Sehari demi sehari masyarakat global kini sudah mula belajar dalam suasana norma baharu yang belum diketahui bilakah penghujungnya.
Impak yang dibawa oleh wabak COVID-19 telah mengubah lanskap sosio ekonomi masyarakat dunia dengan cukup hebat sekali.
Selagi belum ada ubat atau vaksin tercipta untuk merawat COVID-19 dengan berkesan selagi itulah kita harus sentiasa berwaspada dan berusaha mengurangkan kadar penularannya di dalam komuniti.
Kita bersyukur kerana kerajaan terutamanya menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia, barisan hadapan serta rakyat Malaysia yang menunjukkan kepatuhan tinggi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan telah berjaya melandaikan kadar jangkitan.
Namun ‘peperangan’ ini masih belum berkahir. Terbaru sekumpulan saintis China dari firma bioteknologi Sinovac yang berpusat di Beijing melahirkan keyakinan bahawa vaksin dibangunkan mereka mempunyai kadar 99% berkesan untuk merawat wabak ini.
Dakwa firma tersebut mereka kini dalam fasa kedua dalam percubaan kepada seramai 1,000 orang peserta dalam ujian klinikal.
Memetik laporan Sky News mereka berkata, “Ini adalah vaksin COVID-19 yang sedang kami bangunkan dan inilah yang kami sebut sebagai jarum suntikan yang sudah diisi sebelumnya.
“Jadi apabila orang menggunakannya, ia lebih mudah; ini sangat termaju,” kata jurucakap firma itu.
Difahamkan firma tersebut juga kini dalam proses perbincangan untuk melaksanakan fasa ketiga ujian terkahir di United Kingdom. Selain itu mereka juga telag bercakap dengan beberapa wakil negara Eropah untuk melihat sebarang kebarangkalian positif.
Sinovac juga dilaporkan sedang membina sebuah kilang komersial di Beijing bertujuan menghasilkan sebanyak 100 juta dos vaksin.
Walau bagaimanapun mereka tidak mengesyorkan pengedaran kepada seluruh penduduk, sebaliknya memberi tumpuan kepada pekerja kesihatan dan warga tua yang menjadi penerima vaksin pertama.
Adakah ini sinar baharu buat manusia untuk menentang wabak yang telah meragut ratusan ribu nyawa ini?