MASKULIN berbesar hati kerana turut dijemput untuk mengikuti pelancaran secara rasmi BMW 3 Series Baharu pada pagi tadi bertempat di Malaysia International Trade and Exhibiton Centre (MITEC) Kuala Lumpur.
Pada majlis ini BMW Malaysia mempertontonkan model terbaru kebanggaan mereka, BMW 3 Series yang diangkat mereka sebagai sebuah model legenda di kalangan penggemar automobil.
“BMW 3 Series ialah model yang telah menjurusi penubuhan segmen sedan sport premium. Sejak lebih dari 45 tahun, 3 Series sentiasa menaikkan tanda aras nikmat pemanduan dalam industri automotif premium.
“Hari ini menerusi generasi ketujuh, ia membawa perwatakan signatur jentera BMW ke aras yang baharu dengan rekaan dinamik pemanduan serta teknologi dan inovasi yang tidak pernah dilihat sebelum ini dalam industri automotif Malaysia,” ujar En. Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.
BACA: [Foto] Seksi Betul Body Civic Hatchback Ini, Confirm Nakal Bila Beraksi Di Jalan Raya!
Antara fungsi baru yang diperkenalkan ialah sistem pembantu pintar dikenalis ebagai BMW Intelligent Personal Assistant. Ciri terbaru ini membolehkan pemandu berinteraksi atau bercakap secara terus dengan kereta BMW 3 Series mereka.
Selain itu ia juga dilengkapi fungsi inovatif kunci digital, BMW Digital Key. Fungsi ini membolehkan pemandu membuka kunci kenderaan dengan menggunakan teknologi Near Field Communicatiosns (NFC) menerusi telefon pintar Android.
BMW 3 Series ini juga didatangkan dengan sistem Parking Assitant berserta Reversing Assitant. Menariknya, kereta ini merekod setiap 50 meter ia berjalan bermakna anda boleh undurkan kereta secara separa autonomi pada kelajuan rendah walaupun melalui ruang sempit!
Enjin Turbo TwinPower 2.0 liter melengkapi jentera hebat ini dan mampu menjana kelajuan tertinggi 250 km/j. Ia juga berupaya untuk menjana output sebanyak 190 kW/258 kk dengan tork puncak setinggi 400 Nm daripada lingkungan 1,550 hingga 4,400 rpm.
Kemampuan hebat tersebut menyaksikan ia boleh memecut daripada kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam masa 5.8 saat. Dengan transmisi Steptronic Sport 8-kelajuan yang dikemas kini, sedan sport terunggul ini hanya menggunakan bahan bakar yang berjumlah 6.4 liter setiap 100 km.
Emisi karbon pula dikurangkan pada tahap 147 g/km dan juga dioptimumkan dengan penapis zarahan yang termasuk dalam sistem rawatan ekzos. BMW 3 Series yang terbaharu memenuhi standard ekzos Euro 6d-TEMP untuk prestasi pemanduan yang tiada tandingannya tanpa jejak karbon.
BMW 3 Series yang baharu ditawarkan dalam lima warna yang mempesonakan, Portimao Blue, Black Sapphire, Alpine White, Mineral Grey, Sunset Orange, dipadankan dengan warna hitam premium atau upholsteri ‘Cognac Leather Vernasca’ dan kemasan trim interior ‘Aluminium Tetragon’. BMW 3 Series yang baharu boleh didapati daripada pengedar BMW bertauliah di seluruh negara, bermula dari 28 Mac 2019.