English Premier League Dijangka Bakal Digantung Kerana Penularan Coronavirus

Share

Pagi ini kita dikejutkan dengan berita terbaru membabitkan pasukan Arsenal berkaitan dengan Coronavirus atau COVID-19.

Hasil pemeriksaan dan ujian telah mendapati ketua jurulatih mereka, Mikel Arteta telah didapati positif COVID-19. Lantaran itu kelab dari Utara London tersebut telah mengambil langkah drastik dengan pemain serta kakitangannya melakukan kuarantin di rumah serta melakukan ujian lanjut.

Ketua Jurulatih Arsenal, Mikel Arteta

Berikutan dengan itu, perlawanan Arsenal pada minggu ini menentang Brighton telah ditunda, sama seperti perlawanan menentang Manchester City pada Rabu lalu.

Dan terbaru, pemain bintang muda Chelsea, Callum Hudson-Odoi juga telah didapati positif COVID-19. Seluruh pasukan Chelsea kini menjalani isolasi dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berwajib di United Kingdom.

Premier League telah mengumumkan bahawa kesemua perlawanan akan diteruskan namun dengan perkembangan terkini yang dilihat semakin serius ramai berpendapat ia bakal berubah.

Kesemua wakil kelab pada hari ini bakal mengadakan perjumpaan tergempar bersama pihak Premier League berkenaan apakah langkah yang harus diambil untuk menangani isu ini.

Rata-rata melihat mesyuarat ini akan mengumumkan bahawa English Premier League (EPL) bakal digantung sama seperti beberapa liga di negara Eropah yang lain seperti Seria A di Italy, Eredvisie di Belanda dan La Liga di Sepanyol. Manakala di Jerman dan Perancis, perlawanan liga dijalankan dengan stadium kosong tanpa penyokong.

Penyokong Napoli & Barcelona dilihat memakai topeng ketika perlawanan Liga Juara Eropah baru-barun ini.

Beberapa bekas pemain profesional yang merupakan pengulas sukan terkenal seperti Gary Lineker dan Gary Neville sangat lantang bersuara dan menyeru pihak berwajib Premier League menggantung liga buat sementara waktu demi keselamatan orang awam.

Pemain pertahanan Manchester City, Benjamin Mendy juga sedang melakukan kuarantin diri selepas salah seorang ahli keluarga terdekatnya jatuh sakit dan disyaki positif.

Manakala tiga pemain Leicester City juga dilaporkan sedang menjalani ujian COVID-19 selepas dilaporkan menunjukkan simptom awal jangkitan.

Published by
Farizul Izwany