Tidak dapat dinafikan jam G-SHOCK mempunyai tempat yang cukup istimewa di kalangan peminat streetwear atau fesyen jalanan di seluruh dunia. Selain bertindak sebagai jam, ia menjadi pelengkap personaliti fesyen buat generasi masa kini.
Saban tahun G-SHOCK memperkenalkan koleksi istimewa yang kebiasaannya hadir dengan kolaborasi bersama jenama fesyen terkenal di dunia. Namun pada kali ini ia lebih istimewa kerana G-SHOCK menampilkan kerjasama bersama jenama tempatan, Against Lab.
Ia merupakan kerjasama yang pertama di atara dua jenama dengan menampilkan jam G-SHOCK DW-6900AL22. Lebih istimewa koleksi hanya boleh didapati secara eksklusif di rantau Asia Tenggara iaitu di Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia.
Model DW-6900 sememangnya cukup sinonim dengan dunia fesyen jalanan dengan penampilannya yang klasik dan versatil. Karakteristik dengan lampu belakang EL dan paparan LCD menjadikan ia menjadi buruan penggemar jam G-SHOCK.
Jam G-SHOCK x Against Lab hadir dengan tema ‘semangat underdog’ yang diinspirasikan dari kekuatan individu yang sanggup mengharungi pelbagai cabaran dalam hidup. Kolaborasi ini juga turut menampilkan semangat Malaysia yang tidak pernah mudah putus asa.
Dibina dengan ketahanan serta sangat tahan lasak, jam ediri terhad ini juga mewakili semangat penunggang motosikal yang membawa aspek elemen jati diri sama.
Rekaannya juga banyak menggunakan ‘bahasa’ motosikal dengan komponen yang menyerlahkan ciri-ciri kemasan tersendiri. Pada bahagian hadapan tertera logo ‘AGAINST’ yang turut hadir dengan logo ‘A’ tersembunyi di sebalik backlight.
Kolaborasi ini telah dilancarkan menerusi laman e-dagang Lazada bermula pada 28 Mei yang lalu dan bakal memasuki pasaran di outlet terpilih bermula 3 Jun 2022. Ia turut hadir bersama bandana ekslusif G-SHOCK X Against Lab.
Manakala baru-baru ini dalam satu majlis pelancarannya, sebanyak 100 unit telah ditawarkan bersama kotak khas dan ia telah sold out dalam tempoh beberapa jam sahaja.