Apa yang anda akan lakukan apabila anda diberitahu bahawa anda penghidap diabetes? Ia amat mengejutkan, berita yang tidak dijangka bagi setiap orang. Anda mungkin berasa sedih, marah atau takut memikirkan hidup dengan penyakit kronik ini.
Namun ia bukanlah pengakhiran untuk anda. Kini anda bukan dalam golongan orang-orang yang boleh menikmati makanan tidak berkhasiat sepanjang masa. Kawalan terhadap banyak perkara harus diambil berat.
DIET SIHAT, SEIMBANG
menerusi BERNAMA, Profesor Emeritus Datuk Dr Mustaffa Embong, Pakar Perubatan Diabetologi, Institut Diabetes Negara (NADI) menyifatkan mereka yang menghidap diabetes tidak mengalami masalah untuk menikmati pemakanan sama dengan orang disekeliling mereka, namun ia perlulah diambil dengan sedikit berbeza. jadi, istilah seperti menyediakan hidangan berbeza, dan cara masakan berbeza itu tidak perlu wujud dalam rumah, kerana ia akan menjadikan penghidap kemurungan dan serba salah. Malah, anggota keluarga dapat menikmati bersama makanan sihat dan berkhasiat.
Mulakan dengan memilih pelbagai jenis makanan yang baik dan tidak terjejas nutrisinya. Sekiranya anda obes atau berlebihan berat badan, pilih makanan yang rendah lemak dan kalori terutamanya pada garam untuk mengurangkan risiko tekanan darah tinggi.
Banyakkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran serta bijirin. Paling penting minum air.
Pastikan pengambilan serat seperti oat, roti bijirin dan bijirin, kekacang, buah-buahan dan sayur-sayuran kira-kira 20-30 g sehari membantu untuk menurunkan paras glukosa dan juga paras kolesterol dalam darah anda, sekali gus mengurangkan risiko penyakit jantung.Amalkan suku suku separuh dalam pengambilan makanan harian anda dan lebihkan makanan berkhasiat. Satu perempat dengan protein seperti ikan atau ayam dan satu perempat lagi dengan karbohidrat (kompleks), sebagai contoh, beras atau roti. Mind full eating atau lebih kepada kawalan minda terhadap pemakanan dimana anda boleh menggunakan pinggan kecil agar anda terasa seperti anda makan banyak. Tanpa perlu tambah setelah pinggan pertama habis!
Dapatkan nasihat pakar diet jika anda memerlukan bantuan dengan pemakanan anda.
TERUS AKTIF SECARA FIZIKAL
Seperti makan makanan yang sihat, senaman yang dijadikan rutin harian juga mempu untuk menguruskan diabetes anda. Diet dan senaman boleh membantu mengawal berat badan anda dan mengurangkan tahap glukosa darah (dengan membuat sel-sel otot anda lebih sensitif terhadap insulin). Senaman boleh menurunkan kadar kolesterol darah dan tekanan darah tinggi, dengan itu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular (jantung). Selain itu, ia akan membantu anda merasakan lebih baik (melalui pelepasan hormon yang baik, endorfin, dari otak anda) dan meningkatkan kesihatan anda secara keseluruhan (terutamanya jantung, paru-paru, otot, tulang dan sendi).
jangan terikat dengan program senaman atau jadikan rumah anda seperti gym. Apa yang anda perlu lakukan adalah dengan berjalan, berjoging, berbasikal setiap hari atau hujung minggu. Jika anda masih kekakangan masa, ambil tangga daripada lift, pergi kerja dengan pengangkutan awam seperti LRT/MRT untuk berjalan dengan banyak. ingat! misi kita bukan untuk kurus, tapi nak elakkan dari diabetes terus naik dengan mendadak.
KURANGKAN BERAT BADAN
Bukan semua orang menghadapi masalah diabetes walaupun fizikal mereka kecil. Andai kata anda seorang yang berbadan besar, dan mangsa diabetes, penurunan berat badan sebanyak 10 peratus dapat meningkatkan jangka hayatnya dengan menurunkan risiko kematian akibat semua penyakit yang berkaitan dengan diabetes (termasuk serangan jantung dan angin ahmar). Penurunan berat badan berlebihan juga membantu mengawal diabetes dengan menjadikan tubuh lebih sensitif terhadap insulin, sekali gus menurunkan kadar glukosa darah. Ia juga boleh memperbaiki profil lipid darah dan mengurangkan tekanan darah tinggi.
Anda boleh menjangkakan penurunan kira-kira 0.5 kg seminggu dengan makan kurang 500 kalori setiap hari (untuk perbandingan, sebiji burger besar mengandungi kira-kira 540 kalori!). Adalah munasabah untuk menurunkan 0.5 -1.0 kg seminggu (melalui diet dan senaman) sehinggalah anda mencapai berat badan yang ideal.
PASTIKAN PARAS GLUKOSA DARAH NORMAL
Diabetes memberi kesan kepada tahap glukosa darah harian anda. Tahap glukosa darah tinggi berterusan akan merosakkan badan anda dan akan mengakibatkan komplikasi. Mengekalkan paras glukosa darah anda pada paras normal (disyorkan) dapat membantu mengelak atau melambatkan komplikasi yang ditakuti ini.
Kini, anda boleh memantau tahap glukosa darah anda di rumah (atau di tempat kerja) dengan mengguna glukometer mudah alih. Anda cuma perlu cucuk sedikit pada hujung jari (atau lengan) dan hasilnya diketahui dalam masa kurang daripada seminit.
Pantau tahap glukosa darah anda mengikut nasihat doktor. Sesetengah pakar diabetes mengesyor pemeriksaan sebelum makan, 2 jam selepas makan, sebelum atau selepas senaman, sebelum tidur dan ketika anda berasa tidak sihat.
Pemeriksaan pada masa berlainan seperti ini memberi anda kefahaman bagaimana tahap glukosa darah anda terjejas oleh pengambilan makanan dan aktiviti fizikal anda, dengan itu membantu anda (dan doktor anda) untuk mengurus diabetes dengan cara terbaik. Yang penting, dengan ujian glukosa darah berkala, anda juga dapat mengesan tahap glukosa darah rendah (hipoglikemia), terutamanya jika anda mengambil insulin.
Sentiasa rekodkan dan bincangkan hasil ujian sendiri darah anda dengan doktor.
Setiap 3 bulan atau lebih, doktor akan meminta supaya dilakukan ujian HbA1c bagi memeriksa bagaimana kawalan diabetes anda dalam tempoh 2 hingga 3 bulan lalu.
Secara umumnya, anda disaran mengekalkan kadar glukosa darah antara 4-6 mmol/l semasa berpuasa (semasa bangun waktu pagi) dan 6-8 mmol/l 2 jam selepas makan utama anda.
Anda juga harus berusaha untuk mendapatkan bacaan ujian HbA1c anda kurang dari 7.0% (atau lebih baik lagi, kurang daripada 6.5%).
Artikel ini disampaikan pada program ‘Lawan Diabetes’ anjuran Institut Diabetes Negara (NADI), yang diperakukan oleh Kementerian Kesihatan. Ia bukan bertujuan menggantikan nasihat perubatan profesional. Sekiranya ragu-ragu, sila berjumpa dengan doktor anda.
Untuk pertanyaan, sila hubungi NADI di enquiry@nadidiabetes.com.my atau di talian (03) 7876 1676.
BERNAMA