Legenda yang terkenal dengan gelaran King of Rock and Roll, Elvis Presley akan ‘dihidupkan semula’ melalui kecanggihan teknik Kecerdasan Buatan (AI), demikian lapor Sky News.
Bukan sekadar dihidupkan, Elvis yang meninggal dunia pada 1977 akan ‘beraksi’ di konsert yang bakal diadakan di London, Britain tahun ini.
Konsert tersebut dinamakan sebagai Elvis Evolution dan akan membawa peminat tegarnya kembali bernostalgia dengan ikon tersebut selain menarik peminat generasi baharu mengenali dengan lebih dekat siapa Elvis Presley.
“Ini akan menjadi sebuah keraian paling gemilang buat Elvis Presley; seorang lelaki, pemuzik dan pemilik legasi yang masih menjadi pujaan ramai.
“Konsert Elvis secara AI akan menjadi sebuah pengalaman yang luar biasa,” kata Pengasas & Ketua Pegawai Layered Reality, Andrew McGuinness.
Konsert tersebut akan dipersembahkan dengan penggunaan AI sepenuhnya, dibantu teknik Holografi, sejenis teknik yang membolehkan imej tiga dimensi dibuat.
Peminat juga akan dibawa memasuki dunia Elvis sejak lahir di Tupelo, Mississippi pada 1935, sehingga perjalanan ke Memphis, Tennessee, Graceland dan Las Vegas.
Minat dunia terhadap penyanyi itu, yang diiktiraf sebagai artis muzik solo terlaris sepanjang zaman, dengan lebih 500 juta album terjual, masih utuh walaupun sudah 46 tahun berlalu sejak kematiannya ketika baru berusia 42 tahun.