat menyokong perjalanan setiap pelari dengan teknologi Garmin.”

Garmin Run Asia Series bukan sahaja acara sukan; ia adalah panggilan untuk kita semua mengambil langkah pertama dalam membina kehidupan yang lebih aktif dan sihat.

Dari peserta pemula hingga atlet berpengalaman, semuanya berkumpul dengan satu tujuan—mencapai versi terbaik diri.

BACA: Fakta Mengejutkan – Apa Sebenarnya Rambut Uban Dedahkan Tentang Kesihatan Lelaki

Bagi anda yang ingin memulakan perjalanan ke arah gaya hidup sihat, mengapa tidak pertimbangkan untuk turut serta dalam edisi tahun depan?

Siapa tahu, langkah pertama ini mungkin yang akan membawa anda dari “Zero” ke “Hero”!

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim