Tidak dapat dinafikan pertandingan pencarian bakat muda Hero dan Dewi Remaja sememangnya jenama yang cukup utuh dan berwibawa dalam mengetengahkan muka-muka baharu dalam industri hiburan tempatan.
Mencecah usia 38 tahun sejak diperkenalkan pada tahun 1985, Hero Remaja & Dewi Remaja merupakan sebuah jenama yang tidak perlu lagi diperkenalkan dengan lebih lanjut kepada umum. Ia kini menjadi salah satu program penanda aras yang cukup dinantikan oleh pemerhatui dan peminat.
Kini penganjuran edisi baharu telah tiba dengan sedikit kelainan apabila buat pertama kali Pencarian Hero dan Dewi Remaja dijalankan secara serentak.
Selepas dua bulan melalui proses uji bakat, 16 orang finalis telah pun diumumkan semalam.
Kesemua finasli ini diperkenalkan menerusi satu sidang media berlangsung semalam di Astro, Bukit Jalil. Setiap seorang finalis diperkenalkan satu-persatu kepada rakan media dan penonton yang mengikuti kemas kini menerusi aplikasi media sosial Majalah Remaja.
Selebriti popular yang juga juara Dewi Remaja 2005/06, Scha Alyahya kembali sebagai mentor serta juri tetap untuk edisi kali ini setelah kali terakhir beliau menjadi juri tetap adalah pada edisi Hero Remaja 2021.
Pemilihan Scha Alyahya dianggap tepat kerana beliau merupakan seorang selebriti serba boleh dan terkenal serta merupakan antara alumni Dewi Remaja paling berjaya.
Pemilihan 16 orang finalis (8 lelaki & 8 perempuan) pada edisi kali ini dilakukan dengan sangat teliti mengambil kira potensi dan bakat yang mereka tonjolkan ketika proses uji bakat dijalankan.
Setiap seorang finalis memiliki kelebihan tersendiri dan mempunyai potensi tinggi untuk dijulang sebagai wajah baharu yang mewakili remaja Malaysia dalam industri hiburan tanah air mahupun lapangan lain yang mereka ingin ceburi.
Sebanyak empat sesi uji bakat dilangsungkan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Petaling Jaya. Pada edisi kali ini seramai lebih 850 peserta hadir untuk sesi uji bakat. Menariknya, sepanjang empat minggu uji bakat berlangsung, siaran video di media sosial telah berjaya mencapai lebih 30 juta tontonan.
Menurut Ketua bahagian New Gen dan Men & Hobbies, Nu Ideaktiv Sdn Bhd, Fiezreen Ahmad, pencarian Hero Dewi Remaja 2023 dijangka akan memberi impak berbeza disebabkan kelainan yang dipersembahkan buat julung kalinya dalam sejarah penganjuran jenama ini.
“Hero Remaja & Dewi Remaja merupakan sebuah legasi ulung yang dicetuskan oleh Majalah Remaja. Berevolusi dari dunia cetak ke dunia digital, dua pencarian ini terus berkembang seiring zaman.
“Sepanjang penganjurannya selama lebih 38 tahun, ramai permata industri seni dilahirkan. Antara generasi baharu pertandingan ini yang kini menjadi bualan hangat seperti Nadhir Nasar, Meerqeen, Anna Jobling, Shaza Bae, Mierul Aiman, Amir Ahnaf dan Tracie Sinidol.
“Apa yang menarik, edisi kali ini menyaksikan kelainan menerusi gabungan Hero dan Dewi dalam satu edisi. Semestinya bakal memberikan perspektif baharu dengan tampilan kandungan yang lebih segar selari dengan misi untuk melahirkan anak seni berpotensi tinggi dan membentuk personaliti terbaik. Diharapkan finalis tahun ini memberikan usaha mereka sepenuhnya dalam perjalanan bergelar juara.
“Selain penampilan mereka selama lapan episod di kaca televisyen menerusi Astro Ria, para finalis juga akan ditampilkan di setiap platform media sosial Majalah Remaja menerusi pelbagai kandungan dan aktiviti yang bakal diadakan. Menariknya kami akan turut memberi peluang kepada para peminat mereka kelak untuk menyertai aktiviti yang telah kami susun,” tambah Fiezreen lagi.
Pencarian Hero Dewi Remaja 2023 bakal ditayangkan menerusi lapan (8) episod bermula 10 November, pada setiap hari Jumaat jam 10 malam di saluran Astro Ria.
Selain bertanding menerusi cabaran episod yang ditayangkan, 16 finalis terpilih juga bertanding dari aspek populariti serta duo terbaik menerusi undian peminat yang dibuka bermula 10 November sehingga ke malam finale kelak untuk mengetahui siapakah yang akan bergelar Hero dan Dewi Favourite 2023 serta Best Chemistry Duo.
Undian boleh dilakukan pada setiap hari di laman web rasmi REMAJA di https://www.remaja.my/herodewi/