Gara-Gara Drama Thriller Korea, ‘Squid Game’, Jualan Vans Slip-On Meningkat Berkali Ganda

Share

Rasanya agak tidak logik bagi anda yang sentiasa menggunakan laman media sosial dan Internet jika tidak pernah mendengar tentang drama thriller Korea, ‘Squid Game’. Drama cukup mendebarkan yang ditayangkan di Netflix kini menjadi trending yang sangat popular bukan sahaja di Asia malah di seluruh dunia.

Lihat sahaja platform laman media sosial. Foto, video atau posting parodi berkaitan dengan drama arahan Hwang Dong Hyuk cukup banyak sekali dihasilkan. Ia juga dijangka menjadi antara drama bersiri paling banyak ditonton di platform Netflix dalam masa terdekat.

Menerusi drama tersebut kita dapat menyaksikan penggunaan uniform pelbagai warna. Sebagai contoh para pemain menggunakan set pakaian berwarna hijau dan juga kasut ‘slip-on’ berwarna putih.

Sama ada kebetulan atau tidak jualan kasut slip on dengan colorway triple white terutamanya dari jenama Vans telah meningkat berkali ganda.

Memetik laporan dari thesolesupplier.co.uk, sejak drama tersebut diperkenalkan penjualan Vans slip-on triple white telah meningkat luar biasa pada kadar 7,800%!

Kasut yang kebiasaannya digunakan oleh skaters tersebut kini menjadi rebutan ramai oleh kerana populariti drama tersebut. Ia juga dikatakan ada kaitan dengan ketibaan perayaan Halloween tidak lama lagi di mana ramai yang ingin menggayakan pakaian seperti pelakon ‘Squid Game’.

Vans Slip-On

Vans slip-on merupakan di antara model kasut yang cukup ikonik dan versatail untuk dipadankan dengan gaya berbeza. Walaupun rekaannya nampak ringkas namun ia cukup selesa untuk dipakai terutamanya melakukan aktiviti lasak seperti bermain papan selaju.

Begituah hebatnya penangan drama ‘Squid Game’ yang kini menjadi antara drama bersiri paling tular pada tahun ini. Lebih membanggakan ia merupakan hasil karya dari negara Asia!

Published by
Farizul Izwany Ibrahim